Ali berkahwin dengan Siti dan mempunyai tiga anak perempuan. Setelah 15 tahun, Ali dan Siti bercerai. Ali kemudian berkahwin dengan Roza dan mereka mempunyai dua anak lelaki.
Ali meninggal dunia lima tahun kemudian. Kematiannya tidak diketahui Siti dan anak. Roza membahagikan harta Ali antara keluarganya sahaja.
Anak perempuan Ali mendapat tahu tentang kematian ayah mereka dan menuntut hak mereka melalui faraid. Mereka mendapat tahu kesemua harta ayah mereka itu sudah dibahagikan dan mereka tidak mendapat apa-apa. Mereka mengambil tindakan undang-undang.
Untuk memastikan anak daripada perkahwinan pertamanya masih menerima sebahagian hartanya, Ali sepatutnya melakukan demikian:
1. Calonkan mereka sebagai penerima asetnya sama ada melalui pencalonan CPF atau insurans; atau buka akaun bank bersama dengan anak-anak perempuannya.
2. Tulis wasiat yang membolehkan Ali:
- Melantik pelaksana untuk membahagikan asetnya setelah beliau meninggal dunia
- Mewasiatkan sehingga 1/3 hartanya kepada bukan ahli waris, termasuk badan amal
- Meskipun tidak terikat secara undang-undang, Ali sepatutnya menyampaikan hasratnya terhadap keluarga dan hartanya dengan jelas dalam wasiatnya agar ia boleh dijadikan rujukan dan keluarganya boleh memenuhi hasrat tersebut.
Apabila ayahnya meninggal dunia, Nabil mendapat tahu ayahnya telah menjaga tiga kanak-kanak perempuan di luar negara selama ini. Nabil tidak menemukan sebarang dokumen yang menunjukkan hubungan ayahnya dengan kanak-kanak itu tetapi Nabil percaya mereka mungkin merupakan anak angkat ayahnya.
Nabil mengagihkan harta arwah ayahnya itu hanya kepada ahli waris yang sah mengikut faraid. Tiga kanak-kanak perempuan itu tidak mendapat apa-apa. Jika ayah Nabil memahami faraid dan tahu siapa ahli warisnya yang sah, beliau boleh merancang pengagihan hartanya dengan lebih baik, termasuk memberikan sebahagian hartanya kepada bukan ahli waris melalui wasiat, misalnya.
Johan dan Salwa berkahwin dan ada seorang anak lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan mereka mempunyai autisme dan beberapa isu kesihatan yang memerlukan rawatan jangka panjang.
Jika Johan hanya bergantung kepada faraid, setelah kematiannya, anak lelakinya yang ‘normal’ akan menerima seganda lebih daripada anak perempuannya. Bagi memastikan anak perempuan beliau tetap terjaga dan boleh memampui rawatan yang diperlukan, Johan boleh melakukan demikian:
1. Mencalonkan anak perempuannya itu sebagai penerima CPF dan insuransnya. Konsep hibah dalam perancangan aset dimanfaatkan melalui pencalonan sedemikian.
2. Melantik pelaksana (misalnya, isteri) untuk menguruskan asetnya setelah beliau meninggal dunia. – Sumber Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg