KEBANYAKAN ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) telah menyemak dan mengimbangi kos yang meningkat bagi pakej-pakej menunaikan haji tahun ini.
Ada yang mengambil jalan tengah dengan menyerap kos tambahan agar tidak membebankan jemaah berikutan kenaikan mendadak pelbagai kos di Makkah dan Madinah.
Ini terutama bagi bayaran penginapan dan makanan, selain kos penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi.
Di kalangan GSA yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka cuba untuk menempatkan jemaah di lokasi penginapan sedikit jauh dari Masjidil Haram ketika di Makkah bagi mengurangkan kos.
Ini selain mengurangkan tempoh masa berada di Tanah Suci.
Pengarah Sha Travel, Cik Hanim Hashim, berkata antara faktor yang mungkin menyebabkan kenaikan kos ini kerana berdasarkan prinsip bekalan dan permintaan.
"Untuk pakej haji, rata-rata GSA mendapatkan hotel yang berdepan dengan masjid untuk jarak yang dekat. Oleh kerana terdapat banyak permintaan bagi hotel dekat dengan masjid, maka harga penginapan menjadi lebih tinggi.
"Cara kami mengimbangi kenaikan ini ialah dengan pakej haji yang tidak tinggal lama di Makkah dan Madinah seperti sebelum Covid-19.
"Dengan cara ini, kami dapat kurangkan sedikit kenaikan jika dibandingkan kita duduk lebih lama di tanah suci,'' kata Cik Hanim.
Pengarah Urusan Jalaluddin Travel, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata antar faktor kenaikan harga bagi pakej haji tahun ini disebabkan oleh melonjaknya harga hotel di Makkah dan Madinah, terutamanya di Makkah dengan harga hotel naik sebanyak tiga kali ganda.
"Bukan sahaja kenaikan harga hotel untuk haji tetapi juga bagi musim umrah.
"Walaupun harga Masyair tahun ini sedikit rendah dari tahun lepas, namun kenaikan harga hotel dan juga pesawat menyebabkan kenaikan yang menyeluruh.
"Kami cuba mengatur jadual dan mengurangkan hari di Madinah untuk pakej-pakej kami.
"Namun begitu kami pastikan jemaah dapat melalui pengalaman dan ibadah haji yang menyeluruh dan terbimbing dengan melengkapi perjalanan mereka dengan bimbingan mutawif dan pegawai.''
Pakej haji paling murah tahun ini berharga $8,490 bagi empat orang sebilik dan yang paling mahal berharga kira-kira $22,645 bagi dua orang sebilik.
Semua harga pakej termasuk harga Masyair (pergerakan jemaah di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi menunaikan ibadah haji antara 7 hingga 12 Zulhijjah) tetapi tidak termasuk Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA), tambang pesawat dan cukai sedia ada.
Menurut Muis, secara purata harga pakej haji kali ini meningkat sekitar $1,500.
Ini disebabkan cukai kerajaan Arab Saudi dan kos penginapan yang lebih tinggi.
Selan kos penginapan yang agak tinggi, harga tiket penerbangan turut naik mendadak dengan penerbangan terus ke Jeddah.
Pengurus Umum Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata bagi mengimbangi harga yang meingkat bagi kos penerbangan, kebanyakan GSA tidak menokok harga tambahan.
"Ada juga GSA yang tidak menokok harga pesawat yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan bagi megurangkan kesan kos tinggi untuk keseluruhan pakej haji.
"Malah ada yang menyediakan pakej untuk berangkat lebih awal untuk mengimbangi harga tiket yang lebih berpatutan,''
Pengarah Urusan Hahnemann Travel, Ustaz Ahmad Hahnemann Abdul Kadir, berkata:
"Yang paling ketara adalah kenaikkan tarif hotel di Makkah dan Madinah. Sehingga ada yang seperti yang dilaporkan CNN Indonesia melaporkan kenaikan sehingga 150 hingga 300 peratus.
"Walaupun begitu, hotel tetap penuh dan sulit untuk mendapat bilik kerana ada penempahan yg banyak.
"Ada yg sanggup bayar lebih dan ini menyebabkan hotel seolah-olah ada taruhan (bidding) bagi sesiapa yang mampu membayar lebih.''
Kebanyakan GSA berkata mereka menjangkakan peningkatan kos dan haji umrah berlanjutan.
Setakat ini kata GSA jemaah faham dan akur dengan kenaikan kos haji termasuk sewa hotel yang sangat ketara, naik tiga hingga empat kali ganda.
Mereka akur bahawa dengan kemudahan terbaik seperti lokasi penginapan lebih dekat dengan Masjidil Haram, jemaah faham akan langkah GSA turut mengambil langkah sama dengan menaikkan harga pakej umrah bagi menanggung kos operasi yang terus melonjak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg