SUASANA di bandar-bandar utama China yang selalunya tenang, tiba-tiba meledak dengan bantahan besar ribuan penduduk yang membantah langkah kawalan ketat yang dikenakan untuk mengawal penularan Covid-19.
Rata-rata ramai sudah bosan dengan sekatan ketat yang sering dikenakan sejak wabak itu melanda negara dengan 1.4 bilion penduduk itu hampir tiga tahun lalu.
"Tarik balik sekatan," jerit penunjuk perasaan di Urumqi, di barat China.
Di Shanghai, kawasan timur negara itu, penunjuk perasaan memegang kertas putih kosong - simbol penentangan terhadap sekatan Covid-19 yang dianggap membebankan kehidupan penduduk.
Di ibu kota Beijing juga tidak terkecuali, dengan bantahan berlaku di beberapa universiti elit negara itu.
Seorang penunjuk perasaan, yang kemudiannya ditahan polis, hanya membawa bunga.
BANTAHAN MERATA NEGARA
Pada hujung minggu, bantahan terhadap sekatan ketat Covid-19 itu menular dari satu kawasan ke kawasan lain - satu perkembangan kes pergolakan awam yang jarang berlaku di ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Isnin lalu, satu kumpulan yang menyokong penunjuk perasaan mengeluarkan seruan dalam talian supaya penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Rakyat di Shanghai, selain berhampiran stesen kereta api bawah tanah di barat laut Beijing pada waktu petang.
Namun, video yang dikongsi dari dua kawasan itu menunjukkan kehadiran pasukan keselamatan yang besar, dengan banyak bas dan kereta polis dilihat di tepi jalan.
Di bandar timur Hangzhou pula, orang ramai berkumpul di sebuah pusat beli-belah tetapi diawasi oleh sekumpulan pegawai polis beruniform yang lebih besar.
DESAK PEMIMPIN BERUNDUR
Malah, sebilangan penunjuk perasaan pada hujung minggu itu menyeru agar pemimpin Parti Komunis China (CCP) yang juga pemimpin negara itu, Encik Xi Jinping, supaya berundur.
Ramai yang sudah bosan dengan dasar Encik Xi, yang pada Oktober lalu menjadi setiausaha agung CCP buat penggal ketiga.
Beliau tegas mahu terus melaksanakan dasar 'sifar-Covid' yang dilaporkan telah menyebabkan gangguan besar terhadap kehidupan harian penduduk negara itu, termasuk menjejas mata pencarian mereka.
Pemerintah China pula menyalahkan "kuasa dengan motif tersembunyi" kerana mengaitkan langkah Covid-19 ketat negara itu dengan satu kebakaran maut di wilayah Xinjiang di barat China.
Tragedi itu telah mencetuskan bantahan besar di seluruh China.
AMERIKA PANTAU KEADAAN
Selain itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dilaporkan memantau pergolakan di China itu, menurut Rumah Putih, sedang perhimpunan lebih kecil juga berlaku di Amerika.
"Beliau memantau keadaan ini. Kita semua melakukannya," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik John Kirby, kepada wartawan, lapor agensi berita Reuters.
"Presiden tidak akan bercakap bagi pihak penunjuk perasaan di seluruh dunia. Mereka bercakap buat diri mereka sendiri."
Namun Encik Kirby menekankan sokongan Amerika terhadap hak penunjuk perasaan.
"Orang ramai harus diberi hak untuk berhimpun dan membantah dasar atau undang-undang secara aman, atau melahirkan apa yang mereka ingin nyatakan," kata Encik Kirby.
Di beberapa kawasan di Amerika, anggota masyarakat China berkumpul untuk mengingati mereka yang terkorban di bandar Urumqi itu, yang dikaitkan dengan sekatan dasar sifar Covid-19.
JEJAS INDUSTRI KENDERAAN
Dasar 'sifar-Covid' yang ketat sekali lagi telah menjejas sektor pembuatan kereta dengan sekurang-kurangnya tiga pembuat kenderaan utama terpaksa menghentikan pengeluaran kerana sekatan Covid-19.
Syarikat Honda Motor dari Jepun menggantung operasinya di Wuhan kerana batasan pergerakan yang dilaksanakan di kawasan itu.
Pembuat motosikal Yamaha Motor juga menggantung sebahagian pengeluaran di kilang motosikalnya di Chongqing, di mana 8,721 kes baru Covid-19 dilaporkan pada 28 November lalu.
Syarikat gergasi pembuat kereta Jerman, Volkswagen AG, menyalahkan kekurangan komponen sebagai faktor utama di sebalik keputusan untuk menghentikan pengeluaran di kilang usaha sama yang dimilikinya dengan China FAW Group di Chengdu dan dua daripada lima barisan pengeluaran di kilangnya di Changchun.
China masih terus mengamalkan dasar ketat sifar Covid, dengan ramai penduduknya dibataskan pergerakan untuk mengekang penularan wabak itu.
Ini sedang kebanyakan negara dunia lain telah pun melonggarkan sekatan pergerakan dan telah beralih ke fasa fasa endemik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg