Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kongsi pengalaman kreatif 40 tahun di Indonesia

Sep 10, 2023 | 5:30 AM
KONGSI KEPAKARAN: Ramli Nawee (depan, dua dari kiri) menjalankan bengkel kreatif di Jakarta untuk 52 anak muda dari Yayasan Indah Berbagi. Bersama beliau ialah (depan, dari kiri) isterinya, Cik Sarinah Baba; Encik Darmadi, Dewan Pembina Yayasan Indah Berbagi; dan Encik Irvano Simatupang, Penasihat Yayasan Indah Berbagi.
KONGSI KEPAKARAN: Ramli Nawee (depan, dua dari kiri) menjalankan bengkel kreatif di Jakarta untuk 52 anak muda dari Yayasan Indah Berbagi. Bersama beliau ialah (depan, dari kiri) isterinya, Cik Sarinah Baba; Encik Darmadi, Dewan Pembina Yayasan Indah Berbagi; dan Encik Irvano Simatupang, Penasihat Yayasan Indah Berbagi. - Foto ihsan RAMLI NAWEE

Beliau sudah berkecimpung dalam seni visual termasuk rekaan grafik, lukisan dan penjenamaan sejak lebih 40 tahun.

Malah Encik Ramli Nawee pernah menjadi kartunis bagi akhbar ini dalam tahun 80-an semasa beliau remaja lagi dan sebagai pengarah kreatif bagi pelbagai jenama dan agensi pengiklanan.

Maka tidak hairanlah jika pengetahuan dan pengalaman kreatif beliau itu bukan sahaja telah dimanfaatkan banyak firma dan pertubuhan setempat, bahkan sejak kebelakangan ini beliau juga telah menarik perhatian institusi luar negara yang mahu mencedok kepakarannya.

Berbekalkan Sijil Lanjutan bagi Pembelajaran dan Prestasi (ACLP)  Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ), yang dikendalikan Institut Pembelajaran Dewasa (IAL) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Encik Ramli ‘menyerantau’ ke Jakarta, Indonesia.

Beliau baru-baru ini diundang untuk menjalankan bengkel rekaan kreatif dua hari bagi sekumpulan 52 anak muda negara itu dari Yayasan Indah Berbagi pada Jun 2023.

“Saya sememangnya selalu terlibat dalam melatih dan menjadi mentor kepada pereka muda sepanjang 40 tahun saya menjadi pengarah dan pereka.

“Beberapa bakat muda yang saya pupuk ini telah berjaya mengecapi kejayaan, dan saya merasakan kepuasan dengan pencapaian ini apabila mengetahui mereka telah berjaya dalam kerjaya mereka,” kata beliau, yang pernah menyertai pameran seni kontemporari di Venice, Italy, dan Asian Art Biennale di Bangladesh pada 2022.

Bapa empat anak berusia 60 tahun itu menambah bengkel yang dijalankan itu harus menarik dan interaktif memandangkan generasi milenium telah didedahkan dengan media sosial dan dunia digital.

“Dengan dunia kini sudah berkembang dari segi penciptaan kandungan, saya memutuskan untuk menjalankan bengkel tentang bagaimana untuk membina keberkesanan diri menerusi kreativiti; penjenamaan dan pemasaran menerusi rekaan; dan memaksimumkan pemasaran digital,” ujarnya yang juga pernah menyandang jawatan pengurus besar sebuah firma menghasilkan makanan selama tujuh tahun.

Selepas kejayaan bengkel di Jakarta itu, Encik Ramli berkata beliau kini telah diundang untuk menjalankan bengkel serupa di sebuah universiti di Lombok tidak lama lagi.

Ia mungkin melibatkan pelajar universiti, usahawan muda dan pekerja dewasa. – PUAD IBRAHIM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg