Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tiga perkara perlu anda tahu sebelum labur dalam kripto

Tinjauan dapati kurangnya pemahaman dalam kalangan pelabur
May 21, 2022 | 05:30 AM



Orang ramai di Singapura semakin sedar tentang mata wang kripto. Namun, apa yang perlu anda tahu sebelum melabur dengan aset kripto? Berikut antara perkara yang perlu diberi perhatian. 




KESEDARAN tentang mata wang kripto atau 'cryptocurrencies' kian meluas di Singapura, dengan sebahagian besar pemilik mempunyai lebih daripada satu aset kripto, menurut satu kajian baru-baru ini.



Kajian itu dilancarkan baru-baru ini oleh Independent Reserve, firma pertukaran mata wang kripto yang dikawal bagi pelabur di sini.



Sementara 87 peratus pemilik mempunyai Bitcoin, Indeks Mata Wang Kripto Independent Reserve (IRCI) Singapura menunjukkan bahawa kian ramai mempunyai dua atau lebih mata wang kripto seperti Ether, Dogecoin dan Solana.



Indeks tersebut meninjau 1,500 warga dan penduduk Singapura tentang tahap kesedaran, penggunaan, kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap mata wang kripto.



Hasil tinjauan itu menunjukkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang kian berkembang terhadap masa depan mata wang kripto, dengan ramai pemilik merancang menambah pelaburan mereka dalam kelas aset baru dalam 12 bulan akan datang.



Bagaimanapun, IRCI juga mendapati kemungkinan terdapat kurang pemahaman dalam kalangan pelabur.



Ramai responden yang ditinjau berkata mereka membeli mata wang kripto ekoran dipengaruhi keluarga dan teman, serta rasa ingin tahu selepas mendapat tahu tentangnya menerusi media.



Sesetengah mereka pula membeli mata wang kripto disebabkan promosi yang ditawarkan firma pertukaran kripto atau dengan harapan mereka boleh kaya.



Apabila ditanya mengapa mereka membeli mata wang kripto, hampir satu pertiga daripada mereka yang ditinjau berkata mereka melakukan demikian kerana ingin kaya sementara 10 peratus responden berkata "mengapa tidak".



Sementara lebih separuh responden percaya ia mempunyai nilai pada masa akan datang, hanya 15 peratus responden menganggap mata wang kripto sebagai cara pembayaran pada masa akan datang.



Berikut tiga aspek mata wang kripto yang perlu diketahui pelabur sebelum memutuskan membelinya.



1 KAJI PENGGUNAAN SETIAP TOKEN



Hingga 9 Mei, terdapat lebih 19,000 mata wang kripto dengan pemodalan pasaran sekitar AS$1.57 trilion ($2.19 trilion) yang dijejaki wadah kripto CoinMarketCap.



Oleh itu, langkah mengkaji kegunaan kripto serta potensinya untuk berkembang adalah penting semasa memutuskan sama ada untuk membeli mata wang kripto dan yang mana satu untuk didapatkan.



Mata wang kripto merupakan mata wang digital berdasarkan satu rangkaian yang diedarkan secara meluas dalam komputer.



Blockchain, yang merupakan satu kaedah penyusunan bagi memastikan kewibawaan data urus niaga itu, adalah komponen penting dalam mata wang kripto.



Blockchain Bitcoin misalnya dicipta sebagai sistem bayaran digital, dengan token Bitcoin diraih bagi pengesahan yang dibuat terhadap urus niaga pada lejar.



Bitcoin boleh didagangkan atau digunakan sebagai bayaran bagi sesetengah barangan atau khidmat.



Di Singapura, jenama fesyen Charles & Keith, aplikasi kongsi kereta Ryde dan pengedar kereta mewah EuroSports Global merupakan antara perniagaan yang menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin.



Sementara itu, Ether merupakan mata wang kripto yang digunakan bagi bayaran dalam kontrak bijak dan aplikasi lain dalam blockchain Ethereum.



Mata wang kripto lain seperti Solana mempunyai kos urus niaga lebih rendah berbanding Ether manakala Dogecoin, yang dicipta sebagai gurauan, dapat mengesahkan urus niaga lebih cepat berbanding Bitcoin dan kini boleh diterima sebagai bayaran bagi beberapa barangan Tesla.



Di Singapura, pelabur runcit boleh mendapatkan mata wang kripto menerusi firma pertukaran kripto seperti Independent Reserve dan Coinhako, yang dikawal oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).



2 FAHAMI KENAPA MATA WANG KRIPTO BOLEH TURUN NAIK



Mata wang kripto tidak mempunyai aset pendasar untuk menetapkan nilainya.



Oleh itu, harganya amat spekulatif dan turun naik bergantung kepada tanggapan yang berubah.



Sebagai contoh, Bitcoin mencapai paras rekod AS$65,000 pada November 2021, ekoran permintaan yang melonjak bagi mata wang kripto di tengah-tengah inflasi yang meningkat, menurut tinjauan oleh firma pertukaran kripto Gemini.



Di Singapura, lebih dua daripada lima pelabur mata wang kripto membeli mata wang kripto disebabkan sifatnya yang mampu memberi perlindungan daripada inflasi antara November tahun lalu dengan Februari lalu.



Namun, Bitcoin didagangkan pada paras lebih AS$34,000 pada 9 Mei - hampir separuh daripada nilainya November lalu - selepas Rizab Persekutuan menaikkan kadarnya buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun minggu lalu.



Pelabur mata wang kripto menjual semula aset kripto yang mereka miliki bagi aset yang kurang berisiko akibat bimbang dengan dasar kewangan yang diperketat.



Nilai kripto juga didorong bekalan dan permintaan.



Sedang pasaran mata wang kripto kian bertambah matang, firma khidmat kewangan Morningstar menjangkakan pasaran akan berupaya menilai mata wang kripto yang berbeza dengan lebih baik berdasarkan ciri unik mereka serta potensi bagi penggunaan dan perkembangan.



 3 BERI PERHATIAN PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG



Ketidakpastian peraturan dan undang-undang berhubung mata wang kripto merupakan penghalang utamanya.



Oleh itu, langkah sentiasa mengambil tahu tentang peraturan dan undang-undang terkini boleh membantu pelabur menilai potensi perkembangan kripto tertentu.



Apabila ditanya apakah yang perlu dilakukan untuk menambah keyakinan mereka terhadap mata wang kripto, 62 peratus responden dalam tinjauan IRCI itu berkata mereka inginkan peraturan dan undang-undang pemerintah yang jelas.



Di Singapura, perdagangan mata wang kripto disifatkan oleh bank pusat sebagai amat berisiko dan tidak sesuai bagi orang awam secara umumnya.



Penyedia khidmat kripto juga dilarang mempromosikan khidmat mereka di tempat awam.



Di sebuah acara teknologi kewangan (fintech) di sini Mac lalu, ketua pegawai fintech MAS, Encik Sopnendu Mohanty, menarik perhatian bahawa peraturan yang kukuh berhubung perdagangan runcit mata wang kripto diperlukan.



Minggu lalu, MAS telah memberikan lesen institut bayaran utama kepada firma pertukaran kripto Coinhako.



Ini membolehkan mereka menawarkan khidmat bayaran kripto runcit tanpa perlu memenuhi nilai ambang tertentu.



MAS juga telah memberi kelulusan pada dasarnya kepada beberapa firma kripto lain tahun ini.



Di sebuah seminar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Amerika Syarikat pada 22 April lalu, pengarah urusan MAS, Encik Ravi Menon, berkata pihak berkuasa melihat pada kegiatan pendasar, jenis dan mutu aset kripto untuk menilai risikonya semasa mengawal kripto.



Secara khususnya, MAS meneliti sama ada terdapat risiko pemindahan wang secara terlarang dan pembiayaan pengganasan.



"Kami menyesuaikan peraturan dan undang-undang kami untuk memberi tumpuan kepada risiko itu," tambahnya. - ST dan BT.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >