Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Khutbah Aidilfitri: Agama menjana harapan, kesejahteraan

May 13, 2021 | 08:55 AM



Berikut teks penuh Khutbah Aidilfitri yang disampaikan di masjid-masjid setempat



Muslimin Muslimat yang dikasihi sekalian,



Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.). Penuhkan pagi yang mulia ini dengan kesyukuran kepada-Nya di atas segala nikmat dan anugerah-Nya. Allah (s.w.t.) berfirman:



Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7).



Hari kemenangan ini mendorong kita untuk terus menjadi manusia yang lebih bertakwa, lebih tinggi dan suci kerohaniannya, dan lebih cinta kepada kebaikan.



Ya Allah, kami bersyukur di atas perlindungan-Mu, di atas kasih sayang-Mu dan di atas rahmat dan keihsanan-Mu.



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Luas Rahmat dan Pengampunan-Mu, kami bersyukur di atas pemeliharaan-Mu. Kami masih dapat menjalani kehidupan dan menghidupkan agama-Mu, walaupun keadaan mencabar dan tidak menentu. Kami masih saling kasih-mengasihi, bantu-membantu, dan bersatu menghadapi ujian dan cabaran. Kurniakanlah rahmat serta kasih sayang-Mu yang berterusan buat kami di dunia dan di akhirat nanti. Amin.



Saudara saudari yang dikasihi,



Cabaran dan dugaan adalah lumrah kehidupan. Namun, yang membezakan orang-orang yang beriman dan berjaya tatkala diuji adalah kesabaran dan kesungguhan berusaha mengatasi situasi dan keadaan. Firman Allah (s.w.t.) di dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:



“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”



Begitulah tujuan dan matlamat agama yang kita cintai – ia membekalkan kita dengan keupayaan dan sikap yang akan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. Ia mengelakkan daripada segala jenis kemudaratan dan kesukaran. Ia mendidik jiwa untuk berdaya tahan dan tabah menghadapi musibah dan ujian.



Alhamdulillah, masyarakat kita telah menyahut baik seruan untuk menghidupkan ajaran agama yang tidak terpisah daripada realiti kehidupan. Kita bangkit membuat penyesuaian bukan kerana kelemahan iman atau ilmu. Sebaliknya, kerana kita yakin bahawa agama mendorong kita untuk mencari huraian. Agama menjadikan kita insan mulia yang berdaya tahan dalam mengharungi keadaan susah mahupun senang. Bahkan, sifat dan nilai keagamaan kita akan lebih terserlah tatkala menghadapi krisis dan ujian.



Lihat sahaja penyesuaian yang telah diusahakan sejauh ini. Walaupun ada penjarakan saf, sesi Jumaat yang berganda, namun hati kita tetap kekal bersatu di dalam mengamalkan agama. Ini kerana masyarakat memahami tuntutan agama dan ingin menjaga kemaslahatan umum.



Namun, jika kefahaman agama condong kepada kesusahan dan menyempitkan, maka kita akan mudah tertewas apabila ditimpa kesusahan. Kerana sukar mencari huraian. Akhirnya, kehidupan agama kita akan menjadi beku dan layu. Bahkan boleh membawa kepada kemudaratan. Ingatlah pesanan Nabi (s.a.w.):



Yang bermaksud: “Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan orang lain. Barangsiapa membahayakan orang lain, maka Allah akan membalas bahaya kepadanya dan barangsiapa menyusahkan atau menyulitkan orang lain, maka Allah akan menyulitkannya.” (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi).



Akan tetapi kefahaman agama yang tepat adalah kefahaman yang cenderung ke arah positif dan yang membina. Ia akan mendorong kita untuk melihat setiap kesusahan sebagai peluang untuk bangkit semula, dan setiap ujian sebagai peluang untuk membina diri dan membuat penyesuaian. Akhirnya, kehidupan agama kita akan mekar dan subur. Bukan yang menyukarkan serta menyulitkan situasi.



Nabi (s.a.w.) pernah menegur orang yang menyukarkan urusan agamanya. Sebagai contoh, apabila ada yang bertekad untuk berjalan kaki untuk menunaikan haji dan tidak mahu menggunakan tunggangan. Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan perbuatan menyeksa diri seperti kelakuan orang ini terhadap dirinya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).



Saudara saudari,



Sudah lebih setahun kita berhadapan dengan situasi luarbiasa ini yang menimbulkan cabaran dalam segala aspek kehidupan.



Jika umat manusia beku di dalam ketakutan apabila berhadapan dengan krisis, tidak mampu memikirkan jalan keluar atau menolak usaha untuk mengatasinya, pastinya krisis ini akan lebih berpanjangan. Ia akan mengakibatkan lebih banyak kesakitan dan kemudaratan.



Begitu juga dalam kehidupan beragama. Tanpa sebarang perubahan dan pembaharuan untuk membantu masyarakat mengatasi situasi sukar seperti ini, setentunya kita akan berhadapan dengan kelayuan dan kelesuan.



Di sinilah letaknya tanggungjawab pemikiran dan kepimpinan agama yang rancak dan teliti – yang dibina di atas pemahaman yang baik terhadap nas-nas dan tradisi keilmuan Islam. Perubahan dan pembaharuan kadangkala boleh mencemaskan dan mengkhuatirkan. Namun, ia merupakan tuntutan agama dan amanah yang kita pikul bersama. Kitalah umat yang melalui krisis dan ujian ini, dan kitalah yang bertanggungjawab mencari huraiannya.



Perhatikan pesanan Nabi (s.a.w.) kepada sahabatnya Sayyidina Muaz bin Jabal apabila beliau dihantar ke kota yang baru sahaja memeluk Islam.



Nabi bertanya kepadanya: Bagaimana beliau membimbing umat Islam di sana apabila menghadapi situasi yang baru, apabila tiada panduannya daripada al-Quran dan Sunnah? Maka Muaz Bin Jabal menjawab bahawa beliau akan berijtihad dengan pendapatnya dan tidak akan melampaui batasan ijtihadnya. (Hadis riwayat Imam Tirmizi). Allah (s.w.t.) di dalam Surah Ali Imran ayat 159:



Yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan jika engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada mu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah keampunan bagi mereka, dan juga berbincanglah dengan mereka dalam urusan. Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”



Saudara saudari yang saya kasihi,



Di samping kita bergembira meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, marilah kita juga mempamerkan semangat perjuangan untuk terus menewaskan penularan virus ini. Ayuh kita terus berhati-hati dan mengambil serius semua langkah keselamatan, khususnya jika kita berziarah nanti. Dan lebih-lebih lagi tatkala kita menziarahi orang tua kita.



Saya akui, pastinya setiap di antara kita merindui dan ingin bertemu dengan mereka. Namun, kita perlu berwaspada agar tidak membahayakan mereka. Jadikanlah hari raya tahun ini raya yang sangat selamat. Marilah kita berazam agar tidak berlaku sebarang jangkitan di musim raya ini dan selanjutnya. Inilah sumbangan kita.



Allah telah mengurniakan kepada kita kekuatan dan ketabahan. Kita mungkin berduka dan bersedih kerana masih tidak dapat menyambut hari ini seperti sebelum wabak melanda. Namun, saya mengajak saudara-saudari sekalian, untuk mengekalkan kesabaran dan ketabahan anda. Genggamlah ia dengan erat, sehingga ke penghujungnya insya-Allah. Dan yakinilah, agama tidak mensia-siakan setiap langkah dan usaha anda yang membawa kebaikan dan keselamatan. Yakinlah dengan janji Allah (s.w.t.) pada surah az-Zumar ayat 10:



Yang bermaksud: “...Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”



Akhir sekali saudara. Marilah kita memanjatkan doa untuk saudara-saudara kita di negara-negara lain. Ramai yang berhadapan dengan situasi yang tidak terkawal dan sangat menyedihkan. Semoga Allah (s.w.t.) memelihara umat manusia daripada segala ancaman dan kemudaratan insya-Allah. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >