Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

RENUNGAN JUMAAT

'Ikatan kuat' mantan pengerusi masjid sepanjang lebih 3 dekad

Dec 31, 2021 | 05:30 AM



PENGALAMANNYA menjadi relawan di Masjid Al-Huda melebihi tiga dekad dan masih berterusan hingga ke hari ini.



Walaupun telah menyerahkan kepimpinan lembaga pengurusan masjid itu kepada pengerusi baru sejak Ogos lalu, Encik Azman Kassim, 60 tahun, masih lagi berkhidmat, sebagai anggota biasa dan mentor.



Anak kesembilan kepada dermawan, Allahyarham Haji Kassim Sultan, itu sering dipilih bapanya, daripada 13 adik-beradiknya, untuk membantu membersihkan masjid seawal umur 11 tahun.



Pada usia 24 tahun, Encik Azman menubuhkan jawatankuasa belia Masjid Al-Huda bagi menganjurkan kelas untuk golongan muda dan membantu masjid dengan usaha mengumpul dana.



Setahun kemudian, pada 1985, beliau dijadikan setiausaha masjid.



Pada 2005, Encik Azman dilantik pengerusi masjid, jawatan yang dipegangnya selama 16 tahun, di mana beliau berjaya mencapai dua matlamat untuk Masjid Al-Huda iaitu mempunyai kakitangan sepenuh masa dan pembangunan tanah milik Wakaf Al-Huda.



"Saya dilahirkan di Kampung Tempe dan bapa saya juga dilahirkan di sini dan pernah menjadi bendahari masjid. Masa muda dahulu, saya cukup ligat di masjid ini. Kadangkala saya jadi bilal, kadang jadi imam. Rasa cinta saya pada Masjid Al-Huda memang kuat.



"Setelah menjadi setiausaha masjid, matlamat pertama saya ialah untuk masjid mempunyai akaun yang betul.



"Kemudian saya teringat mengenai pembinaan Masjid Kassim di mana tanah wakaf dibangunkan dan hasil Wisma Indah berbalik kepada masjid. Saya mendapat ilham untuk tanah wakaf Al-Huda dibangunkan seperti itu. Waktu itu kutipan Jumaat untuk Masjid Al-Huda dalam $200 hingga $300 sahaja dan saya menjadi iri dengan jumlah yang Masjid Kassim dapat," kata Encik Azman.



"Saya juga iri dengan masjid-masjid besar yang ada jumlah kakitangan yang ramai. Saya campur dengan pengerusi masjid-masjid itu dan mendapat tahu belanjanya pun besar. Macam mana pula dengan Masjid Al-Huda dengan 200 jemaahnya ini. Tapi saya yakin insya-Allah dengan adanya tanah wakaf, ini akan berjaya dicapai," tambah guru sekolah menengah itu.



Pada 2015, kelompok rumah mewah Alias Villas mula dibangunkan di atas tanah milik Wakaf Al-Huda, yang terletak bersebelahan masjid.



Hasil usaha tersebut, Wakaf Al-Huda mampu menjana pendapatan bersih yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum kerja-kerja pembangunan dilakukan.



Pendapatannya antara lain digunakan untuk menggajikan tiga pekerja tetap di Masjid Al-Huda, iaitu noja, pegawai pentadbiran dan pegawai dakwah.



"Saya gembira dan berpuas hati Alias Villas menjadi kenyataan dan kini masjid pun ada kakitangan tetap. Dua perkara yang saya impikan itu menjadi kenyataan.



"Dulu masa masjid belum ada kakitangan, saya ke sini empat, lima hari seminggu. Sekarang saya datang sekurang-kurangnya sekali seminggu.



"Bagi saya, ini tahap saya - fikirkan Alias Villas dan masjid yang diubah suai ini. Saya tak boleh fikir lebih tinggi lagi jadi saya serahkan kepimpinan kepada orang muda. Mungkin yang muda dapat menyuntik idea-idea lebih segar," kata Encik Azman yang juga kini seronok meluangkan masa bersama dua cucunya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >