Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PERGOLAKAN DI MYANMAR

Krisis pelarian di Myanmar semakin runcing

Jan 01, 2022 | 05:30 AM



YANGON: RATUSAN ratusan ribu orang telah meninggalkan kediaman mereka di Myanmar, cuba melarikan diri daripada keganasan dan pertumpahan darah sejak tentera merampas kuasa pada 1 Februari lalu.



Ramai pelarian itu kini tinggal di dalam khemah di hutan Myanmar.



Sebilangan pula terus meninggalkan sepenuhnya negara mereka, tiba secara berduyun-duyun ke negara jiran.



Bagi mereka yang masih belum meninggalkan rumah mereka, ia merupakan satu perjuangan untuk terus hidup.



Junta tentera telah mewujudkan krisis kemanusiaan di Myanmar yang semakin memburuk dari hari ke hari, menurut satu kumpulan hak asasi manusia.



Askar menyekat konvoi bantuan, menyimpan bahan makanan dan bekalan penting daripada penduduk yang memerlukannya. Kanak-kanak maut kerana tidak mendapat bantuan perubatan.



Bagi mereka yang telah meninggalkan tempat kediaman, ia adalah kehidupan penuh ketidakpastian.



Ramai yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tempat yang mereka tidak tahu, pemerintah yang tidak mengalu-alukan mereka, dan masa depan yang tidak pasti.



India tidak mengiktiraf pelarian, jadi mereka tidak boleh mendapatkan bantuan, status undang-undang atau pekerjaan.



"Kami larikan diri daripada pintu neraka, tetapi kami sesat," kata Encik Biak Tling, 31 tahun, yang merupakan seorang kerani di sebuah gereja sebelum melarikan diri.



Bilangan mereka yang terpaksa meninggalkan tempat kediaman semakin meningkat sedang negara itu berada di ambang perang saudara antara penunjuk perasaan bersenjata dengan pihak tentera.



Lebih 1,300 orang telah dibunuh oleh junta tentera, menurut kumpulan hak asasi manusia.



Dalam kejadian terbaru hujung minggu lalu, tentera didakwa membunuh sekurang-kurangnya 35 penduduk kampung di wilayah Kayah, termasuk wanita dan kanak-kanak.



Di kawasan barat laut, Tatmadaw, atau tentera Myanmar, telah mengerahkan ribuan tentera dalam apa yang dilihat sebagai usaha bersepadu menghancurkan penentangan.



Pada penghujung Ogos, askar memasuki kampung halaman Encik Biak Tling di Thantlang, melepaskan tembakan mortar dan meriam secara sembarangan.



Thantlang berada di sepanjang laluan ke Kem Victoria, ibu pejabat tentera Barisan Nasional Chin, satu pertubuhan bersenjata etnik yang melatih penunjuk perasaan.



Satu kumpulan penunjuk perasaan membunuh lebih sedozen askar, mendorong tentera bertindak balas.



Mereka melancarkan roket ke kampung, memusnahkan rumah, gereja dan pejabat milik Save the Children, satu pertubuhan bantuan Britian.



Menjelang akhir September, hampir semua 10,000 penduduk bandar itu telah meninggalkan bandar.



Seperti kebanyakan pelarian dari wilayah Chin, Encik Biak Tling menuju ke wilayah Mizoram di India, yang berkongsi sempadan dengan Myanmar.



Penduduk Mizoram dan Chin berkongsi nenek moyang sama; ramai di Mizoram mempunyai hubungan keluarga dengan pelarian Myanmar.



Selama beberapa dekad, orang Chin berulang-alik untuk melawat keluarga, menjalankan perniagaan atau melarikan diri dari penindasan agama.



Mereka biasanya pulang semula ke rumah - sehinggalah kini.



Kaum Chin adalah etnik minoriti yang majoritinya beragama Kristian yang tinggal di barat Myanmar.



Seperti kebanyakan minoriti di negara itu, mereka telah mengalami penindasan dan diskriminasi selama beberapa dekad di bawah pemerintah terdahulu yang dikuasai majoriti Buddha Bamar.



Askar menculik orang lelaki dari rumah, memaksa mereka menggali parit dan membawa bekalan untuk dibawa ke kem yang mereka bina di wilayah itu.



Mereka menduduki gereja, mengenakan sekatan perjalanan ke atas pendakwah dan menghalang perhimpunan orang Kristian.



"Dalam beberapa bulan sahaja, kira-kira 30,000 orang telah menyeberangi sempadan - satu angka penghijrahan yang pada masa lalu berlaku selama dua dekad," kata Encik Salai Za Uk Ling, pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia Chin.



Selepas rampasan kuasa tentera, gelombang pertama ialah penunjuk perasaan, ahli politik dan penentang, diikuti oleh pekerja pemerintah yang telah melancarkan mogok, anggota tentera yang melarikan diri dan kemudian berpuluh ribu penduduk awam. - Agensi berita.




"Dalam beberapa bulan sahaja, kira-kira 30,000 orang telah menyeberangi sempadan - satu angka penghijrahan yang pada masa lalu berlaku selama dua dekad."
- Encik Salai Za Uk Ling, pengarah Pertubuhan Hak Asasi Manusia Chin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >