Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) membuka lawatan berpandu dwibulanan ke Rumah Api Raffles di Pulau Satumu bagi orang awam mulai Februari. Ia sebahagian daripada usaha MPA memupuk minat warga Singapura terhadap sejarah dan warisan negara ini sebagai hab maritim antarabangsa. Sekumpulan wartawan kanan, termasuk BERITA HARIAN, diundang MPA merasakan pengalaman mengunjungi rumah api itu baru-baru ini.
RUMAH Api Raffles di Pulau Satumu - pulau paling selatan di perairan Singapura - menjadi tempat yang dituju para menteri Kabinet pada 1959 apabila mereka menghadapi masalah negara.
Di situ mereka berkumpul jauh dari hiruk-pikuk tanah besar, dan menumpukan perhatian terhadap penyelesaian yang ingin dicapai.
Hari ini, anda boleh menjejaki perjalanan para menteri itu sebagai sebahagian daripada lawatan dwibulanan baru yang dianjurkan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Sejak 2012, MPA menawarkan lawatan berpandu ke Rumah Api Raffles semasa Minggu Maritim Singapura pada April setiap tahun bagi menghargai warisan maritim Singapura yang kaya.
Oleh kerana permintaan bagi lawatan itu meningkat, MPA kini menyediakannya secara berkala supaya orang ramai dapat mengunjungi rumah api itu sepanjang tahun.
KENALI SEJARAH MARITIM SINGAPURA
Lawatan lima jam itu bermula di terminal feri Marina South Pier, tempat pelawat akan dibawa melalui Galeri Maritim Singapura MPA.
Di sini pelawat akan mempelajari sejarah pembangunan pengangkutan laut yang menjadikan pelabuhan Singapura antara termaju di dunia.
Di sini juga dipamerkan model lima rumah api yang dikendalikan MPA: Rumah Api Horsburgh - tertua di Singapura, beroperasi sejak 1851 - di Pedra Branca; Rumah Api Sultan Shoal; Rumah Api Pulau Pisang; Rumah Api Bedok; dan, sudah tentu, Rumah Api Raffles.
Kesemua rumah api ini masih beroperasi hingga sekarang.
Peserta kemudian akan menaiki feri bagi pelayaran selama 75 minit ke Pulau Satumu, yang terletak 23 kilometer dari tanah besar Singapura.
Walaupun perjalanan melebihi satu jam, ia tidak begitu terasa. Penerangan menerusi audio mengenai aktiviti pelabuhan di sepanjang pelayaran, termasuk sejarah di Tanjong Pagar hingga ke pulau-pulau Selatan Singapura, memenuhi masa pelawat dengan maklumat menarik.
Peserta juga mempelajari tentang bantuan untuk navigasi dan pelbagai jenis kapal semasa perjalanan itu.
Bukan selalu juga kita dapat melihat pemandangan pulau-pulau Selatan seperti Bukom, Brani dan Semakau, tapak pelupusan luar pesisir buatan Singapura.
Apabil tiba di Pulau Satumu, pemandangan pasti tertumpu pada menara Rumah Api Raffles, yang di kelilingi kehijauan yang cukup tenang dan damai.
MEMANJAT RUMAH API RAFFLES
Namun, ketika meniti jeti menuju ke rumah api itu, anda pasti tertarik pada pemandangan pantai yang dipenuhi batu-baru karang dan pada air yang begitu jernih, biarpun ketika laut mula surut.
Ini diikuti anak tangga menghala terus ke tengah-tengah struktur berusia 167 tahun itu, yang dibina menggunakan granit dari kuari Pulau Ubin dan dengan bantuan buruh banduan.
Menjejaki Pulau Satumu bak berada di sebuah perkampungan yang bersih lagi tenang, dengan daun--daun pokok kelapa melambai-lambai segar sekeliling pantai.
Setinggi 29 meter, rumah api itu tidak sehebat kapal kontena yang mungkin dilihat pengunjung di perairan Singapura, tetapi dengan berdiri tegak menentang langit cerah dan di tengah-tengah pepohon kelapa, struktur berdinding putih itu masih menarik perhatian.
Ya, anda juga dibenarkan memanjat 88 anak tangga ke puncak rumah api itu - yang boleh membuat anda tercungap sebentar menuju ke ruang berbentuk kubah.
Di bawah anak tangga terakhir, pelawat dapat melihat dua tangki silinder hijau - peninggalan ma
sa lalu yang digunakan untuk menyimpan minyak tanah wap bertekanan antara 1905 dan 1968, apabila nyalaan berfungsi sebagai sumber cahaya tanglung.
PEMANDANGAN 360 DARJAH
Namun dengan beberapa langkah lagi memanjat anak tangga yang menegak di ruang 'kubah' itu, sesampai di puncak, kepenatan akan hilang sebaik anda menghirup udara segar, sekali gus kagum dengan pemandangan panoramik 360 darjah.
Saujana mata memandang dengan keindahan laut terbentang dan pulau-pulau berdekatan.
Apa yang dapat anda lihat di sekeliling 360 darjah itu?
Ke arah utara ialah Pulau Senang - digunakan hari ini untuk latihan tentera menggunakan peluru hidup - dan Pulau Biola yang lebih kecil.
Kepulauan Riau Indonesia terletak di selatan.
Berpusing menghadap kubah, pengunjung dapat melihat kanta berbentuk bola api rumah api itu terus berputar, walaupun pada hari lampunya dimatikan.
Ini membantu mengelakkan diod pemancar cahaya (LED) daripada rosak oleh sinaran matahari.
Di kaki rumah api itu terdapat sebuah bilik yang berfungsi sebagai muzium kecil, mempamerkan peralatan dan alat navigasi yang digunakan di rumah api dan oleh pelayar selama bertahun-tahun.
Antara yang dipamerkan ialah tanglung pijar dengan kanta yang berfungsi membesarkan pancaran cahaya rumah api di masa lalu.
Turut dipamerkan ialah nota tulisan tangan mendiang mantan presiden S R Nathan semasa lawatan beliau ke rumah api itu pada 4 Disember 2006.
Nota itu antara lain berbunyi: "Lawatan yang tidak dapat dilupakan ke rumah api yang telah menyaksikan banyak hari penting dalam sejarah Singapura.
"Pada 1959/60 ia berfungsi sebagai tempat untuk menteri kita merenung dan memikirkan penyelesaian bagi banyak masalah negara yang mereka hadapi."
Langkah-langkah singkat menuju ke pantai dan hujung pulau paling selatan Singapura itu, yang berfungsi sebagai tempat baik untuk bergambar.
PENJAGA PULAU
Tepi pantai pulau ini adalah tapak bersarang dan penetasan penyu sisik, yang sangat terancam, menurut penjaga pulau itu, Encik Sahroni Omar, 41 tahun.
Beliau antara lapan penjaga rumah api yang bekerja di MPA. Mereka berkhidmat 10 hari syif di pulau itu dan mengambil 10 hari cuti pantai di antara syif.
Encik Sahroni berkata walaupun beliau dan teman penjaga pulau itu menikmati kedamaian di situ, mereka tidak sabar untuk menyambut pelawat dan menerangkan tentang pekerjaan mereka.
"Sebelum saya mengambil kerja ini, saya tidak tahu bahawa ada orang tinggal di rumah api.
"Sekarang saya tahu, dan saya gembira untuk memberitahu orang lain apa yang saya lakukan," kata penjaga rumah api selama lapan tahun itu.
Selain memastikan lampu tidak padam pada waktu malam, mereka menjaga kebersihan seluruh pulau itu dan menghabiskan kira-kira separuh daripada setiap hari kerja membersihkan dan menjaga landskapnya.
Kembali ke jeti, pastikan anda mengintip dari atas pagar untuk melihat hidupan marin di perairan pulau itu. Pelawat bertuah mungkin melihat jerung terumbu blacktip.
Kemudian tiba masanya mengucapkan selamat tinggal kepada pulau itu.
Perjalanan selama sejam di atas feri membawa pengunjung pulang ke tanah besar.
INGIN SERTAI LAWATAN?
Orang ramai yang ingin menyertai lawatan ke Rumah Api Raffles boleh menempah tiket di laman web https://www.mpa.gov.sg/web/portal/home/maritime-singapore/public-outrea…
Bayaran $62.71 bagi orang dewasa dan $34.70 untuk pelajar dikenakan.