Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kepimpinan baru Syria hadapi cabaran konflik berpuak pascarejim Assad

Amalan rasuah yang sistemik juga bakal sukarkan usaha wujudkan pemerintah adil, stabil
Dec 29, 2024 | 5:30 AM
Penduduk Syria meraikan tumbangnya rejim Bashar al-Assad yang mengamalkan politik berpuak-puak, dengan mengoyakkan posternya di seluruh negara.
Penduduk Syria meraikan tumbangnya rejim Bashar al-Assad yang mengamalkan politik berpuak-puak, dengan mengoyakkan posternya di seluruh negara. - Foto EPA-EFE

Pemberontakan Kebangkitan Arab atau Arab Spring pada 2011 di Syria dan perang saudara yang menyusuli memusnahkan negara itu, meragut lebih 500,000 nyawa dan lebih 13 juta kehilangan tempat tinggal, termasuk 6.8 juta secara dalaman dan 6.5 juta sebagai pelarian.

Kebergantungan Presiden Bashar al-Assad kepada keganasan melampau untuk terus hidup di tengah-tengah penentangan di semua puak telah menghakis perpaduan nasional dan menjejaskan prospek rapuh untuk sebuah negara Syria yang bersatu.

Rejim Assad – yang baru tumbang – telah bergantung kepada sokongan daripada Iran, Russia dan Hezbollah untuk kelangsungan ketenteraan dan ekonominya.

Kumpulan lain, termasuk Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), juga bergantung kepada kuasa asing seperti Turkey, Amerika Syarikat dan negara Teluk, mengukuhkan kepentingan luar di Syria.

Bekas Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, telah melarikan diri ke Russia setelah pemerintahannya diguling.
Bekas Presiden Syria, Encik Bashar Al-Assad, telah melarikan diri ke Russia setelah pemerintahannya diguling. - Foto REUTERS

Berpuak-puak dalam tadbir urus masa depan Syria

Selepas Kebangkitan Arab, peralihan kepimpinan di negara yang terjejas – kecuali Mesir – telah mengukuhkan semangat berpuak-puak sebagai kuasa dominan yang membentuk dinamik politik.

Ia tidak akan berbeza di Syria.

Di Yaman, penyingkiran Ali Abdullah Saleh memperdalam perpecahan suku serta ideologi dan sekali gus mengekalkan ketidakstabilan.

Semangat berpuak-puak juga mendominasi negara Arab yang tidak terjejas oleh Kebangkitan Arab. Sudan telah dilanda konflik dalam kalangan kumpulan politik, puak dan elit tentera.

Selepas 2003, Iraq telah dibentuk hasil perebutan kuasa dalam kalangan puak Syiah, Sunni dan Kurdi. Kuasa politik di Lebanon dibahagikan dalam kalangan mazhab Sunni, Syiah, Kristian Maronit dan Druze.

Namun, sistem ini telah berulang kali menyebabkan kebuntuan politik dan kegagalan dalam membentuk pemerintah.

Situasi Libya pasca-Muammar Gaddafi menawarkan pandangan tentang potensi masa depan Syria.

Tetapi keadaan di Syria adalah lebih teruk disebabkan oleh isu ketenteraan dan berpuak-puak yang berakar umbi.

Kedua-dua mantan Presiden Assad dan bapanya, Hafez Assad, bergantung kepada perpecahan mazhab dan etnik untuk menyatukan kuasa, dengan itu menginstitusikan fahaman berpuak-puak.

Kumpulan jihad dan Kurdi, berakar umbi dalam landskap Syria yang berpecah belah, membentuk teras struktur konflik berpuak-puaknya.

Ini menimbulkan cabaran besar untuk mencapai perpaduan politik dan kestabilan yang mampan dalam era pasca-rejim Assad.

Puak Barisan Islam, misalnya, bersatu menentang rejim Assad, mencontohi fahaman berpuak-puak di Syria.

Perpecahan dalaman berterusan walaupun terbentuk sebuah gabungan tujuh kumpulan pada 2013.

Di sebalik wujudnya Barisan Islam, puak Islam bebas seperti Briged Ahfad al-Rasoul, Barisan Asala wa al-Tanmiya, dan Tajammu Ansar al-Islam (terdiri daripada tujuh kumpulan Islam yang berpangkalan di Damsyik pada 2012) menyerlahkan landskap Syria yang berpecah-belah dan tidak menentu.

Kebimbangan kritikal terletak pada ideologi kumpulan ini ang bersaing dan mempunyai kepentingan berbeza.

Apabila matlamat penyatuan untuk menghapuskan rejim Assad hancur, persaingan ideologi ini berkemungkinan besar mengubahnya menjadi entiti yang bermusuhan.

HTS, puak yang menerajui kemenangan ke atas tentera rejim Assad, telah mengukuhkan penguasaannya dalam kalangan puak pembangkang Syria sejak penubuhannya pada 2017 melalui penggabungan kumpulan jihad, termasuk Jabhat Fatah al-Sham, yang dahulunya dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Walaupun menjauhkan diri daripada kumpulan kedua, HTS mengekalkan hubungan ideologi dengan Salafi-jihadisme.

Walaupun ISIS terlibat dalam pemberontakan berhampiran Deir ez-Zor, kawalan wilayah Turkey di utara mengukuhkan kedudukan HTS tetapi berisiko mengasingkan puak Kurdi, terutamanya Angkatan Demokratik Syria (SDF), yang mengawal utara wilayah timur dan fokus memerangi saki baki ISIS.

Cabaran Lain

Peralihan sepenuhnya oleh HTS kepada tadbir urus awam, memutuskan hubungan dengan kumpulan Islam dan jihadnya, berkemungkinan akan mengasingkan elemen kumpulan tegar dalam barisan HTS sambil mencetuskan tentangan daripada puak lain, termasuk pasukan Islam Kurdi dan saki-baki ISIS.

Peralihan sedemikian berisiko berlakunya perpecahan dalaman dan permusuhan luaran, menjadikan HTS terpencil dari segi ideologi dan ketenteraan.

Rasuah, yang sangat tertanam dalam masyarakat Syria sejak era Hafez Assad dan berterusan di bawah rejim Assad, khususnya selepas 2011, kekal sebagai isu sistemik.

Amalan yang berleluasa, mungkin berterusan, menghalang mana-mana usaha pemerintah akan datang untuk mewujudkan pemerintahan yang adil dan stabil.

Pendedahan sistem penjara kejam rejim Assad meninggalkan warisan trauma psikologi yang mendalam dan penindasan sistemik.

Dengan menanamkan ketakutan, memecahkan kepercayaan sosial dan menggugat kestabilan masyarakat, rejim itu telah mengukuhkan dinamik kuasa dan penaklukan yang mungkin akan berterusan antara mana-mana pemerintah masa depan dan rakyat Syria.

Trauma yang berkekalan ini dijangka menjejaskan prospek tadbir urus yang stabil.

Faktor pengaruh Islam

Berikutan 2011, kelangsungan hidup rejim Bashar – diteruskan oleh kebangkitan puak pelampau seperti Jabhat al-Nusra (gabungan Al-Qaeda) dan ISIS – mencemaskan negara Barat dan Arab tentang keupayaan mereka menguasai Syria pasca-Assad.

Pengaruh Islam adalah pemacu paling kritikal yang berkemungkinan menimbulkan kekeliruan, campur tangan luar dan konflik dalaman di Syria.

Apabila HTS akhirnya menguasai Aleppo, beberapa negara Arab bersatu di belakang rejim Assad, terutamanya Jordan dan negara Teluk kerana bimbang akan penguasaan Islam.

Menteri Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan sokongan negaranya terhadap Syria “dalam menghadapi ekstremisme dan keganasan”.

Ini boleh difahami kerana pengalaman suram rantau itu dengan ISIS dan aktiviti pengganasnya.

Tempoh Ikhwanul Muslimin di Mesir dari 2012 hingga 2013 menonjolkan cabaran yang dihadapi oleh gerakan Islam dalam peralihan daripada pembangkang kepada tadbir urus.

Pengalaman mereka, yang menyebabkan ia diharamkan di beberapa negara Arab, mengukuhkan ketakutan dalam kalangan rejim tentang potensi ketidakstabilan kumpulan Islam yang berkuasa.

Keprihatinan ini berpunca daripada kebimbangan bahawa gerakan sebegitu boleh menyebabkan puak Islam tempatan semakin berani dan mengancam kelangsungan hidup rejim.

Selain itu, kumpulan Islam sering bergelut untuk mengimbangi komitmen ideologi dengan tuntutan tadbir urus yang pragmatik, mengehadkan kebolehlaksanaan pemerintahan Islam di sebalik sokongan akar umbi yang kuat.

Melangkah ke Depan: Terap Kebebasan Geopolitik Syria

Tindakan Israel untuk melemahkan Hezbollah memainkan peranan penting dalam menguatkan pasukan pemberontak Syria dan memudahkan kejatuhan rejim Assad.

Bagaimanapun, pendudukan Israel ke atas kedudukan strategik dalam sempadan Syria merumitkan landskap politik bagi pemerintah yang akan datang, memburukkan lagi landskap politik yang sudah kompleks.

Sekiranya pemerintah yang akan datang mencabar pencerobohan Israel, di tengah-tengah kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat, kemungkinan kesannya ialah kemerosotan serta-merta dalam daya maju politik dan ketenteraan HTS.

Penulis ialah Profesor Perhubungan Antarabangsa di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Beliau memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Budaya. Artikel kali pertama diterbitkan di laman Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg