Mencecah usia Jubli Emas atau 50-an tahun dengan menggenggam segulung ijazah merupakan satu pencapaian buat dua wanita bersemangat cekal ini.Jika yang seorang mengharungi keperitan penyakit barah tetapi tidak pernah lelah menimba ilmu, yang seorang pula menerima Anugerah Pelajar Terbaik seperti anak sulungnya yang juga tamat pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). BERITA HARIAN melaporkan.

KELELAHAN tubuh dan kepayahan bernafas sering melanda Cik Rohani As'ad dek kesan penyakit barah usus tahap ketiga yang dikesan doktor sejak beliau menuntut di Politeknik Singapura (SP) pada 2014.

Kecelaruan minda sesudah rawatan kemoterapi yang membuatnya mudah terlupa, serba resah dan panik turut menjejas interaksi dengan orang sekeliling termasuk pensyarah dan rakan sekuliah.

Namun, jerih payah yang diharungi untuk menaiktarafkan kelulusannya yang awalnya setakat Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' ke peringkat diploma perniagaan dan selanjutnya ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) ternyata berbaloi.

Ilmu pengetahuan malahan bak penawar yang mengembalikan fokusnya untuk mengingati fakta walau seperit mana pun.

Pada usia 50 tahun, Cik Rohani, suri rumah yang mengambil masa lima tahun setengah untuk tamatkan pengajian ijazahnya akui menikmati kemanisan daripada ujian kehidupan apabila tamat pengajian di SUSS baru-baru ini.

Sekitar dua tahun lalu juga, beliau disahkan bebas barah oleh pakar onkologi di Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCSS).

Kecekalannya juga terbukti kerana sebelum dikesan menghidap barah, Cik Rohani juga menjaga suaminya, Encik Muhamed Sharif Muhamed, 48 tahun, penyelia bangunan kondominium, yang pernah menghidap leukemia dan sudah pulih.

Ketika dihubungi Berita Harian, Cik Rohani yang sebelum ini pernah bertugas dalam bidang perakaunan dan selaku penolong guru berkata:

"Saya bagaikan mimpi dan macam tak sangka ijazah ini dalam genggaman saya.

"Walhal dahulu saya cari kerja di SP tetapi pengurus di situ sarankan saya lanjutkan sahaja pelajaran. Kerja tak dapat tetapi peluang ambil diploma pula terbuka.

"Sewaktu di politeknik, saya dikesan dengan penyakit barah usus sampai apabila doktor menjelaskan, saya tak terkata-kata... minda kosong sahaja. Antara tandanya saya senang penat, perut teramat sakit dan suhu badan turun mendadak sampai dinginnya ibarat boleh buat badan membeku.

"Awalnya, memang saya tertanya-tanya mengapa saya? Tapi saya ubah pemikiran negatif itu kepada yang lebih positif. Saya reda dan tahu ada sebab Allah uji saya dan simpan kemanisan untuk saya nikmati pada akhirnya.

"Semasa masuk SUSS, badan saya belum kuat daripada pembedahan yang dilalui. Tapi saya tak nak anggap pengajian ini sebagai satu beban atau mudah putus asa. Saya berehat enam bulan daripada pengajian kerana tertekan tetapi sambung balik demi cita-cita."

Beliau masih ingat serangan panik yang melandanya sehingga tidak mampu duduk diam sebelum peperiksaan dimulakan di bilik pengasingan yang disediakan untuknya dan mahasiswa lain yang berpenyakit

"Sebab makan masa nak hadam maklumat dan 'mulakan enjin' untuk menulis jawapan peperiksaan, itulah yang buat saya resah.

"Tapi di bilik pengasingan inilah saya buat kawan, antaranya seorang wanita muda yang berpenyakit barah sejak sekolah rendah.

"Dari situ saya dapat inspirasi dan motivasi untuk mengenali diri saya dan kemampuan diri saya sendiri serta penyakit barah yang dialami - bagaimana nak pertingkat fokus untuk selesaikan peperiksaan pada waktu yang diberi," tambahnya.

Suaminya Encik Muhamed Sharif amat memahami tuntutannya sebagai mahasiswa dan sering memberi dorongan.

"Beliau faham keadaan saya yang perlu luangkan masa untuk sesi perbincangan dengan teman-teman. Sebagai bekas pesakit leukemia, beliau juga akur saya mudah penat dan pelupa. Kadangkala tak boleh terlalu teruja atau marah sebab ini pun boleh bawa serangan panik dan kegelisahan.

"Memang kami berdua harus tambah kecekalan dan jaga makan demi kesihatan," jelasnya.

Berselawat menjadi teman setiap kali Cik Rohani payah bernafas seperti dalam satu peristiwa dalam perjalanan MRT ke Pusat HarbourFront untuk ke Sentosa bagi satu majlis meraikan tamat pengajian, di mana beliau menyanyi dan juga perlu memberi ucapan.

"Dahlah pakai pelitup, dapat serangan panik pula dan susah bernafas. Tak tahu apa nak buat dan saya terus berselawat sampailah lega. Dalam fikiran, saya tak nak kecewakan teman-teman kelab muzik Recital of Joy (ROJ) yang gigih berlatih.

"Dalam keadaan saya sakit, saya memang tak nak susahkan orang tetapi alhamdulillah, Allah datangkan orang yang baikbaik untuk beri saya perangsang," jelasnya yang kini meski sudah bebas barah, mengalami alahan kulit dan masalah gigi sebagai kesan pasca penyakit kronik itu.