Sebagai doktor dengan kepakaran khusus dalam penjagaan hospis dan paliatif selama lebih dua dekad, saya sering ditanya: “Apa yang membuat kematian itu lebih baik?”
Meskipun ia kelihatan seperti soalan yang mudah, tidak wujud satu jawapan yang sesuai bagi semua orang.
Persiapan sebelum kematian lebih kompleks daripada apa yang difikirkan ramai.
Kebelakangan ini pilihan untuk meninggal dunia di rumah banyak dibincangkan.
Ini sesuatu yang menggalakkan kerana topik ini akhirnya dibincangkan, namun ia bukan sesuatu yang boleh diperlekehkan.
Pilihan untuk meninggal dunia di rumah melibatkan ramai orang, pertimbangan yang pelbagai, sistem sokongan dan pilihan yang sukar untuk dibuat.
Ia bukan proses yang ringkas.
Meskipun keinginan untuk meninggal dunia di rumah jelas, kadangkala pesakit masih perlu ke hospital atas sebab-sebab tertentu.
Ada kalanya, penyakit yang semakin teruk tanpa dijangka juga boleh menjejas rancangan meninggal dunia di rumah.
Yang pasti, pilihan yang dibuat semasa orang tersayang meninggal dunia memang tidak mudah.
Salah seorang pesakit, seorang wanita muda yang mengalami barah rahim yang telah merebak ke seluruh badannya dan tidak boleh diubati, dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi daripada rawatan barahnya.
Keadaannya tidak bertambah baik.
Beliau ingin kembali ke rumah untuk bertemua kededua anaknya – yang pada masa itu belum diberitahu mengenai keadaannya – dan kepada suaminya yang berusaha mengatasi kesedihannya dengan sibuk bekerja.
Beliau risau akan apa yang bakal berlaku kepada keluarganya setelah beliau meninggal dunia.
Lebih penting lagi, beliau rindu meluangkan masa di rumah bersama mereka.
Pasukan di hospital mempertimbangkan sama ada beliau boleh dibenarkan pulang, namun keadaannya bertambah teruk dengan cepat.
Beliau akhirnya meninggal dunia di hospital dikelilingi anak-anak dan suami dalam bilik yang dikhaskan bagi keluarga tersebut.
Setiap seorang mempunyai keprihatinan berbeza di akhir hayat mereka, pilihan ‘perhentian akhir’ sebelum meninggal dunia juga berbeza berdasarkan usia pesakit.
Saya ingin membincangkan mengapa wujudnya keinginan meninggal dunia di rumah berdasarkan perspektif pesakit dan keluarga mereka yang telah saya temui.
Saya dan rakan kerja saya juga dapat melihat bagaimana pesakit kami yang lebih tua seolah sedar bila tibanya akhir hayat mereka dan ingin kekal di rumah tidak kira apa yang berlaku.
Ramai yang tidak takut dengan kematian, namun bimbang mereka merana sebelum meninggal dunia.
Satu lagi sebab mereka tidak ingin dibawa ke hospital adalah kerana bimbang mereka tidak akan dapat pulang ke rumah.
Anggota keluarga yang menjadi penjaga dan bersetuju membiarkan orang tersayang yang bakal meninggal dunia dibawa pulang ke rumah juga terjejas emosi.
Mereka perlu menerima bahawa anggota keluarga tersayang itu bakal pergi dan meskipun mereka mungkin bimbang bagaimana mereka mampu menguruskan pesakit di rumah, biasanya mereka akan bersetuju atas sebab sayang dan juga keprihatinan lain.
Anggota keluarga bimbang mereka tidak akan berada di sisi apabila orang tersayang meninggal dunia atau bimbang kakitangan di hospital mungkin tidak memahami keperluan pesakit itu.
Namun, konteksnya berbeza bagi pesakit yang berusia antara 30-an hingga 40-an yang tahu mereka akan meninggal dunia, biasanya daripada barah agresif yang tidak boleh dirawat.
Apabila sains tidak dapat merawat penyakit mereka, biasanya mereka akan mencari alternatif lain.
Biasanya, proses menanti maut bagi mereka merangkumi langkah ‘melepaskan’ kebimbangan mereka untuk meluangkan baki masa itu dengan lebih baik.
Ramai yang menganggap doktor hospis gemar memberikan morfin dan rawatan lain untuk mengawal penderitaan pesakit, namun sebahagian besar tugas kami melibatkan proses penerimaan hakikat.
Kami membantu pesakit dan keluarga menempuhi perjalanan bergelora bagi mereka yang terjejas oleh penyakit terminal.
Berdasarkan pengalaman kami perbincangan serius ini sentiasa berakhir di ‘destinasi’ sama iaitu keinginan untuk pulang ke rumah.
Memilih tempat menghabiskan sisa kehidupan mungkin tidak hanya bergantung kepada pilihan pesakit itu sahaja.
Pertimbangan lain mungkin boleh mengubah pilihan sendiri.
Keprihatinan tentang sama ada mereka akan membebankan keluarga, kurangnya penjaga yang boleh diharap serta keperluan penjagaan yang terlalu tinggi merupakan antara keprihatinan utama.
Krisis perubatan yang tidak dijangkakan serta keraguan, termasuk mengubah fikiran untuk mencuba rawatan secara aktif, boleh menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital.
Tiada pihak yang harus berasa bersalah apabila rancangan penjagaan di rumah tidak berjalan lancar.
Penjaga yang terdiri daripada pihak keluarga serta penyedia khidmat jagaan profesional tidak boleh dipersalahkan.
Sejak sokongan hospis diperkenalkan pada 1980, bidang tersebut telah berkembang.
Datuk saya yang meninggal dunia disebabkan barah tekak merupakan antara pesakit pertama yang memanfaatkan khidmat tersebut.
Penjagaan paliatif yang memberi manfaat kepada semua di mana-mana fasa kehidupan mereka kini tersedia di hospital, klinik dan prasarana lain yang membantu pesakit, termasuk rumah penjagaan warga emas.
Namun, menurut pengamatan saya, apabila penjagaan tersebut diperlukan, ramai yang tidak tahu ke mana perlu mereka pergi untuk mendapatkan bantuan.
Melalui pengalaman saya melatih, berkhidmat dan memperjuangkan ruang ini buat masa yang lama, saya percaya kita perlukan pendekatan sistemik terhadap penyediaan khidmat akhir hayat ini.
Penggubal dasar perlu memperuntukkan sumber bagi membolehkan penyedia khidmat memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Kementerian Kesihatan komited untuk menyemak rangka kerja kewangan bagi membuka akses kepada penjagaan paliatif.
Pihak-pihak berkepentingan relevan dalam ekosistem penjagaan kesihatan juga perlu terus bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan penjagaan ini berkesinambungan, supaya sokongan tidak terputus dalam proses pemindahan dari hospital ke rumah.
Akhir sekali, penjaga perlu diperkasa untuk menjaga pesakit dengan baik, melalui latihan yang dilakukan di rumah.
Beban kewangan yang dihadapi keluarga juga perlu dikurangkan melalui skim bantuan atau memberikan khidmat tersebut secara percuma. Ini dilakukan penyedia hospis yang lebih besar seperti HCA Hospice.
Jumlah pesakit yang boleh dibantu meninggal di rumah berdasarkan keinginan mereka boleh dipertingkat.
Lebih penting lagi, kita perlu memastikan tidak kira di mana sahaja, akhir hayat seseorang itu perlu bermaruah, tenang dan tanpa sesalan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg