Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Ghairah mahu wakili negara buat kali pertama ke Sukan Komanwel

Jul 24, 2022 | 08:33 AM



MESKIPUN ghairah mahu membuat penampilan sulungnya di pentas Sukan Komanwel Ogos ini, srikandi angkat berat para Singapura, Nur Aini Mohamad Yasli, 30 tahun, tidak dapat melupakan pengorbanan yang perlu dilakukannya untuk sampai ke tahap itu.



Bahkan, pandemik Covid-19 telah memberi cabaran mendalam terhadap rutin latihan dan prestasinya sejak beberapa tahun ini.



"Saya amat terjejas (semasa sekatan dikenakan) kerana alat yang perlu saya gunakan adalah bangku dan angkat berat.



"Meskipun ada pengubahsuaian bagi latihan di rumah, ia sungguh berbeza dari segi cara latihan dan angkat berat juga," kata Aini, yang sering berlatih di gimnasium awam ActiveSG di Toa Payoh.



Walaupun begitu, ia tidak mematahkan semangatnya mahu menjadikan impiannya satu kenyataan untuk bersaing di Sukan Paralimpik di Tokyo pada 2020 ketika itu.



Meskipun Aini berjaya melayakkan diri untuk bersaing dalam kategori 45 kilogram angkat berat wanita pada kejohanan itu, beliau akur bahawa persiapan ketika itu amat singkat.



Aini disahkan mewakili Singapura dalam angkat berat di Tokyo 2020 yang berlangsung pada awal Julai 2021 selepas prestasi baiknya dalam Piala Dunia Angkat Berat Dunia Fazza Dubai 2021 pada Jun 2021.



Di situ, beliau mencatatkan keputusan terbaik peribadinya mengangkat 81 kilogram dan meraih pingat gangsa.



Oleh itu, Aini hanya mempunyai sekitar dua bulan untuk bersiap sedia bagi kejohanan yang berlangsung pada Ogos 2021 ketika itu.



Dan pada kejohanan di Tokyo itu pula, Aini hanya mampu mengangkat 77 kilogram dan menduduki tangga keenam antara sembilan peserta.



Walaupun tidak dapat memecahkan rekod peribadinya, pengalaman bertanding semasa pandemik itu juga telah membuka matanya terhadap kepentingan mendapat sokongan dan sorakan daripada penyokong.



"Selalunya, selepas bertanding, saya akan cuba menyaksikan pertandingan dalam kategori lain. Tetapi dengan sekatan Covid-19, kami tidak dibenarkan ke tempat pertandingan dan perlu tonton secara langsung di Facebook sahaja.



"Ia (suasana) juga sama pada Sukan Paralimpik kerana tidak ada ramai penyokong yang hadir (kerana sekatan). Oleh itu, suasananya tidak seperti suatu pertandingan kerana ia sangat 'sepi' tanpa sorakan penyokong," kongsinya.



Meskipun begitu, Aini berkata beliau dapat mengaitkan diri dengan tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini iaitu Stronger Together (Lebih Kukuh Bersama) selepas melalui onak dan duri dalam beberapa tahun ini.



Beliau percaya tanpa sokongan kukuh bersama pasukannya di sebalik pandemik itu, Aini tidak dapat melayakkan diri ke pertandingan Sukan Paralimpik tahun lalu.



"Semuanya terkejut apabila pandemik itu berlaku pada 2020 sedang kami cuba melayakkan diri ke Sukan Paralimpik. Meskipun kami terjejas, saya amat bersyukur mempunyai sistem sokongan yang baik daripada Institut Sukan Singapura (SSI).



"Selain jurulatih saya, ahli fisioterapi, ahli psikologi dan pakar pemakanan saya membantu merancang jadual latihan dan pemakanan yang sesuai bagi pemulihan saya sebelum kelayakan akhir. Ini membantu saya memberi 100 peratus pada peringkat kelayakan.



"Jadi, walaupun atlet yang beraksi dalam pertandingan, mereka yang membantu di belakang tabir juga penting dan ini menunjukkan keteguhan apabila kita dapat berganding bersama dan tidak bergerak secara individu," katanya yang berlatih tiga kali seminggu, bekerjasama dengan jurulatihnya, Razak Mansoor.



Dalam pada itu, Aini juga gembira dengan sikap progresif Singapura terhadap mereka yang kurang upaya.



"Saya rasa masyarakat juga telah berkembang dari segi minda mereka terhadap warga yang kurang upaya.



"Walaupun mereka itu kurang upaya, mereka juga mendapat peluang yang adil dari segi pekerjaan ataupun sukan.



"Dengan demikian, masyarakat kita sudah pun membuat perkembangan baik terhadap mereka yang kurang upaya," katanya yang menjadi warga Singapura pertama bersaing dalam angkat berat pada Sukan Paralimpik.



Selain bertanding dalam kategori baru (wanita sehingga 61 kilogram) pada Sukan Komanwel, Aini juga diberi penghormatan sebagai pembawa bendera negara dalam acara pembukaan di Stadium Alexander nanti.



"Ia adalah satu cabaran yang menarik kerana saya akan bertanding dengan atlet yang lebih besar dan saya akan cuba yang terbaik.



"Meskipun Singapura negara kecil dan disifatkan sebagai hanya titik merah di dalam peta, kami mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk mewakili dan bertanding di persada antarabangsa.



"Oleh itu, saya berharap bagi mereka yang ingin menyertai sukan para, jangan putus asa dan percayalah terhadap usaha menjadikan impian anda satu kenyataan," katanya yang dilahirkan berkaki pengkar dan menjalani pembedahan pada 2003 ketika berusia 10 tahun untuk memasukkan dua serpihan logam bagi meluruskan kakinya.



Aini bakal berangkat bersama atlet lain ke Birmingham pada 27 Julai ini dan bertanding pada 4 Ogos nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >