Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Cerpen

Korban Kasih Ayah

Jul 16, 2023 | 05:30 AM



Sosok tubuh itulah yang menjaga kami empat beradik setelah ibu meninggalkan kami tiga tahun yang lalu. Dialah yang memasak, dialah yang mengemas rumah, dialah yang menyiapkan keperluan kami adik-beradik. Pendek kata, semuanya diuruskan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun. Sosok itu juga telah menjadi teladan untuk aku mengikut jejaknya untuk menjadi kuat dan tabah mengharungi segala dugaan dengan penuh kesabaran dan selalu bersikap positif.

Dia memang bersemangat waja. Sosok itu juga tidak pernah mengecewakan kami adik-beradik apatah lagi untuk meninggalkan tanggungjawabnya seharian. Dia tidak pernah merungut walau sedikit pun. Dalam keheningan malam, sosok itu juga akan bermunajat kepada Allah swt dan aku sering curi-curi pandang jika aku masih belum masuk tidur kerana mengulang kaji pelajaranku.


“Mengapa masih tidak tidur lagi, Reza?”

“Reza sedang buat ulang kaji pelajaran untuk peperiksaan tidak lama lagi,” jawabku.

“Kalau begitu, jangan berjaga sehingga lewat malam ya, takut esok kamu kepenatan untuk menghadiri kuliah di maktab.”

“Emm… tidak lama lagi. Sepuluh minit lagi nanti, Reza masuk tidur ya.”

“Kamu harus cukup tidur agar esok kamu boleh lebih fokus dan memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang disampaikan oleh guru kamu nanti,” sambungnya lagi.

“Baiklah, Reza akan ingat nasihat ayah itu,” kataku dengan mengukir sekuntum senyuman.

Ayahku pun terus masuk ke dalam biliknya dengan pintu yang diregangkan. Ketika itulah, aku dapat mengintai apakah yang dilakukan oleh ayahku. Rupa-rupanya, dia bersolat malam. Ya Allah, aku tidak sedar sudah hampir ke 3 pagi aku masih lagi menelaah dan tidak sedar masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Masa selalu mencemburui diriku.

Waktu itu, barulah aku tahu yang ayahku tidak lepas bersolat tahajud. Aku pernah bertanyakan kepadanya apakah itu solat tahajud?

Kata ayahku, “Solat tahajud ertinya solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam hari setelah tidur lebih dahulu walaupun tidurnya hanya sebentar.”

“Emmm… jadi apakah hikmah dan manfaatnya, ayah jika kita bersolat tahajud?”

“Hikmah dan manfaat solat tahajud akan terlihat sebagai rutin melakukan solat sunat tersebut. Manfaat yang pertama ialah akan dikabulkan doa-doa kita oleh Allah swt. Apatah lagi apabila seseorang itu melaksanakannya di waktu utamanya iaitu di sepertiga malam terakhir.”


“Oh, barulah Reza faham ayah,” kataku sambil mengangguk-anggukkan kepalaku.

“Ha, kalau kamu hendak tahu, Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Rabb kita Tabaraka wa ta’ala turun setiap malam ke langit dunia ketika masih tersisa sepertiga malam terakhir, lalu Baginda berfirman: “Barangsiapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuninya. Barangsiapa yang memohon (sesuatu) kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya. Dan barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya.” (HR Bukhari).


“Jadi, jika Reza hendak doa Reza dikabulkan Allah, ha... solatlah tahajud dan jangan tinggalkan ya,” pesan ayahku sambil memandang ke arah tubir mataku yang semakin kuyu itu.

Kata ayahku lagi: “Hikmah dan manfaat solat tahajud juga boleh mendekatkan diri kita kepada Allah swt, menghapus dosa, menolak penyakit serta pencegah daripada dosa. Semuanya ini baik untuk kebaikan kita sebagai umat Nabi saw.”


“Baiklah, ayah, Reza akan ingat nasihat ayah itu.”

Satu lagi perkara yang aku kagum dengan ayah ialah dia tidak akan mengabaikan penjagaan adik bongsuku yang menghidapi autisme.

Pengorbanan Ayahku bukan setakat berkorban masa dan tenaga, malah rupa-rupanya, dalam diam dia telah pun meletak jawatannya sebagai seorang jurutera yang bergaji lumayan untuk menjaga adikku yang istimewa. Pengorbanan Ayahku tidak ternilai harganya. Dalam diam, dia sanggup mendapat gaji yang sedikit bekerja sebagai seorang penghantar makanan demi meluangkan masa semata-mata untuk menjaga adikku yang istimewa, Rizal.

Ayah pernah ke sekolah dan bertanyakan kepada Cikgu Adik apakah itu autisme?

“Cikgu, anak saya didiagnosis ada autisme? Cikgu tahu apakah maknanya autisme?” tanya Ayahku dengan nada yang bimbang.

“Tahu, masalah autisme dalam kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan. Antara kemahiran yang mengalami gangguan akibat daripada autisme ialah kemahiran pertuturan dan komunikasi.”

“Maksud Cikgu apa?”

“Maksud saya, kanak-kanak autisme ini akan mengalami kesukaran untuk memahami percakapan, bertutur dan menyatakan kehendak. Pertuturan mereka mungkin terhad kepada satu patah perkataan. Kebiasaannya, mereka membuat bunyi atau perkataan yang tidak bermakna dan tidak boleh difahami. Kanak-kanak autisme juga boleh mengalami ekolalia, iaitu pengulangan perkataan-perkataan yang dituturkan oleh orang lain.”

“Oh, barulah saya faham Cikgu.”

“Malah, anak autisme ini juga ada masalah tentang kemahiran interaksi sosial.”

“Boleh Cikgu terangkan maksudnya?”

“Boleh, maksud saya anak-anak autisme ini tidak menunjukkan minat untuk berinteraksi dengan individu lain dan ini merupakan ciri utama kesukaran interaksi sosial bagi kanak-kanak autisme. Malah, mereka sukar untuk bertentangan mata dan tidak menyahut apabila dipanggil. Kanak-kanak autisme sukar bergaul dengan kanak-kanak lain dan sering bermain sendirian.”

“Emm…Ada apa lagi yang perlu saya tahu, Cikgu?”

“Ada, Encik perlu tahu juga tentang tingkah laku dan emosi anak Encik. Tingkah laku tidak wajar serta berulangan seperti mengibas tangan dan melompat tanpa tujuan merupakan antara ciri-ciri yang terdapat pada kanak-kanak autisme. Terdapat juga kanak-kanak autisme yang mencederakan diri sendiri dengan menggigit dan menghantuk kepala ke dinding. Mereka juga boleh menunjukkan emosi seperti ketawa, menangis dan menjerit seorang diri tanpa sebab.”

“Oh, patutlah anak saya suka menangis dan menjerit!”

“Ada lagi faktor yang Encik perlu tahu tentang sensori atau sentuhan fizikal anak Encik. Terdapat juga kanak-kanak autisme yang sensitif kepada bunyi bising, sentuhan dan rasa. Mereka juga mungkin mempunyai tabiat menjilat, memasukkan barang dalam mulut, menggigit atau mencium sesuatu. Kebanyakan kanak-kanak autisme tidak suka disentuh, dipegang atau dipeluk. Ada juga di antara mereka yang memilih makanan kerana masalah sensori badan dan bahagian mulut.”

“Betul-betul, Cikgu. Saya perhatikan anak saya sering menjilat jarinya dan suka masukkan barang ke dalam mulutnya.”

“Encik juga perlu berikan perhatian kepada kemahiran kognitif anak Encik. Kanak-kanak autisme sering dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lewat berbanding kanak-kanak usia sebaya. Kebanyakannya mempunyai tahap IQ yang lebih rendah berbanding kanak-kanak normal. Hal ini menyebabkan terdapat kanak-kanak autisme yang sukar memahami konsep-konsep tertentu terutamanya konsep abstrak seperti emosi.”

“Ada apa-apa lagi yang perlu saya tahu Cikgu?’

“Ada, yang terakhir, Encik perlu tahu tentang kemahiran bermain anak Encik. Kanak-kanak autisme tidak memahami konsep bermain secara betul. Mereka sering membaling mainan, memasukkan mainan ke dalam mulut dan kadangkala merosakkannya. Mereka mempunyai minat yang terhad kepada alat mainan dan sering bermain dengan mainan yang sama berulang kali.”

“Cikgu, apakah rawatan yang perlu saya berikan kepada anak saya ini?” tanya Ayahku lagi, berminat ingin tahu.

“Dari sudut perubatan, masih belum terdapat ubat yang boleh merawat autisme. Kanak-kanak autisme memerlukan rawatan multidisiplin atau terapi yang melibatkan pelbagai pakar daripada bidang yang berbeza.

“Ini bagi membantu mereka mengatasi masalah yang berkaitan dengan kelewatan perkembangan mengurus diri, belajar dan berkomunikasi dengan orang lain.

“Antara terapi yang penting untuk kanak-kanak autisme adalah terapi pertuturan-bahasa dan terapi cara kerja. Terapi pertuturan-bahasa diberikan oleh pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan atau ahli terapi Pertuturan Bahasa.

“Terapi ini diberikan kepada kanak-kanak autisme bagi membantu kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi. Matlamat terapi yang diberikan adalah untuk mengoptimumkan fungsi komunikasi kanak-kanak autisme.”

Itulah serba sedikit yang telah Ayahku kongsikan kepada kami sekeluarga ketika bertemu dengan Cikgu Adik di sekolah. Ayah sering mengingatkan aku sebagai anak yang sulung dalam keluarga, aku patut tahu cara untuk menjaga Adik yang memerlukan perhatian khusus. Adik Rizal tidak boleh dibiarkan sendirian.

Doaku semoga segala pengorbanan Ayah selama ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah swt. Semoga hari raya Aidiladha tahun ini juga, Adik Rizal akan dapat bertutur dengan lebih baik lagi dan dapat menjalani kehidupan sehariannya dengan limpahan kasih sayang daripada kami sekeluarga.


Kata ayahku lagi: “Kanak-kanak yang ada autisme pada tahap sederhana seperti Adik Rizal, kebiasaannya adalah sukar untuk mencapai tahap perkembangan pertuturan bahasa yang betul dan normal. Ingatlah, setiap anak yang lahir itu ada keistimewaannya yang tersendiri! Sebagai Ayah, Ayah haruslah berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk adik kamu, Rizal yang istimewa.”

BIODATA PENULIS:


NAZARIAH NASIR minat menulis sejak di bangku sekolah. Beliau pernah memenangi hadiah merit bagi puisi ‘Siapa Diri Ini?’ dalam peraduan ‘Noktah Putih’. Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk ‘Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara’ dan ‘Tin’. Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku ‘Puisi Bebas Melata Menekat Sayang’. Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku ‘Hempedu Di Tasik Madu’ terbitan Asas ’50.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >