"AKU penuhi panggilanMu Ya Allah Aku penuhi panggilanMu Aku penuhi panggilanMu Ya Allah Tiada sekutu bagimu Aku penuhi panggilanMu Sesungguhnya segala puji Nikmat dan kerajaan hanyalah kepunyaanMu Tiada sekutu bagimu.."

Begitulah pengertian lafaz talbiyah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw kepada para jemaah haji, yang seringkali kedengaran saat tiba bulan Zulhijah.

Sangat luhur hati orang-orang Mukmin seluruh dunia yang menunaikan kewajipan rukun Islam yang kelima dengan penuh ketaatan, ujar Ketua Jabatan Pendidikan Masjid Yusof Ishak, Ustazah Azeemah Mustafa.

"Hakikatnya, melaksanakan haji itu wajib bagi semua umat Islam yang sihat dan berkemampuan.

"Malah mereka yang telah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, sedangkan beliau meninggalkan harta, wajib bagi warisnya membadalkan haji baginya,'' ujar Ustazah Azeemah.

Firman Allah swt di dalam Surah Al Imran ayat 97:

"Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (di antaranya) makam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah) amanlah dia. Dan (di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barangsiapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahwa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam."

Menurut Ustazah Azeemah, selain satu kewajipan, terlalu banyak manfaat mengerjakan haji, sama ada secara individu mahupun secara amnya.

HIKMAH TUNAI HAJI

Antara hikmah menunaikan haji:

  1. Dihapuskan segala dosa lalu dan diberi kan pahala yang besar. Rasulullah saw bersada: "Siapa yang berhaji ke Kaabah lalu tidak berkata-kata seronok dan tidak berbuat kefasikan maka dia pulang ke negerinya sebagaimana ketika dilahirkan oleh ibunya." (Hadir riwayat Bukhari).
  2. Haji Mabrur balasannya syurga Dari Al Imam Ahmad dari Jabir Bin Abdullah bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda: "Haji Mabrur tiada ganjaranya kecuali syurga."
  3. Salah satu amalan yang paling baik Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah saw ditanya: "Amal apakah yang paling utama?" Maka beliau menjawab: "Iman kepada Allah dan Rasul-Nya". Ditanyakan lagi: "Kemudian apa?" Beliau menjawab, "Jihad di jalan Allah". Ditanyakan lagi: "Kemudian apa?" Beliau menjawab: "Haji yang mabrur." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah). Ustazah Azeemah menjelaskan: "Adapun secara amnya, ibadah haji menyerlahkan perpaduan umat Islam, baik yang berkulit cerah mahupun sebaliknya, yang berambut keriting mahupun sebaliknya, yang rendah tubuh badannya mahupun yang tinggi. "Kalimah talbiyah yang membasahi lidah mereka bergema menyatukan hati-hati ini.'' Inilah yang diinginkan agama sesuai firman Allah swt dalam Surah Al Hujuraat ayat 13: "Wahai manusia! Sungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. "Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti."

KESERAGAMAN UMAT

Ustazah Azeemah berkata:

"Begitu juga, keseragaman umat Islam dari pelosok mana pun mereka hadir tanpa mengira paras rupa, harta dan takhta.

"Siapa pun yang berada di Makkah ketika ini pasti berdiri dan berjalan berganding-gandingan. Mereka berihram dalam keadaan serba putih, menutupi aurat hanya dengan dua helai kain bersih yang tidak berjahit.

"Ibadah ini satu demonstrasi bagaimana keadaan kita saat bergelar mayat satu hari kelak dan seterusnya dibangunkan di padang mahsyar dengan jutaan manusia.

"Dengan hikmah ringkas ini, ayuh bersiap kita rohani dan jasmani mulai hari ini. Seandainya diberi peluang melaksanakan rukun Islam yang kelima, rebutlah."

Mentelah lagi, kata Ustazah Azeemah, keadaan tidak menentu hari ini sebagaimana anjuran Rasulullah saw:

"Orang yang berperang di jalan Allah, orang yang berhaji serta berumrah adalah tamu-tamu Allah. Allah memanggil mereka, mereka pun memenuhi panggilan. Oleh kerana itu, jika mereka meminta kepada Allah, pasti akan Allah beri." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

BANYAK PERSEDIAAN

Ustazah Azeemah berkata melakukan perjalanan suci ini menuntut banyak persediaan selain pengorbanan. Beliau menggariskan:

  1. Setiap amalan itu harus dimulai dengan niat Niat ikhlas ini harus dimulakan seawalnya sehingga mencetus semangat dan tindak lanjut. Dari Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab ra, ia berkata: "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, "Sesungguhnya amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang ia niatkan."
  2. Bekalan Takwa "Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa." (Surah Al-Baqarah: 197) Takwa dapat dipupuk dengan banyak muhasabah diri, mempertingkatkan amal ibadah seperti lebih giat melakukan solat-solat sunat, puasa sunat, sedekah dan infak di jalan Allah, banyak bersabar serta bertawakal kepada Allah swt selain bersikap mahmudah.
  3. Tuntutan Duniawi Menabung dari awal sangat penting kerana kos perjalanan ke tanah suci Makkah memerlukan biaya yang tidak kurang besarnya. Tanpa kesihatan yang baik dan kewangan mencukupi, gugur kewajipan menunaikan haji kerana tidak memenuhi syarat haji. Ditambah dengan keadaan pandemik hari ini, semakin ketat syarat yang ditetapkan. Semoga Allah swt mendengar doa dan harapan kita agar dapat diundang menjadi tetamu Allah swt.

SEKILAS BIODATA

Ustazah Azeemah Mustafa ialah ketua Jabatan Pendidikan Masjid Yusof Ishak. Beliau berpendidikan Madrasah Alsagoff dan memiliki ijazah Sarjana Muda Perbandingan Agama, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga memiliki Sarjana Komunikasi Massa, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan UIAM.