Kerja beri fleksibiliti tapi prospek jangka panjang jadi keprihatinan, Berita Rencana - BeritaHarian.sg
Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana0

CABARAN, HARAPAN DAN MASA DEPAN PEKERJA PENGHANTARAN MAKANAN

Kerja beri fleksibiliti tapi prospek jangka panjang jadi keprihatinan

Jan 10, 2022 | 05:30 AM

BIARPUN industri penghantaran makanan menawarkan fleksibiliti dan kebebasan waktu yang dicari oleh sesetengah pekerja, ia juga datang dengan cabaran yang tersendiri.

Sentimen ini dikongsi panel pekerja penghantaran makanan yang diundang ke sesi Facebook Live anjuran Pusat Kajian Ehwal Islam dan Melayu (Rima) baru-baru ini.

Sesi tersebut telah membincangkan dapatan kajian Rima mengenai pekerja industri penghantaran makanan di sini.

"Ramai di kalangan mereka berkongsi tentang tahap kepuasan peribadi yang tinggi dari segi fleksibiliti kehidupan dan pekerjaan, selain keupayaan untuk mengawal beban kerja dan jadual mereka - sesuatu yang mereka percaya tidak dapat dilakukan dalam pekerjaan tradisional.

"Ramai daripada mereka berkata mereka dapat menetapkan tugasan yang mereka boleh terima berdasarkan kriteria seperti pembayaran yang diterima, lokasi dan masa, dan mereka boleh mengubah pilihan itu dari semasa ke semasa.

Halal Home Based Business
Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

"Ada di antara mereka yang terpaksa menguruskan penjagaan anak-anak serta orang tua di rumah…oleh itu, kerja yang fleksibel sebenarnya dapat membantu mereka menyesuaikan tanggungjawab lain ini," kata penyelidik utama dan penulis laporan kajian itu, Cik Nabilah Mohammad.

Kajian yang selesai dijalankan antara September 2019 dengan Ogos tahun lalu itu melibatkan 60 pekerja penghantaran makanan dan bertujuan menyelidiki dan memahami isu yang menjadi keprihatinan utama golongan tersebut.

Kajian ini turut mengenal pasti keperluan pekerja ini yang berbeza bagi melakarkan intervensi yang sesuai.

Meskipun berjaya meraih dua diploma dalam bidang pengurusan, Encik Muhammad Asyraf Buang mengambil keputusan untuk berhenti dari pekerjaan sepenuh masa dalam industri makanan dan minuman (F&B) untuk menyertai sektor itu.

Mengongsi tentang keputusannya itu sewaktu sesi Facebook Live itu, beliau berkata:

"Salah satu sebab utamanya ialah kerana saya ingin menjaga arwah ibunya yang semakin lanjut tua pada ketika itu.

"Selepas beberapa bulan bekerja, saya sebenarnya mendapati kerja sebagai pekerja penghantaran ini sebenarnya sangat-sangat fleksibel.

"Saya boleh menetapkan masa untuk menjaga arwah ibu saya serta membawanya keluar untuk temu janji kesihatan dan perubatan beliau di hospital."

Encik Ashraf merupakan antara tiga pekerja penghantaran makanan yang diundang Rima bagi sesi Facebook Live itu. Turut bersamanya adalah Encik Saire Adnan dan Cik Nurul Ashikin Seman.

Sesi perbincangan itu dikendalikan penganalisis kajian Rima, Sheikh Mohamad Farouq Abdul Fareez.

Perbincangan tersebut turut menyentuh tentang pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui pekerja penghantaran makanan ini, antaranya termasuk berurusan dengan pelanggan dan peniaga yang sukar.

Dalam pada itu, masalah komunikasi dengan pihak pengurusan sekiranya berlaku pertikaian juga menjadi antara topik perbincangan selepas kajian itu mendapati sesetengah peserta kajian itu meluahkan kekecewaan mereka terhadap perubahan terma dan syarat insentif yang ditetapkan pihak pengurusan, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

"Apa yang kami dapati adalah tiada interaksi antara pihak pengurusan dengan pekerja penghantaran makanan tentang perkara seperti gaji, insentif, malah tentang jenis pekerjaan'', menurut Cik Nabilah.

"Yang menyedihkan, pekerja ini juga masih boleh dikenakan denda sekiranya mereka lewat menghantar pesanan makanan atau tidak dapat mencapai sasaran harian mereka," tambah Cik Nabilah.

Menerusi kajian tersebut, ia turut mendapati bahawa pekerja penghantaran makanan ini prihatin akan prospek pekerjaan mereka untuk tempoh jangka masa panjang.

Mereka yang sudah lama bekerja dalam industri penghantaran makanan mendapati insentif yang ditawarkan platform penghantaran makanan semakin berkurangan sedang lebih ramai pekerja memasuki industri itu.

Oleh itu, mereka berasa kurang optimistik tentang pendapatan mereka pada jangka panjang.

Dalam pada itu, beberapa isu keprihatinan lain yang dikongsi termasuk keprihatinan tentang kemungkinan teknologi mengambil alih tugas ini serta keprihatinan mengenai mengurus jangkaan peniaga dan pelanggan dan tentang kurangnya faedah pekerjaan.

Demi mempertingkat kebajikan pekerja penghantaran makanan, kajian itu turut memberikan beberapa saranan. Ini termasuk mengenal pasti keperluan berbeza pekerja penghantaran makanan, melindungi mereka yang ingin terus bekerja sendiri, dan menyokong mereka yang ingin meningkatkan kemahiran.

Kajian ini juga telah diterbit sebagai satu laporan berjudul Food Delivery Workers: Riding the Waves of Uncertainty, yang boleh dimuat turun di http://bit.ly/RIMAxFDW.


SEKILAS DAPATAN KAJIAN RIMA

SEBAB MENYERTAI INDUSTRI PENGHANTARAN MAKANAN

Fleksibiliti dan pengaturan kerja secara autonomi, kaedah pembayaran yang boleh dipercayai dan insentif kewangan, pengaruh rakan-rakan, serta keupayaan untuk menggunakan masa lapang dan kenderaan peribadi. Sebab-sebab lain termasuk peluang pekerjaan menghantar makanan yang sedia ada, dan di sini, ia bermakna peluang pendapatan yang juga sedia ada, serta kesukaran dalam mencari pekerjaan tetap sepenuh masa.

PERSEPSI TERHADAP PROSPEK KERJAYA DI MASA DEPAN

Kajian ini mendapati beberapa jawapan berbeza daripada pekerja-pekerja ini apabila mereka ditanya tentang masa depan dalam industri tersebut. Mereka yang telah berada dalam industri tersebut lebih lama dapati bahawa insentif bagi mereka semakin berkurangan, dan oleh itu, kurang optimistik tentang pendapatan dari kerja penghantaran makanan dalam jangka masa panjang. Mereka yang mengambil kerja penghantaran makanan sebagai sumber pendapatan sementara melihatnya sebagai prospek kerjaya jangka pendek, sambil mencari pekerjaan yang lebih tetap.

KEMAJUAN KERJAYA & PENINGKATAN KEMAHIRAN

Walaupun ada yang berpuas hati dengan pekerjaan itu, mereka yang memilih untuk kekal disebabkan kekurangan peluang pekerjaan alternatif dan melihat pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan sepanjang hayat. Peserta yang merancang untuk meneruskan kerja penghantaran makanan berkata mereka berhasrat selagi ia diperlukan. Ramai di antara mereka melihatnya sebagai pekerjaan sementara dan berkongsi bahawa mereka melakukan kerja penghantaran makanan sebagai sumber pendapatan sementara dan untuk terus kekal produktif sambil mencari sesuatu yang lebih stabil sejajar dengan minat dan rancangan kerjaya mereka.

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH PEKERJA PENGHANTARAN MAKANAN

Para pekerja berkata bahawa mereka mengalami kesukaran dalam memenuhi jangkaan pelanggan dan peniaga, respon yang lewat daripada pengurusan platform, perubahan terma dan syarat insentif, dan kesukaran dalam peruntukan jadual penghantaran mereka. Beberapa isu keprihatinan yang dikongsi mereka adalah di bawah jagaan pihak berkuasa, seperti kekurangan fleksibiliti dan kemudahan akses bagi mereka yang kurang upaya, kurang faedah asas seperti cuti sakit, dan undang-undang yang mengharamkan penggunaan alat mobiliti peribadi di laluan pejalan kaki.


“Salah satu sebab utama kerana saya ingin menjaga arwah ibu yang semakin lanjut tua pada ketika itu. Selepas beberapa bulan bekerja, saya dapati kerja pekerja penghantaran ini sebenarnya sangat fleksibel. Saya boleh menetapkan masa menjaga arwah ibu saya serta membawanya keluar untuk temu janji kesihatan dan perubatan di hospital.”
– Encik Muhammad Asyraf Buang yang meraih dua diploma dalam bidang pengurusan, mengambil keputusan berhenti kerja sepenuh masa dalam F&B

"Apa yang kami dapati adalah tiada interaksi antara pihak pengurusan dengan pekerja penghantaran makanan tentang perkara seperti gaji, insentif, malah tentang jenis pekerjaan. 
Yang menyedihkan, pekerja ini juga masih boleh dikenakan denda sekiranya mereka lewat menghantar pesanan makanan atau tidak dapat mencapai sasaran harian mereka."
- Penyelidik utama dan penulis laporan kajian Rima, Cik Nabilah Mohammad.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map