Haji pertingkat modal politik calon presiden Indonesia tapi tidak jamin kemenangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Haji pertingkat modal politik calon presiden Indonesia tapi tidak jamin kemenangan

Jul 5, 2023 | 6:05 PM

Haji pertingkat modal politik calon presiden Indonesia tapi tidak jamin kemenangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TUNAI RUKUN ISLAM  KELIMA: Jemaah dari pelbagai pelosok Indonesia berbondong-bondong menaiki pesawat bagi menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. Hampir semua calon presiden dan naib presiden Indonesia menunaikan haji tahun ini. 
TUNAI RUKUN ISLAM KELIMA: Jemaah dari pelbagai pelosok Indonesia berbondong-bondong menaiki pesawat bagi menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. Hampir semua calon presiden dan naib presiden Indonesia menunaikan haji tahun ini.  - Foto AFP

DR NORSHAHRIL SAAT dan DR AHMAD MUJAHIR

Hampir semua calon presiden dan naib presiden Indonesia menunaikan haji tahun ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 229,000 jemaah haji Indonesia yang pergi ke Tanah Suci tahun ini bagi memenuhi rukun Islam kelima.

Walaupun calon-calon mungkin berada di Makkah atas sebab kerohanian atau urusan negara yang tulen, haji secara tidak langsung dapat meningkatkan modal simbolik dan politik mereka.

Bagaimanapun, ibadah haji tidak mungkin menjamin kemenangan langsung dalam pilihan raya; tetapi bagi sesetengah orang, perjalanan ke Tanah Suci memperkukuh imej Islam mereka yang soleh pada mata pengundi.

Ini adalah musim haji terakhir sebelum pilihan raya presiden dan legislatif Indonesia, yang akan diadakan pada Februari 2024.

Pada masa lalu, beberapa ahli politik Indonesia menunaikan umrah ke Makkah sejurus sebelum pilihan raya. Sebagai contoh, Presiden Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Encik Jokowi, melakukan umrah sebelum pilihan raya 2014 dan 2019 dan seterusnya memenanginya.

Pesaingnya, Encik Prabowo Subianto, menunaikan umrah pada 2018 tetapi kalah dalam pemilihan 2019.

Tidak ada kaitan langsung antara kemenangan umrah dengan Encik Jokowi, tetapi ia membantu presiden itu menghapuskan berita palsu dan kempen fitnah yang dibuat terhadapnya.

Pada 2014, terdapat khabar angin bahawa beliau bukan seorang Muslim dan pada 2019 beliau dituduh anti-Muslim.

Berbeza daripada haji, umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Dalam hal ini, ibadah haji mempunyai kepentingan lebih besar daripada umrah. Lazimnya lelaki di Indonesia yang telah menunaikan haji akan diberi gelaran ‘haji’ sebelum nama mereka dan ‘hajah’ bagi wanita, yang tidak diberikan kepada jemaah umrah.

Apabila mereka kembali ke tanah air, mereka juga menjadi simbol kebenaran, kesucian, dan insan ‘terpilih’ ke rumah Allah, atau Kaabah.

Calon Presiden, Encik Anies Baswedan, yang menunaikan ibadah haji tahun ini menyifatkan ia sebagai “perjalanan rohani yang penting” untuknya dan “titik permulaan sebelum perjuangan yang lebih besar akan datang”.

Beliau menambah bahawa “perjuangan bukan tentang dirinya atau keluarganya tetapi mengenai seluruh negara, terutamanya, golongan yang lemah.”

Namun, imej Encik Anies sebagai pemimpin Islam soleh tidak semestinya membolehkan beliau meraih lebih banyak sokongan daripada kem Islam.

Walaupun beliau disokong oleh parti Islam – Parti Keadilan Sejahtera (PKS) – Encik Anies kekal terasing daripada Nahdlatul Ulama (NU).

Beliau tidak pernah dikaitkan dengan pertubuhan Islam terbesar di Indonesia itu. Pilihan raya lalu menunjukkan bahawa sokongan NU adalah kunci untuk memenangi pilihan raya.

Sementara itu, Encik Sandiaga Uno, calon naib presiden, turut berkunjung ke Makkah. Beliau menunaikan haji pertamanya pada 1998.

Seperti Encik Anies, gelaran haji sepatutnya meningkatkan daya tarikan Muslim. Tetapi ibadat hajinya mungkin tidak banyak mempengaruhi sokongan NU kerana beliau bukan berasal daripada barisan kepimpinannya.

Encik Sandiaga baru-baru ini membuat langkah politik strategik dengan bertukar daripada parti nasionalis Gerindra kepada Parti Pembangunan Bersatu (PBB). Perubahan kesetiaan politik itu memberi isyarat bahawa Encik Sandiaga berkemungkinan menarik minat orang Islam.

Encik Sandiaga, menteri pelancongan dan ekonomi kreatif, mengerjakan haji kali ini secara kebetulan kerana rancangannya adalah untuk menghadiri Simposium Haji di Jeddah anjuran kerajaan Saudi pada 20 Jun.

Seorang jurucakap memberitahu media bahawa Encik Sandiaga berdoa bagi Indonesia yang lebih baik di hadapan Kaabah. Dalam kalangan calon presiden dan naib presiden, hanya Encik Sandiaga yang mengerjakan haji buat kali kedua.

Encik Ganjar Pranowo daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) turut menunaikan ibadah haji tahun ini. Beliau disertai Cik Maharani sekeluarga. Cik Maharani anak Cik Megawati Sukarnoputri, mantan presiden Indonesia yang juga anak presiden pengasas Indonesia, Encik Sukarno, dan pengerusi PDI-P.

Encik Ganjar berada di belakang lawannya dari segi perawakan dan keislamannya.

Menunaikan haji memberinya peluang menunjukkan komitmennya terhadap akidah Islam, tetapi dengan sendirinya ia tidak semestinya menjamin kemenangannya dalam pilihan raya.

Haji meningkatkan imejnya, tetapi akhirnya beliau perlu mendapatkan pengesahan daripada parti dan pertubuhan Islam seperti NU.

Encik Prabowo daripada parti Gerindra adalah calon presiden yang tidak menunaikan ibadah haji tahun ini. Pada 1991, beliau melakukan ibadah itu bersama mendiang Presiden Suharto, menerima liputan menyeluruh di televisyen nasional.

Sebaliknya, pengerusi Gerindra, Encik Sufmi Dasco Ahmad, dilaporkan menuju ke Makkah. Berbanding pesaingnya, Encik Prabowo telah memperoleh sokongan mantap menerusi dua pilihan raya yang ditandingi sebelum ini.

Sama ada beliau menunaikan haji tahun ini tidak mungkin mengubah persepsi orang ramai terhadap agamanya dalam sekelip mata; malah mungkin mempunyai kesan terbalik bahawa beliau melakukannya kerana kesesuaian politik.

Akhirnya, hanya Tuhan yang dapat melihat niat calon presiden dan naib presiden apabila mereka melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Menunaikan ibadah haji tidak menjamin kemenangan jelas calon malah menjadikan mereka mendahului lawan kerana mendapat sokongan daripada pertubuhan Islam yang dominan seperti NU kekal penting.

Bagaimanapun, ujiannya ialah apakah mereka pulang ke Indonesia dengan semangat haji sebenar, iaitu merendahkan kekayaan, status, kelas ekonomi dan bangsa serta berkhidmat kepada rakyat jelata dengan jujur, sama rata, dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Ini adalah sesuatu yang boleh dinilai sendiri oleh pengundi.

Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak. Dr Ahmad Muhajir pula Zamil Pelawat di Iseas–Institut Yusof Ishak. Beliau seorang pensyarah di Fakulti Syariah Universitas Islam Negeri Antasari Banjarmasin. Rencana ini disiarkan kali pertama dalam laman Fulcrum Iseas-Institut Yusof Ishak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg