Indonesia beri vaksin warga emas terutama petugas kesihatan
Indonesia beri vaksin warga emas terutama petugas kesihatan
Langkah susuli data yang mendapati separuh kematian akibat Covid-19 adalah golongan berusia 60 tahun ke atas
JAKARTA: Indonesia yang telah memulakan proses vaksinasi Covid-19 sejak 13 Januari lalu untuk golongan berusia 18 tahun hingga 59 tahun, kini turut memberikan suntikan vaksin itu kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan sebelum ini berkata keputusan memberi vaksin kepada golongan berkenaan menyusuli data terkini yang merekodkan separuh daripada mereka yang meninggal dunia akibat virus itu adalah dalam golongan orang berusia.
"Golongan berusia membentuk 10 peratus daripada jumlah yang dijangkiti, tetapi data menunjukkan 50 peratus daripada golongan ini meninggal dunia akibat Covid-19," katanya.
Program vaksinasi terhadap golongan warga emas bermula dengan mengutamakan petugas kesihatan.
Budi Gunadi berkata pihaknya sudah mengarahkan supaya memulakan program vaksinasi pada 9 pagi waktu tempatan dan menyasarkan golongan berusia 60 tahun ke atas.
"Terdapat kira-kira 11,600 daripada 1.5 juta petugas kesihatan yang berusia 60 tahun. Melakukan vaksinasi terhadap kelompok ini adalah langkah tepat kerana kematian akibat Covid-19 yang melibatkan warga emas cukup tinggi.
"Sebanyak 10 peratus daripada sejuta orang yang dijangkiti Covid-19 adalah warga emas dan daripada jumlah tersebut, 50 peratus antaranya meninggal dunia," katanya kepada CNN Indonesia.
VAKSINASI MENAMPAKKAN KESAN
Terdahulu, Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) mengesahkan bahawa vaksin Coronavac selamat digunakan terhadap golongan warga emas berdasarkan ujian klinikal fasa satu, kedua dan ketiga yang dilakukan di Brazil.
BPOM juga meluluskan penggunaan kecemasan vaksin tersebut untuk penduduk berusia 60 tahun ke atas dengan dua dos suntikan dalam tempoh selang 28 hari.
Ketua BPOM Penny K. Lukito berkata warga emas merupakan golongan berisiko tinggi, maka semua aspek perlu diperhatikan selepas diberi suntikan vaksin.
Dalam pada itu, program vaksinasi yang dilaksanakan sebelum ini menggunakan vaksin Sinovac, CoronaVac dari China pada pertengahan Januari lalu menunjukkan penurunan bilangan jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan.
"Kita telah periksa dan akan ulang periksa bagi melihat adakah kesan program vaksinasi di daerah-daerah (Indonesia) ini konsisten terutama terhadap petugas kesihatan.
"Jawa Tengah antara wilayah yang paling cepat program vaksinasi dijalankan terhadap petugas barisan hadapan," katanya lagi.
Wilayah Jawa Tengah menunjukkan penurunan jangkitan virus itu pada hujung Januari lalu apabila hanya 141 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 berbanding 179 dan 267 sebelum ini.
Sehingga kini, 34 wilayah termasuk 500 bandar di negara itu telah menjalankan program vaksinasi secara besar-besaran.
SELESAI AKHIR TAHUN
Program vaksinasi Indonesia yang menyasarkan suntikan kepada lebih 182 juta penduduk itu dijangka diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Presiden Joko Widodo menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Sinovac dari China itu bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin berkenaan.
Beliau memberitahu Reuters bahawa perancangan sudah dilakukan bagi mengedarkan vaksin ke seluruh negara.
Negara dengan penduduk 270 juta orang itu akan menjadi antara yang pertama di dunia melakukan vaksinasi terhadap Covid-19.
Indonesia merupakan negara Asia Tenggara yang menerima impak terbesar Covid-19, dengan sekitar 15,000 kematian dan 450,000 jangkitan.
Encik Jokowi sebelum ini menyatakan bahawa memastikan keselamatan vaksin adalah keutamaan, dan bahawa pekerja kesihatan, polis dan tentera akan menjadi yang pertama ketika kempen vaksinasi dimulakan.
Vaksin yang dihasilkan oleh Sinovac dan Sinopharm China dijangka digunakan pada peringkat awal kempen.
Kedua-duanya akan membekalkan 18 juta vaksin tahun ini, termasuk 15 juta yang akan dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal milik negara Indonesia, Bio Farma.
Indonesia mempunyai perjanjian untuk mendapatkan lebih 250 juta dos hingga akhir 2021, termasuk 30 juta yang dikeluarkan oleh syarikat Amerika Syarikat, Novovax.
Ini sekali gus berpotensi mengubah strategi republik tersebut yang mengutamakan golongan pekerjanya dalam pemberian suntikan vaksin.
Menurut pihak berkuasa, ini kerana data sebelum ini mengenai keselamatan vaksin itu terhadap warga emas adalah terhad.
Pemerintah telah mengagihkan sebanyak tiga juta dos vaksin Sinovac di seluruh Indonesia bermula bulan lalu dengan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan dan penjawat awam.
Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id., setakat ini sebanyak 814,585 orang telah menerima suntikan pertama vaksin manakala 171,270 telah menjalani suntikan kedua.
Pihak berkuasa berkata mereka akan memperolehi 25 juta lagi dos menjelang akhir Mac ini.
Dalam masa setahun, Indonesia ingin memvaksinasi lebih 180 juta individu, atau dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penduduknya.
Pakar epidemiologi di Universiti Indonesia Pandu Riono berkata Indonesia perlu menyegerakan pemberian vaksin kepada golongan warga emas sekiranya ingin menghentikan penularan wabak Covid-19.
BOLEH DIPENJARA JIKA ENGGAN DIVAKSIN
Menurut laporan CNN Indonesia, semua rakyat negara ini diwajibkan menyertai program vaksinasi tersebut dan mereka yang ingkar boleh berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun.
Timbalan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Edward Omar Sharif Hiariej berkata rakyat yang ingkar juga boleh didenda atau kedua-duanya iaitu penjara dan denda.
"Hukuman penjara dan denda itu merujuk kepada Undang-Undang Nombor 6 Tahun 2018 mengenai Penjagaan Kesihatan.
"Fasal 93 Undang-Undang Penjagaan Kesihatan menjelaskan setiap orang yang tidak mematuhi pengurusan penjagaan kesihatan atau menghalang proses tersebut boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sebanyak 100 juta rupiah ($9,500)," katanya.
Menurutnya, hukuman penjara menjadi pilihan terakhir sekiranya masih ada rakyat yang berdegil dan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Namun, langkah itu tidak dipersetujui Persatuan Besar Ikatan Doktor Indonesia (PBIDI).
Ketua pasukan pencegahan Covid-19 PBIDI Zubair Djoerban berkata rakyat mempunyai hak menerima atau menolak suntikan vaksin selepas dijelaskan mengenai kebaikan atau kesan sampingannya.
Seperti dihadapi kebanyakan negara, Indonesia juga tidak terkecuali dengan kewujudan kumpulan antivaksin dan golongan yang mempertikai keberkesanan vaksin tersebut yang dihasilkan dalam tempoh singkat.
Firma kaji selidik, Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), menerusi tinjauan pada pertengahan bulan lalu mendapati 40 peratus daripada 1,202 responden belum membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan suntikan vaksin ataupun tidak.
Sementara itu, kira-kira 37 peratus sedia mengikuti program vaksinasi tersebut manakala 17 peratus enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 itu. - Agensi berita.
"Golongan berusia membentuk 10 peratus daripada jumlah yang dijangkiti, tetapi data menunjukkan 50 peratus daripada golongan ini meninggal dunia akibat Covid-19. Terdapat kira-kira 11,600 daripada 1.5 juta petugas kesihatan yang berusia 60 tahun. Melakukan vaksinasi terhadap kelompok ini adalah langkah tepat kerana kematian akibat Covid-19 yang melibatkan warga emas cukup tinggi." - Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin.

