USAHA mempelajari simpulan bahasa tidak boleh dilakukan melalui hafalan semata-mata.
Sebaliknya, guru memainkan peranan besar dalam memastikan kandungan pendidikan itu dapat menambah kefahaman dan perhatian para pelajar.
Bagi Cik Sopianti Abdullah, 41 tahun, guru kanan di sebuah sekolah setempat, beliau mengakui pedagogi yang menarik adalah penting untuk mewujudkan minat pelajar terhadap sesuatu bahan pembelajaran.
Oleh itu, beliau melakukan percubaan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium pembelajaran bahasa Melayu yang terkini.
CETUS KESERONOKAN DI DALAM KELAS
Platform inovatif TikTok bukan sahaja dianggap sesuai dengan trend generasi muda hari ini, tetapi beliau dapat merasakan pelajarnya lebih bersemangat ketika mempelajari bahasa Melayu, khususnya berkaitan simpulan bahasa.
Guru berkelayakan Diploma Pendidikan Bahasa Melayu dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) itu menerangkan:
"Murid-murid saya paling gemar berlakon di hadapan rakan-rakan dan kamera. Apatah lagi, jika mereka diberikan kebebasan untuk memilih jalan cerita serta rakan-rakan untuk berlakon.
"Baru-baru ini, saya cuba berlakon 1 minit menggunakan aplikasi TikTok@sopvidz bersama murid-murid di dalam kelas menggunakan dialog bersama simpulan bahasa yang saya hasilkan bersama mereka.
"Murid-murid sangat seronok dan sering meminta untuk berlakon bersama. Oleh demikian, setiap kali pembelajaran simpulan bahasa ataupun bila ada masa terluang, saya akan pilih seorang atau dua orang murid untuk berlakon dengan saya.
SOKONG TREND PEMBELAJARAN TERKINI
Sebagai seorang pendidik yang berjiwa kreatif, Cik Sopianti ingin kandungan pengajarannya menarik dan sesuai dengan perkembangan digital.
Oleh itu, beliau banyak menghasilkan video-video mencuit hati yang seronok ditonton sebagai bahan pembelajaran semasa.
Tambah beliau:
"Ketika menjadi seorang guru pelatih, tercetus idea mengajar simpulan bahasa melalui sketsa. Kebanyakan ilham sketsa ini diperoleh daripada cerita-cerita Melayu P Ramlee yang banyak menyelitkan simpulan bahasa dalam filem-filem beliau.
"Selain daripada berlakon, saya juga banyak masukkan pembelajaran menggunakan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Unsur ICT digunakan kerana landskap pendidikan sudah berubah, maka cara kita mengajar juga berubah mengikut profil pelajar dan keadaan.
"Para pelajar sangat gemar apabila saya menggunakan aplikasi seperti Kahoot, Wordwall, Quizizz dan beberapa aplikasi yang lain untuk menguji simpulan bahasa mereka. Murid-murid biasanya suka elemen gamifikasi dalam pembelajaran mereka.''
BERI GALAKAN KEPADA PELAJAR
Selain itu, banyak lagi usaha yang dilakukan beliau agar para pelajar dapat memahami pembelajaran simpulan bahasa Melayu dengan lebih mudah dan menarik.
Kata beliau:
"Saya juga siapkan kuiz dalam talian menggunakan aplikasi seperti Socrative/Kahoot untuk murid-murid hafal senarai simpulan bahasa yang diberikan.
"Pertama sekali, murid-murid harus faham maksud setiap perkataan dalam simpulan bahasa dan apa kaitannya dengan maksud simpulan bahasa tersebut.
"Kemudian, cuba kaitkan simpulan bahasa yang dipelajari dengan senario mengikut konteks hari ini ataupun kehidupan seharian.
"Misalnya, hayati simpulan bahasa "air dicincang tidak akan putus" yang bermaksud dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan. Fikirkan senario di mana murid-murid boleh menggunakan simpulan bahasa ini.
"Kedua, banyakkan membuat latihan simpulan bahasa yang boleh murid-murid dapatkan dalam talian seperti Kahoot, Quizizz, Wordwall, Quizlet.
"Ataupun, tulis simpulan bahasa yang telah dipelajari pada kad imbas dan gunakan kad tersebut untuk menguji diri masing-masing."
KEPENTINGAN SIMPULAN BAHASA
Bercerita mengenai kepentingan mendalami simpulan bahasa, Cik Sopianti Abdullah menegaskan, simpulan bahasa Melayu mengandungi nilai-nilai penting untuk diamalkan dalam kehidupan.
Apa yang penting sekali, simpulan bahasa mencerminkan kesantunan bahasa Melayu dan perlu dikekalkan untuk generasi yang mendatang.
Betapa hebatnya orang Melayu mencipta simpulan bahasa untuk mempamerkan pemikiran dan pandangan hidup mereka dalam santun pertuturan dan penulisan.
Justeru, pembelajaran simpulan bahasa haruslah berterusan supaya murid-murid dapat menghayati keindahan dan keunikan bahasa Melayu.
"Selain daripada berlakon, saya juga banyak masukkan pembelajaran menggunakan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Unsur ICT digunakan kerana landskap pendidikan sudah berubah, maka cara kita mengajar juga berubah mengikut profil pelajar dan keadaan."
- Cik Sopianti Abdullah, 41 tahun, guru kanan di sebuah sekolah setempat.