Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Rencana

Guna semula bahan sisa makanan untuk lestarikan sekitaran

Oct 18, 2020 | 05:30 AM

RAMAI yang melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan kemungkinan akibatnya dan bagaimana ia boleh mempengaruhi persekitaran dan masa depan kita.

Demikian menurut Cef Lennard Leong bersama Miele Singapura yang bekerja di dapur yang mengendalikan kelas memasak, acara memasak, demo memasak dan juga menguji resipi.

Sebagai seorang cef yang bekerja sendirian, Cef Lennard berkata beliau telah melihat banyak sisa makanan yang beliau telah buang semasa bekerja di dapur.

Dengan harapan menjadikan keadaan lebih menjimatkan dan mengurangi sampah, Cef Lennard berkongsi beliau kini berusaha menggunakan semula bahan-bahan yang sering dibuang untuk membuat hidangan yang baru.

"Sekarang dalam era di mana maklumat senang dicari dalam talian, saya rasa kita boleh memikirkan dengan lebih mendalam tentang banyak perkara.

"Apabila saya bekerja bersendirian di dapur, saya melihat sendiri berapa banyak sisa makanan yang saya buang. Ini semua telah menyumbang kepada bahan buangan yang banyak di Singapura.

"Disebabkan itu, ia telah mendorong saya untuk menyelidik bagaimana untuk menggunakan semula bahan-bahan tambahan.

"Selain itu, saya juga berbincang dengan cef-cef lain yang bekerja di restoran mengenai bagaimana kami boleh melakukannya. Untuk menjadi lebih baik, ia memerlukan banyak masa dan usaha," kata cef berusia 32 tahun itu.

Menurut finalis Masterchef Asia itu, ramai cef lain di seluruh dunia, sudahpun memulakan usaha untuk menggunakan sisa makanan untuk menjadikannya boleh dimakan.

Walaupun Singapura baru sahaja memulakan inisiatif ini, Cef Lennard berkata ia sedang berkembang.

"Ramai yang belajar daripada cef-cef ini dan mereka menjadi inspirasi kepada cef lain seperti saya melakukan yang sama. Mungkin ia masih awal untuk mengatakan apa-apa tetapi saya melihat lebih ramai yang kini lebih peka terhadap persekitaran," jelas Cef Lennard.

Antara cara beliau menggunakan semula bahan-bahan itu adalah membuat stok yang boleh digunakan dalam masakan lainnya.

"Yang paling mudah bagi saya adalah untuk membuat stok. Banyak bahan seperti batang sayur brokoli atau batang cendawan mempunyai banyak perisa.

"Mungkin ia mengambil lebih banyak masa untuk mempelajari bagaimana kita boleh mengunakan semula bahan-bahan seperti ini. Cara ini boleh membantu melestarikan persekitaran.

"Yang penting adalah untuk mengambil langkah pertama dan melakukan perubahan itu," ujarnya.


"Yang paling mudah bagi saya adalah untuk membuat stok. Banyak bahan seperti batang sayur brokoli atau batang cendawan mempunyai banyak perisa. Mungkin ia mengambil lebih banyak masa untuk mempelajari bagaimana kita boleh mengunakan semula bahan-bahan seperti ini. Cara ini boleh membantu melestarikan persekitaran. Yang penting adalah untuk mengambil langkah pertama dan melakukan perubahan itu.''
- Cef Lennard Leong


NEA YEStival

YEStival adalah pesta dalam talian yang akan merai dan mempromosikan tindakan yang boleh di ambil oleh orang ramai untuk mengurangkan bahan buangan dan sisa makanan kita di laman Facebook Clean & Green Singapore.

Tarikh: 18 hingga 22 Oktober 2020

SEGMEN BERSAMA PERSONALITI TEMPATAN

20 Oktober, 7.30 malam
Berbelanja di kedai runcit bersama Hayley & Jayley Woo

- Kembar terkenal Hayley dan Jayley akan mengambil bahagian dalam eksperimen berbelanja di kedai runcit dan mempelajari bagaimana mengurangkan pembaziran makanan.

21 Oktober, 7.30 malam
Makan bersama Benjamin Kheng & Naomi Yeo

- Pasangan Benjamin Kheng bersama Naomi Yeo berkongsi panduan dan teknik untuk menyediakan makanan berdasarkan bahagian yang diperlukan.

22 Oktober, 7.30 malam
Tiada pembaziran bersama Lennard Yeong dan Munah Bagharib

- Pelakon dan hos Munah Bagharib akan mempelajari daripada finalis Masterchef Asia, Lennard Yeong, bagaimana mengurangkan pembaziran ketika memasak.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian