Kajian dapati suhu lampau bunuh 5 juta setahun
LEBIH lima juta orang maut secara purata setiap tahun di seluruh dunia akibat suhu lampau, menurut satu kajian yang dijalankan selama 20 tahun. Kajian itu dijalankan sekumpulan penyelidik dari 2000 hingga 2019, menurut laman Down To Earth. Ia dipimpin oleh Profesor Yuming Guo dari Universiti Monash di Australia, serta Dr Shanshan Li dan Profesor Qi Zhao dari Universiti Shandong di China. Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Lancet Planetary Health pada 7 Julai lalu.
Penyelidik mengkaji data cuaca dan kematian bagi 2000 hingga 2019 dari 43 negara di lima benua. Negara-negara itu menyumbang 46.3 peratus daripada populasi dunia. Saintis itu menganalisis 130 juta kematian bagi memahami bagaimana suhu lampau menjejas penduduk di negara-negara itu. Kajian itu mendapati bahawa suhu panas dan sejuk yang melampau membunuh 5.08 juta orang secara purata setiap tahun dari 2000 hingga 2019. Daripada jumlah itu, 4.6 juta kematian secara purata berlaku setiap tahun disebabkan oleh suhu sejuk yang melampau sementara 0.48 juta kematian berlaku akibat suhu panas yang melampau. Ini bermakna hampir sembilan daripada setiap 100 kematian di dunia dalam tempoh itu disebabkan oleh suhu sejuk, menurut kajian tersebut. Lebih separuh atau 2.6 juta kematian akibat suhu sejuk berlaku di Asia, terutama di timur dan selatan Asia. Kematian yang berkait dengan suhu sejuk adalah risiko lebih besar bagi kehidupan di sub-Sahara Afrika. Wilayah itu dianggarkan mempunyai 116 kematian tambahan atau lebihan bagi setiap 100,000 orang - kadar kematian lebihan tertinggi yang berkait dengan suhu sejuk, di lima benua yang dipertimbangkan dalam kajian itu. Ini adalah 1.6 kali lebih tinggi daripada purata global (74 kematian tambahan), menurut kajian itu. Kurang satu peratus kematian global secara purata setiap tahun dikaitkan dengan suhu panas dalam kajian itu. Daripada 0.48 juta kematian akibat suhu panas, 0.22 juta berlaku di Asia. Kebanyakan kematian itu disebabkan oleh suhu sejuk, menurut kajian itu. Namun, kematian yang berkait dengan suhu panas semakin meningkat disebabkan oleh perubahan iklim, katanya. Sedang kematian yang berkait dengan suhu sejuk turun 0.51 peratus dari 2000 hingga 2019, kematian yang berkait dengan suhu panas naik 0.21 peratus. "Dalam jangka panjang, kematian yang berkait dengan suhu panas akan terus meningkat," kata Prof Guo seperti yang ditukil dari laman web Universiti Monash.

