Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Festival makanan beri peluang penjaja nasi lemak bangkit semula

Jun 23, 2022 | 05:30 AM



TIGA bulan lalu, Cik Aishah Lim, seorang usahawan dari rumah dan penjaja Ah Lim Nasi Lemak, telah kehilangan gerainya di Pusat Makanan Maxwell atas sebab-sebab tertentu.



Sejak itu, beliau telah bergantung kepada perniagaan tempahan dalam talian yang dipromosikan menerusi saranan pelanggannya.



Namun, perniagaannya tidak begitu lancar seperti yang dijalankan di gerai dahulu.



"Saya hanya kekalkan minat saya untuk berniaga berdasarkan tempahan yang saya terima dalam talian sahaja," kata Cik Aishah, 38 tahun.



"Rata-rata perniagaan agak baik, lebih lagi semasa Ramadan dan Hari Raya lalu, tapi sekarang saya nak fikirkan apa yang harus saya lakukan selanjutnya," jelas ibu tiga anak itu ketika ditemui.



Mujur beliau mendapat tawaran baru untuk mengembangkan perniagaannya di sebuah festival baru-baru ini.



Sejak hujung minggu lalu, beliau dan dua anak perempuannya berusia 15 dengan 14 tahun sibuk mengendalikan tempahan orang ramai di Festival GastroBeats di Marina Bay yang berlangsung hingga 26 Jun ini.



Beliau antara 13 gerai penyedia makanan halal dan antara lapan gerai 'penjaja' yang diundang penganjur acara, The O4 Company, untuk berniaga di situ.



Menurutnya, tawaran berniaga di festival tersebut satu peluang untuknya bangkit semula dan bukan sahaja itu, mengembangkan jenama serta masakannya kepada lebih ramai pelanggan.



"Ini satu peluang untuk saya bersiap sedia berniaga dalam suasana lebih sibuk seperti di festival," katanya.



Di gerai itu, si ibu, sepanjang hari sibuk mengisi periuk nasi untuk menambah stok jika kekurangan, si anak sulung pula menyediakan makanan dalam kontena dan adiknya mengendalikan bayaran.



Kedua-dua anak perempuannya itu sedang cuti sekolah, malah sejak beliau mempunyai gerai di Pusat Makanan Maxwell dahulu, mereka secara kerap telah membantu Cik Aishah mengendalikan gerai.



Beliau juga kadangkala turut menerima bantuan oleh suaminya yang bekerja dalam sektor pembersihan.



"Saya gembira dan amat bangga melihat anak-anak saya yang datang tolong saya atas kehendak mereka sendiri, walaupun waktu ini musim cuti untuk mereka berehat," kata Cik Aishah.



Di gerainya itu, beliau menawarkan masakan set nasi lemak dengan telur, ayam goreng, sambal dan ikan bilis dengan kacang berharga $5, mi siam goreng atau mi goreng berharga $3.50.



Terdapat juga gorengan seperti goreng pisang, keropok lekor dan beberapa jenis gorengan ala Korea.



"Dulu, saya cuma mempunyai pengalaman berniaga dari rumah atau mengendali gerai di pusat makanan sahaja.



"Sekarang kami dapat cuba lihat bagaimana kami dapat berniaga dalam festival, dan apa yang boleh dipelajari daripada pengalaman ini," katanya.



Malah, menurut Cik Aishah, sambutan pada hujung minggu pertama festival itu melampaui jangkaannya.



"Dengan senang saya rasa kami dapat dalam 200 hingga 300 tempahan hinggakan kami tak mempunyai waktu untuk rehat sepanjang waktu pembukaan festival ini dari 4 petang hingga 9 malam.



"Tanya anak-anak saya, mereka tak sempat minum air pun," katanya.



Menurut penganjur GastroBeats, syarikat pemacu jenama dan harta intelektual, The O4 Company, gerai Ah Lim Nasi Lemak itu antara lapan gerai 'penjaja' yang diundang berniaga di situ sebahagai sebahagian usaha penganjur acara menunjukkan kepelbagaian makanan warisan tempatan serta budaya Singapura.



Acara itu yang dijangka menerima lebih 100,000 pengunjung sepanjang tempoh pelaksanaan festival merangkumi warga tempatan dan pelancong luar negara.



"Mereka dengan tepat mencerminkan budaya makanan dinamik Singapura serta kesungguhan warga Singapura mencapai impian mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif The O4 Company, Encik Guna Kaliannan, kepada Berita Harian baru-baru ini.



Cik Aishah berkata beliau ada rancangan membuka sebuah kedai baru dalam masa mendatang.



"Justeru penyertaan kami di sini adalah satu dorongan untuk kami terus berniaga dan cuba lihat apa perjalanan seterusnya buat kami," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >