Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TEROKA ALAM KEHIJAUAN SINGAPURA

Kicauan unggas beri kedamaian ketika teroka Hutan Clementi

Nov 28, 2021 | 05:30 AM



Usaha pemerintah untuk memulihara biodiversiti dengan membangunkan semula kawasan-kawasan yang kaya dengan alam semula jadi secara tidak langsung telah menarik masyarakat untuk lebih menghargai alam sekitaran. Lebih-lebih lagi dengan keadaan pandemik yang sejak hampir dua tahun menghambat pergerakan rakyat daripada bercuti ke luar Singapura, kian ramai yang kini memberi tumpuan meneroka pelbagai pelosok taman-taman kehijauan seluruh pulau. Kumpulan-kumpulan pendaki atau "hikers", sama ada dalam bentuk kumpulan sosial, sahabat atau anggota keluarga, saban minggu, dengan berpakaian sukan atau kembara, dilihat meredah kawasan belantara Singapura dan meneroka tempat-tempat peninggalan sejarah yang tersembunyi di celah-celah timbunan pokok dan bukit bukau. Kegiatan ini tidak saja dianggap menyeronokkan kerana ia menjadi riadah yang sihat dan merangsang pergerakan fizikal, bahkan memberi perspektif berbeza kepada kehidupan dan sekitaran Singapura. BERITA MINGGU yang telah menyiarkan siri destinasi alam semulajadi Singapura sejak minggu lalu, kali ini membawakan pengalaman Pegawai Eksekutif Kanan Perhubungan Korporat dan Unit Jangkauan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Cik Norazlina Wagiman, 42 tahun, dan rakan-rakannya meneroka Hutan Clementi.



DI SEBALIK rimbunan pohon dan akar menjalar di Hutan Clementi, kicauan burung menjadi halwa telinga yang sangat mengasyikkan kepada para pendaki yang memasuki kawasan alam semula jadi di sebalik perumahan yang dianggap sudah matang ini.



Pelbagai spesis burung dapat dilihat di hutan seluas kira-kira 85 hektar bersempadan dengan King Albert Park, Clementi Road, Old Holland-Ulu Pandan Road dan Koridor Rel Utama.



Inilah yang menarik perhatian Cik Norazlina Wagiman, 42 tahun, yang melakukan aktiviti mendaki hampir setiap minggu dan beranggapan Hutan Clementi yang dikunjunginya pada Oktober lalu bersama sekumpulan rakan, agak istimewa dengan kehidupan yang menjadi tempat persinggahan unggas di tengah-tengah flora dan fauna.



BAGAI BURUNG NYANYI



"Terasa seperti burung-burung di sana menyanyi untuk kita," kata Pegawai Eksekutif Kanan Perhubunagn Korporat dan Unit Jangkauan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) itu.



Pemerhatian Cik Norazlina tentang kehidupan liar di hutan itu bukan setakat melihat unggas berterbang lalu.



Kebetulan, suami kepada salah seorang rakannya, Lisa Baskaran, yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, mempunyai 40 tahun pengalaman bekerja dengan kehidupan liar dan pernah bertugas di Taman Burung Singapura.



"Dengan minat dan pengalamannya tentang burung, pengalaman trekking ini juga membuka matanya tentang kehidupan burung liar dalam sekitaran semula jadi," ujarnya.



Antara burung yang mereka temui ialah White-sea bellied Eagles, Long-tailed Parakeet, Red-Whiskered Bulbul Banded Woodpeckers dan Asian Koel.



Cik Nora, ibu dua anak, berkata beliau dan rakan-rakannya itu memulakan pengembaraan trekking seawal 7.45 pagi, dengan memasuki hutan yang kelihatan agak "biasa-biasa" yang terletak betul-betul di hadapan Blok 104 Clementi Street 14.



Laluan terokaan yang diambil ialah Sunset Way - Clementi; Laluan Rel Jurong ke Laluan Rel Maju - Clementi, Water Stream dan Red Metal Beams (Koridor Hijau) Hutan Clementi.



Untuk laluan pulang, mereka melalui Hutan Clementi, Terowong Maju, Laluan Rel Jurong dan Sunset Way.



"Melalui perkongsian tentang burung-burung dari Raja, kami juga faham bahawa setiap kali musim pokok-pokok berbuah, ia akan menjadi suatu "singgahan" bagi pelbagai spesis burung untuk hinggap dan menjamu buah-buah tersebut.



Namun, hutan itu tetap mempunyai cabaran tersendiri.



Antaranya, seperti yang dihadapi Cik Norazlina dan rakan-rakannya ialah mereka perlu memanjat pokok-pokok yang telah tumbang, ada pokok berduri pula dan menyeberangi beberapa kawasan yang berlumpur.



"Mungkin juga kerana kicauan unggas beri kedamaian ketika teroka Hutan Clementi hari sebelum ini, hujan lebat di kawasan Clementi. Memang mencabar jugalah untuk memanjat pokok besar tumbang yang manghalang jalan. Memang feeling seperti Lara Croft!" seloroh beliau.



LOMPAT TAPI JATUH



"Ada kalanya kita cuba sedaya upaya nak lompat jauh agar tak terpijak lumpur, namun malangnya… jatuh juga," kongsi beliau.



Dalam perjalanan ini juga, mereka menjumpai trek kereta api lama yang ada sebahagiannya sudah "ditelan" bumi.



"Pada permulaan pengembaraan, kami boleh saja berjalan di sepanjang trek kereta api tapi lama-kelamaan, ia menjadi lebih berlumpur kemudiannya (seperti pada paras peha pada satu ketika), jadi kami dinasihatkan untuk menggunakan laluan bertingkat di sebelah kiri trek bila perlu, dan apabila perlu lompat untuk terlepas dari lumpur atau tanah liat, kami disuruh guna tongkat trekking untuk periksa berapa dalam lumpur itu," kongsi beliau lagi.



Perjalanan sepanjang trek ini juga membawa mereka ke sebuah terowong berdekatan dengan Kem Maju.



Terowong di bawah sebuah stesen bas ini sudah menjadi seperti ikon bagi para pendaki laluan Hutan Clementi dan akan pasti merakam gambar untuk kenangan.



Di laluan Koridor Hijau, akan terjumpa pula prasarana usang Red Metal Beams (palang besi merah) yang tidak begitu jelas fungsi asalnya, namun ia juga menjadi sudut kegemaran bagi para pengembara beraksi merakamkan pelbagai gaya sambil berehat.



MINDA SEGAR



Laluan selanjutnya agak licin, Cik Norazlina memberi amaran. Salah seorang rakan mereka tergelincir sehingga terduduk. Mujur tiada kecederaan serius.



Apa pun cabaran yang dihadapi, Cik Norazlina beranggapan meredah Hutan Clementi memberi kesegaran minda dan perasaan.



"Kehijauan, udara segar, pemandangan pelbagai spesis burung dan kehidupan liar seperti cicak dan sebagainya yang ditemui memang mengasyikkan. Ada kalanya, kita terlupa yang kita semua masih berada di dalam hutan Singapura," kata beliau.



Cik Norazlina, yang sebelum ini hanya berlari-lari anak atau jogging untuk bersenam, kini beranggapan aktiviti pendakian lebih menyeronokkan kerana ia mengeratkan hubungan beliau bersama suami dan rakan-rakan.



"Saya sekarang suka dating dengan suami berlatarkan suasana alam semula jadi. Tak ada gangguan seperti telefon atau radio. Saya juga selalu seronok dan puas dengan semangat kerjasama kawan-kawan yang sama-sama mendaki... kami saling membantu dan memberi semangat," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >