Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian NEA: 97% sampah plastik di pantai S’pura dari luar pesisir

Jan 31, 2025 | 5:30 AM
SHINTARO TAY
Satu kajian baru mendedahkan bahawa kebanyakan sampah yang dibawa ke pantai Singapura berasal dari luar pesisir dan bukannya dari sumber darat. - Foto ST

Timbunan sampah plastik di pantai Singapura biasa dilihat semasa dua musim monsun utama negara.

Menurut satu kajian baru, kebanyakan sampah ini berasal dari kawasan luar pesisir.

Kajian tersebut mendapati bahawa 97 peratus sampah plastik di pantai rekreasi Singapura datang dari sumber berasaskan laut seperti kapal, atau dibawa arus laut sehingga ia merentasi sempadan negara.

Kajian yang dijalankan untuk memahami sumber sampah plastik di pantai Singapura dan bagaimana sampah tersebut sampai ke perairannya, telah diterbitkan di laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada 13 Januari, lapor The Straits Times (ST).

Kajian ini diketuai oleh NEA dengan kerjasama rapat bersama agensi lain termasuk agensi air negara PUB, Lembaga Taman Negara (NParks), Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), serta Agensi Makanan Singapura (SFA).

Ia turut melibatkan perunding daripada DHI Water and Environment serta SGS Testing and Control Services.

NEA memberitahu ST bahawa kajian ini melibatkan pengambilan sampel dari pelbagai perairan darat, pesisir dan pantai rekreasi setiap bulan selama setahun.

Maklumat yang dikumpul mengenai sampah plastik – seperti saiznya, serta kesan cuaca dan kelajuan angin kepadanya –  membantu para penyelidik membina sebuah model untuk menganggarkan jumlah plastik marin di pantai Singapura.

“Model itu mendapati bahawa hanya sekitar 3 peratus daripada makroplastik dan mikroplastik yang ditemui di pantai kami berasal dari laluan air pedalaman, manakala 97 peratus berasal dari sumber berasaskan laut,” kata NEA.

Kajian ini menggunakan piawaian klasifikasi antarabangsa yang menetapkan makroplastik sebagai zarah plastik bersaiz besar dengan diameter lebih daripada 5 milimeter, manakala mikroplastik sebagai cebisan lebih kecil dengan diameter kurang daripada 5 milimeter.

Daripada sampel yang diambil di muara sungai, para penyelidik mendapati lebih daripada 90 peratus sampel tidak menunjukkan kesan mikroplastik.

“Ini meningkatkan lagi kemungkinan bahawa plastik yang ditemui di pantai Singapura berasal dari sumber berasaskan laut,” kata NEA.

Kajian itu juga mendapati bahawa sampah marin di pantai Singapura dipengaruhi faktor cuaca, seperti angin dan arus laut. 

Semasa musim monsun timur laut dari November hingga Mac, yang mana angin bertiup dari arah utara, lebih banyak sampah terkumpul di pantai utara seperti Taman Sembawang dan Pulau Coney.

Sebaliknya, ketika musim monsun barat daya dari April hingga September, lebih banyak sampah terkumpul di pantai selatan, termasuk Taman East Coast dan Sentosa.

Kajian itu juga mendapati bahawa makroplastik di pantai utara semasa monsun timur laut adalah tiga kali ganda lebih banyak berbanding di pantai selatan semasa monsun barat daya.

“Ini mungkin kerana perairan marin di selatan Singapura lebih luas dan terbuka, yang membantu penyebaran sampah plastik dengan lebih baik,” jelas NEA.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa sampah plastik yang lebih besar bergerak lebih jauh dari tempat pelepasan disebabkan angin permukaan, manakala mikroplastik yang lebih kecil kebanyakannya berasal dari barangan pengguna seperti bekas makanan dan cawan.

Kajian itu mengenal pasti ‘polipropilena’ – yang digunakan dalam produk harian seperti penutup botol dan beg pakai buang – sebagai polimer dominan, merangkumi 61 hingga 79 peratus daripada mikroplastik yang disampel.

Dapatan kajian itu dikeluarkan menyusuli kegagalan negara-negara pada November 2024 dalam mencapai persetujuan mengenai perjanjian global untuk mengakhiri pencemaran plastik.

NEA menyatakan hasil kajian terkini, serta penyelidikan terdahulu yang mendapati bahawa kebanyakan sampah marin di serata pantai Singapura terdiri daripada sampah plastik, telah memberikan maklumat berguna mengenai kadar plastik di kawasan darat dan pesisir Singapura.

“Ini meningkatkan pemahaman kami tentang keberkesanan pendekatan dan strategi yang telah diambil Singapura dalam menangani isu ini,” kata jurucakap NEA.

Laporan berkaitan
Kasih haiwan, sayang alamJul 30, 2024 | 12:24 PM
Pentingnya laut sihatJul 24, 2024 | 2:21 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg