DENGAN kesan inflasi yang semakin dirasakan setiap isi rumah dan berkemungkinan kekal tinggi sepanjang tahun ini, masalah jaminan makanan masih menjadi antara kebimbangan utama di kalangan mereka yang kurang bernasib baik.
Harga pengguna teras, yang mencerminkan perbelanjaan isi rumah Singapura dengan lebih tepat, meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun pada Februari, tidak berganjak sejak Januari.
Dilaporkan juga bahawa inflasi makanan turut kekal tidak berubah pada Februari pada kadar 8.1 peratus.
Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam beberapa bulan akan datang, menurut pihak berkuasa baru-baru ini.
Masalah jaminan makanan menjadi antara isu sosial yang paling penting dan harus terus diberi perhatian, kata badan amal setempat yang dihubungi Berita Harian (BH).
TINJAUAN JAMINAN MAKANAN
Masalah jaminan makanan ini ditakrifkan sebagai apabila isi rumah tidak mempunyai atau tidak yakin mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi bagi memastikan setiap ahli keluarga dapat mengekalkan kesihatan mereka.
Satu kajian yang diterbitkan pada 2022 mendapati bahawa isi rumah di Singapura bertambah baik dalam status jaminan makanan mereka sepanjang tempoh pandemik Covid-19, dengan sekitar 20 peratus daripada isi rumah yang sebelum ini mempunyai masalah jaminan makanan kini dianggap dijamin makanan.
Penemuan ini adalah sebahagian daripada kajian yang dilakukan oleh Pusat Lien untuk Inovasi Sosial (LCSI) Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun lalu yang bertajuk 'The Hunger Report Part II: Targeting Specific Needs in the Wake of Covid-19'.
Laporan tersebut meneroka kesan pandemik Covid-19 terhadap situasi makanan isi rumah yang sebelum ini dikenal pasti sebagai mempunyai masalah jaminan makanan.
Bahagian pertama The Hunger Report, yang diterbitkan pada 2020, mendapati 10.4 peratus daripada sekitar 1,200 isi rumah yang ditinjau mengalami masalah jaminan makanan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, dengan dua daripada lima menghadapi isu itu sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Tinjauan susulan dengan sebanyak 59 isi rumah ini dalam laporan terkini mendapati bahawa 44.1 peratus menyaksikan peningkatan dalam status makanan mereka, naik sekurang-kurangnya satu tahap, contoh daripada tahap "masalah jaminan makanan yang ketara" kepada "masalah jaminan makanan sederhana".
12 daripada 59 isi rumah yang sebelum ini didapati mengalami masalah jaminan makanan tidak lagi menghadapi isu itu sepenuhnya.
Kajian yang ditkomisyen oleh badan amal The Food Bank Singapura dan disokong oleh perusahaan pembinaan perniagaan Tolaram mencadangkan bahawa beberapa sebab di sebalik penambahbaikan itu ialah peningkatan bilangan rakyat Singapura yang mendapatkan bantuan semasa pandemik, serta sokongan makanan yang lain.
Walaupun terdapat peningkatan dalam isi rumah tertentu, 45.8 peratus daripada responden melaporkan tiada perubahan dalam status jaminan makanan, manakala keadaan seramai 10.2 peratus pula didapati bertambah buruk.
ISU JAMINAN MAKANAN TERUS JADI PERHATIAN
Mengurangkan masalah jaminan ini makanan telah menjadi keutamaan bagi beberapa organisasi sokongan makanan, dengan beberapa usaha, termasuk kerjasama dengan syarikat tempatan di sini, telah dilakukan untuk membantu mengurangkan beban mereka yang memerlukan.
Badan amal seperti Food from the Heart (FFTH) giat menjalankan program serta projek agihan makanan dan keperluan lain bagi membantu keluarga kurang berkemampuan di sini.
Badan amal berusia 20 tahun itu telah berikrar untuk meringankan masalah kelaparan menerusi pengagihan makanan yang cekap, dalam bentuk pek makanan melalui salah satu program mereka iaitu program Pek Makanan Masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif FFTH, Encik Robin Lee, berkata: "Berdasarkan laporan Hunger Report 2022 yang terkini, ini bermakna masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan isu jaminan makanan dalam kalangan masyarakat yang rentan.
"Pihak kami melihat peningkatan dalam bilangan keluarga yang memerlukan sokongan makanan di bawah program Pek Makanan Masyarakat kami meningkat sebanyak 50 peratus sejak 2020, kepada lebih 12,000 keluarga pada 2022."
Tahun lalu sahaja, FFTH telah menyokong penerima bantuan mereka dengan makanan bernilai $7.23 juta.
Badan amal tersebut kini memberi perkhidmatan kepada lebih 59,300 penerima bantuan dengan sokongan makanan bulanan yang dijalankan.
Sebuah lagi pertubuhan setempat, Vision 21 yang juga mengendalikan program Food Bank mereka tersendiri, turut menyaksikan peningkatan jumlah mereka yang terjejas dengan kenaikan harga barangan.
"Kami mendapati terdapat sedikit peningkatan dari segi bilangan keluarga yang tidak lagi memerlukan bantuan makanan selepas pandemik.
"Namun, masalah jaminan makanan dalam kalangan isi rumah di sini masih wujud dan ianya turut meningkat berikutan peningkatan kos sara hidup di Singapura.
"Disebabkan kenaikan harga makanan, kami juga mendapati bahawa terdapat peningkatan dalam jumlah rakyat Singapura yang mendapatkan bantuan, terutamanya untuk makanan," kata Presiden, Vision 21 Welfare Society, Encik Muhammed Zacree Mohd Zain.
Encik Zacree turut berkongsi bahawa sejak tempoh pandemik, mereka mendapati bahawa dua kumpulan yang terdedah kepada isu ini ialah mereka yang menetap di rumah flat sewa dan golongan 'sandwic'.
Demografi golongan ini terdiri daripada mereka yang berusia antara 40 hingga 60 tahun, yang menjaga kedua-dua anak mereka yang masih bersekolah dan dalam masa yang sama menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia.
"Apabila anda perlu membayar keperluan isi rumah anda sendiri bersama-sama bil perubatan ibu bapa anda dan pendidikan anak-anak, ia boleh menjadi satu cabaran besar.
"Semasa pandemik, Vision 21 & TravelConnect.sg telah secara aktif mendekati keluarga sebegini melalui kerjasama dengan Persatuan Rakyat," tambah beliau.
Sehingga hari ini, seramai 7,000 keluarga telah meraih manfaat daripada Program Bank Makanan Vision 21 sejak ia dilancarkan pada 2022.
PERLU SOKONGAN BERTERUSAN
Kedua-dua Encik Lee dan Encik Zacree akur bahawa adalah penting untuk memberikan sokongan berterusan kepada isi rumah yang tidak terdedah dengan masalah jaminan makanan selain meningkatkan kesedaran tentang isu ini.
Encik Lee berkata: "Makanan adalah dan akan sentiasa menjadi sebahagian besar dalam kehidupan kita, dan dengan inflasi yang berterusan dan kenaikan harga, adalah lebih penting daripada sebelumnya untuk memberikan sokongan berterusan kepada golongan yang rentan seperti isi rumah yang didapati mengalami masalah jaminan makanan."
Dalam pada masa yang sama, Encik Zacree menegaskan bahawa golongan yang terasing, seperti mereka dari keluarga kelas 'sandwic', juga tidak harus dilupakan.
"Isi rumah ini mungkin tidak layak untuk menerima skim sokongan pemerintah disebabkan pendapatan isi rumah atau saiz flat mereka.
"Bagaimanapun, keluarga ini tetap merasakan tekanan kewangan kerana ingin pastikan mereka dapat bertahan dengan peningkatan kos sara hidup Singapura," ujarnya.
"Berdasarkan laporan 'Hunger Report' 2022 (kendalian SMU) yang terkini, ini bermakna masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengurangkan isu jaminan makanan dalam kalangan masyarakat yang rentan." - Encik Robin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Food from the Heart (FFTH).
"Kami mendapati terdapat sedikit peningkatan dari segi bilangan keluarga yang tidak lagi memerlukan bantuan makanan selepas pandemik. Namun, masalah jaminan makanan dalam kalangan isi rumah di sini masih wujud dan ianya turut meningkat berikutan peningkatan kos sara hidup di Singapura." - Encik Muhammed Zacree Mohd Zain, Presiden, Vision 21 Welfare Society.
DAPATAN DARI KAJIAN 'THE HUNGER REPORT' BAHAGIAN KEDUA
59 isi rumah mengambil bahagian dalam kajian 'The Hunger Report Part II: Targeting Specific Needs in the Wake of Covid-19'.
■ Lebih 20 peratus daripada isi rumah yang sebelum ini dianggap sebagai mengalami 'masalah jaminan makanan' (FI) pada 2019 kini telah dinilai sebagai 'dijamin makanan' (FS) dalam kajian terbaru yang diterbitkan pada 2022.
■ Berdasarkan analisis lanjut, didapati 58.3 peratus daripada isi rumah dalam kategori FS pada 2021 sebelum ini berada dalam kategori 'masalah jaminan makanan yang ketara' (SFI) pada 2019, dengan baki 41.7 peratus berada dalam kategori 'masalah jaminan makanan sederhana' (MFI) pada tahun yang sama.
■ Secara keseluruhan, laporan tersebut mendapati bahawa 44.1 peratus daripada 59 isi rumah yang ditinjau menyaksikan peningkatan dalam status makanan mereka, naik sekurang-kurangnya satu kategori.
*Sumber: 'The Hunger Report Part II: Targeting Specific Needs in the Wake of Covid-19' oleh Pusat Lien untuk Inovasi Sosial (LCSI) Universiti Pengurusan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg