Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaryam wanita berpendirian tegas pertahan iman, kesucian diri
Maryam wanita berpendirian tegas pertahan iman, kesucian diri
Maryam wanita berpendirian tegas pertahan iman, kesucian diri
SURAH Maryam mengabadikan wanita bernama Maryam binti Imran, yang juga dikenali sebagai ibu Nabi Isa as.
Dalam Al-Quran, beliau digambarkan sebagai wanita yang berpendirian tegas dalam mempertahan iman dan kesucian dirinya. Kisah awal keberadaannya turut dinukilkan dalam Surah Ali 'Imran mengenai ibunya yang berhajat mahu menyerahkan anak yang masih dalam kandungan berkhidmat kepada Allah swt.
"Ingatlah ketika isteri Imran berkata: 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdikan diri (kepada-Mu), maka terimalah (nazarku). Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'." (Surah Ali 'Imran, ayat 35).
Dalam Surah Maryam, Allah swt menceritakan kebesaran-Nya yang memberi rahmat kepada hamba-Nya dalam beberapa kisah yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan kita:
1. Kisah Nabi Zakaria as (ayat 2-15)
Allah mengingatkan hamba-Nya agar jangan putus harapan biarpun berdepan dengan halangan.
Dalam surah ini, Allah swt mengisahkan bagaimana Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut agar dikurniakan zuriat. Dalam doanya, Nabi Zakaria yang menyatakan keuzurannya dan rambut dipenuhi uban, melahirkan rasa kebimbangan tentang kesinambungan zuriat untuk menyampaikan dakwah, sedangkan isterinya mandul. Oleh itu, baginda as memohon dikurniakan anak lelaki yang diredai Allah.
Dengan rahmat dan kekuasaan Allah swt, Nabi Zakaria dianugerahkan anak bernama Nabi Yahya as, yang diberi hikmah (kebijaksanaan), berkasih sayang, bertakwa dan baik terhadap kedua-dua orang tuanya. Ternyata kuasa doa itu amat penting dalam kehidupan manusia. Allah mendengar doa hamba-Nya secara perlahan atau kuat. Doa juga menunjukkan sifat kehambaan kita yang mengharapkan bantuan Allah.
2. Kisah Maryam (ayat 16-40)
Kisah Maryam, anak pasangan Imran dan Hannan, keluarga yang dimulia dan dicatatkan di dalam Al-Quran diceritakan dalam ayat 16 hingga 40. Ibu Maryam telah bernazar sekiranya mendapat zuriat, beliau akan menyerahkan anaknya untuk berkhidmat di Baitul Makdis. Maryam menjadi idola kepada golongan wanita yang memfokuskan diri untuk belajar dan ikhlas beribadah kepada Allah swt.
Maryam telah mengasingkan diri daripada dunia luar agar lebih fokus beribadah. Namun, dengan rahmat Allah, Maryam dianugerahkan anak lelaki, Nabi Isa as, tanpa berkahwin. Apabila Allah berkehendak dan menghendakinya adalah mudah bagi-Nya, 'Kun Fayakuun'. Ini menunjukkan kekuasaan Allah Maha Pencipta.
3. Kisah Nabi Ibrahim as dan anaknya, Nabi Ismail as (ayat 41-50)
Apabila kita mengharapkan keredaan dan mengutamakan Allah swt, Allah akan memberikan yang terbaik dalam hidup kita.
Allah swt mengisahkan Nabi Ibrahim as sebagai orang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang nabi. Baginda menentang bapa dan kaumnya yang menyembah berhala. Untuk bercakap sesuatu yang benar, bukan mudah terutama dengan orang yang mempunyai kedudukan lebih tinggi. Nabi Ibrahim as menegur bapanya secara berhikmah, hormat dan sopan untuk menyampaikan kebenaran, memanggil bapanya dengan ikhlas dan kasih sayang, "Ya abati".
Kesan Nabi Ibrahim as mengasihi dan menghormati ibu bapa serta doa, menjemput rahmat Allah swt yang menganugerahkan zuriat dan keturunan dalam kalangan nabi seperti Nabi Ismail as, Nabi Ishak as, Nabi Yaakub as, sehingga utusan terakhir, Nabi Muhammad saw.
4. Kisah para nabi (ayat 51-57)
Allah swt menyebut beberapa orang nabi, antaranya Nabi Musa as sebagai orang terpilih, nabi dan rasul yang berbicara secara langsung dengan Allah dan memilih saudara Nabi Musa as, Harun, sebagai nabi.
Turut dinukilkan dalam surah ini ialah Nabi Ismail as dan Nabi Idris as.
5. Kisah alam akhirat (ayat 59-98)
Al-Quran memberi panduan kepada kita tentang kepentingan iman dan hubungan kita dengan Allah swt. Orang yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsu akan tersesat. Jika mereka bertaubat dan melakukan kebaikan, mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga 'Adn.
Manusia sentiasa diuji dalam kehidupan agar mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan memohon bimbingan dan kota bertanggungjawab untuk selamatkan ahli keluarga daripada api neraka.
Sumber: Celiktafsir, Sinar Harian, Surah.com.
