Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelas tuisyen bantu dapat keputusan PSLE lebih baik daripada jangkaan
Kelas tuisyen bantu dapat keputusan PSLE lebih baik daripada jangkaan
SEMASA di sekolah rendah, Marsya Qistina Mohammad Farid mendapati sukar untuk memahami beberapa topik dalam subjek Matematik dan menjawab soalan-soalan penyelesaian masalah atau problem sum.
Ini mendorong ibunya, Cik Nur Diana Marzuki, 40 tahun, suri rumah, untuk mendaftarkan Marsya Qistina di Skim Tuisyen Mendaki (MTS) semasa dia berada di Darjah Enam bagi membantunya dalam persiapan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2021.
Ternyata, kelas MTS banyak membantu dan Marsya Qistina, 13 tahun, mendapat keputusan PSLE yang lebih baik daripada yang dia jangkakan.
Keputusan PSLE itu melayakkan Marsya memasuki aliran ekspres di Sekolah Menengah Regent pada tahun ini.
Mengulas tentang pengalaman mengikuti kelas MTS, Marsya Qistina berkata: "Oleh kerana jumlah pelajar di dalam kelas tuisyen hanya sekitar 10 orang, saya tidak segan bertanya guru tuisyen saya jika saya tidak faham sesuatu perkara.
"Guru tuisyen kami juga akan memberi kuiz untuk menguji pemahaman kami tentang sesuatu topik."
Kini, di sekolah menengah, Marsya Qistina lebih memerlukan kelas MTS untuk membantunya dalam subjek Inggeris dan Matematik.
"Melangkah ke sekolah menengah, saya perlu menyesuaikan diri dengan mempunyai lebih banyak subjek, tempoh waktu sekolah yang lebih lama dan belajar mengimbangi masa antara pelajaran dengan kegiatan kokurikulum.
"Maka, walaupun kelas MTS adalah satu kelas tambahan buat saya, saya seronok mengikutinya kerana saya berpeluang bertanyakan soalan-soalan yang saya tidak faham kepada guru tuisyen saya. Kami di kelas tuisyen juga saling memberi sokongan," kata Marsya Qistina.
Dia menghadiri kelas MTS pada setiap Isnin dan Rabu.
Hasil daripada usaha teguh Marsya Qistina, dia merupakan penerima anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik (PSLE) di Majlis Anugerah Tuisyen Bersama (JTA) 2022 dengan kehadiran 100 peratus di kelas MTS tahun ini.
Katanya lagi, guru tuisyen juga menggalakkan Marsya Qistina bertanya soalan berkenaan kerja sekolahnya jika dia memerlukan bantuan.
"Maka, jika saya ada soalan, saya akan ambil gambar dan hantarkannya kepada guru tuisyen saya," kata Marsya Qistina.
Sebagai penerima Skim Bantuan Sekolah-Dana Amanah Pendidikan (ETF-SAS), Marsya Qistina menerima baucar kedai buku Popular dan bantuan pengangkutan.
Dia juga telah memanfaatkan baucar Popular itu dengan membeli buku-buku penilaian dan buku cerita bahasa Inggeris untuk membantu memperbaiki kemahirannya dalam bahasa Inggeris dan subjek lain.
Bersyukur dengan bantuan ETF-SAS yang diterima Marsya Qistina, Cik Nur Diana juga gembira melihat anaknya lebih fokus dan berdikari di dalam pelajarannya sejak menghadiri kelas MTS.
Malah, Cik Nur Diana melihat kesan positif terhadap dua lagi anaknya, berusia sembilan dan 11 tahun, yang turut mengikuti kelas MTS.
"Dahulu, saya lihat Marsya Qistina mendapati sukar untuk memahami dan menjawab soalan Matematik tetapi sekarang, dia boleh buat sendiri," ujar Cik Nur Diana.
Lantaran itu, beliau menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka di kelas MTS sekiranya anak-anak mereka mengalami masalah dalam pelajaran.
"Dahulu, saya lihat Marsya Qistina mendapati sukar untuk memahami dan menjawab soalan Matematik tetapi sekarang, dia boleh buat sendiri.'' - Ibu Marsya Qistina, Cik Nur Diana Marzuki, 40 tahun.
MAKLUMAT LANJUT
Pendaftaran Skim Tuisyen Mendaki (MTS)
Dibuka kepada pelajar sekolah rendah Darjah Satu hingga Enam dan Menengah Satu hingga Lima, program Skim Tuisyen Mendaki (MTS) menawarkan sokongan akademik yang menyeluruh bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan hanya $10 sahaja.
Program ini dijalankan secara fizikal dan dalam talian oleh tutor berkelayakan dalam kumpulan saiz kecil pada hari biasa serta hujung minggu.
Daftar segera untuk kelas MTS sebelum 31 Januari 2023 di my.mendaki.org.sg.