Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Hampir 3 dekad gigih ajar anak-anak madrasah

Ceburi bidang dengan gaji ‘$1,000 lebih’
Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Sebagai siswazah baru dari Universiti Al-Azhar, Mesir, pada 1995, beliau memutuskan untuk memenuhi cita-citanya menjadi seorang guru dan menceburi kerjaya itu di madrasah.

Lebih tiga dekad kemudian – berbekalkan lebih banyak kelayakan termasuk ijazah sarjana dan juga doktor falsafah – Ustazah Dr Rabia Hanifa masih menabur bakti dalam bidang yang sama, mendidik anak-anak masyarakat Islam Singapura di madrasah.

Dr Rabia, 60 tahun, merupakan salah seorang guru mapan di Madrasah Aljunied Al-Islamiah dengan kepakaran mengajar subjek ukhrawi termasuk tafsir, hadis dan fiqah.

Sebelum ini, Dr Rabiah telah menyumbang bakti sebagai tenaga pengajar di Madrasah Al-Irsyad dari 1995 hingga 2017.

Menurutnya, sejak menamatkan pengajian di universiti, tiada laluan kerjaya lain yang difikirkan kerana “begitu minat mengajar.”

“Saya pernah ditanya mengapa tidak menceburi bidang kerjaya lain, selain di madrasah.

“Namun, memang hati dan emosi saya ada dengan pelajar, tak keruan apabila berjauhan dengan mereka,” katanya apabila ditanya sama ada beliau pernah mempertimbangkan kerjaya di luar madrasah.

Pada 2011, beliau pernah dipinjamkan ke Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) namun memutuskan untuk kembali mengajar di Madrasah Al-Irsyad selepas setahun kerana terlalu rindu mengajar.

Dr Rabiah – yang memiliki ijazah sarjana muda dari Al-Azhar dalam jurusan fiqah dan usuluddin – telah memutuskan untuk menjalani program sarjana dalam jurusan bahasa Arab pada 2012 di Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang di Indonesia.

Fiqah menyentuh tentang hukum Islam sementara Usuluddin pula adalah ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang antara lain, berhubung soal ketuhanan dan kenabian.

Dr Rabiah meneruskan pengajiannya dalam jurusan yang sama ke peringkat doktor falsafah (PhD) pada 2015 di universiti yang sama.

Menurutnya, kemahiran tambahan tersebut telah ‘menaikkan sedikit’ tangga gajinya.

Beliau mula menceburi kerjaya sebagai seorang guru di madrasah dengan gaji “$1,000 lebih” dan kini membawa pulang sekitar $3,000 sebulan.

Menurutnya, beliau pernah mengajar di masjid bagi menambah pendapatan bulanan demi menyara kehidupan keluarga.

“Apa jua sekalipun, ini bukan sesuatu yang menjejas motivasi saya kerana memang kita dah bersedia untuk harunginya demi anak-anak kita.

“Memang mereka yang ingin ceburi bidang ini perlukan semangat yang tinggi untuk berbakti serta komitmen terhadap usaha membentuk generasi masa depan masyarakat kita.

“Bukan semua orang ada kemahiran atau minat untuk mengajar, dan berdakwah juga banyak kaedah dan mengajar merupakan salah satu daripadanya.

“Tentu sekali pada masa yang sama, kita juga perlu sara hidup sendiri dan keluarga,” ujar ibu empat anak berusia 24 hingga 30 tahun itu.

Beliau berharap perlaksanaan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) oleh Muis bakal mewujudkan sektor keagamaan yang lebih berdaya saing.

Muis akan melaksanakan CSG di masjid dan madrasah secara berperingkat mulai 2023 bagi memastikan para asatizah diberi pakej gaji yang adil berdasarkan kecekapan dan nilai yang mereka bawa kepada pekerjaan mereka.

Sementara itu, Dr Rabiah akui sektor tersebut telah menyaksikan pelbagai perkembangan sejak 1990-an, termasuk dari segi pentadbiran serta perlaksanaan program-program peningkatan kemahiran asatizah.

Bagi golongan asatizah yang baru ingin menceburi bidang tersebut, Dr Rabiah menasihati agar memastikan mereka mempunyai minat mendalam serta daya tahan untuk menempuh pelbagai cabaran, termasuk daripada pelajar.

Katanya: “Memang saya dah lihat ramai orang yang keluar masuk sektor ini, dari dulu sampai sekarang.

“Dalam sektor mengajar ini, kesabaran dalam menempuh kerenah amat penting, kerana memang pelbagai keadaan yang kita hadapi.

“Tugas kita bukan hanya untuk mengajar, malah untuk membentuk masyarakat Islam masa depan.

“Bagi saya, ini tanggungjawab yang cukup besar untuk dipikul serta memerlukan daya tahan yang tinggi.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >