Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PENYENARAIAN WARISAN MELAYU

Lebih 20 budaya Melayu S'pura diiktiraf warisan negara

Zapin, pertukangan genderang Melayu dan membuat tempe serta tapai terbaru disertakan dalam Inventori Warisan Budaya Tidak Ketara Singapura
May 03, 2021 | 05:30 AM



LEBIH 20 warisan budaya dan makanan masyarakat Melayu telah disertakan dalam senarai Inventori Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Singapura.



Terbaru merupakan tarian zapin, pertukangan genderang Melayu dan membuat tempeh serta tapai. Tiga warisan budaya ini disenaraikan pada November 2020.



Turut disertakan dalam Inventori ICH itu ialah menganyam ketupat yang disenaraikan pada Oktober 2019.



Hampir 100 elemen pelbagai budaya masyarakat Singapura telah disenaraikan dalam inventori berkenaan, sebagai mengiktiraf mereka sebahagian warisan berbilang budaya negara yang pelbagai.



Inventori ICH itu dibahagikan berdasarkan lima kategori Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).



Lima kategori UNESCO itu ialah - Amalan Sosial, Adat dan Acara Perayaan; Tradisi dan Pengungkapan Lisan; Seni Persembahan; Pengetahuan dan Amalan Mengenai Alam Semula Jadi dan Alam Semesta; dan Pertukangan Tradisional.



Inventori itu juga mempunyai kategori Warisan Makanan.



Inventori ICH disenaraikan di laman www.roots.gov.sg kendalian Lembaga Warisan Negara (NHB).



Menurut laman tersebut, terdapat sekurang-kurangnya 23 ICH masyarakat Melayu dalam senarai tersebut.



Selain yang dinyatakan di atas, warisan Melayu lain termasuk nasi lemak; ubatan tradisional Melayu; dikir barat; muzik gamelan; bangsawan; sepak takraw; dan silat.



Terdapat juga warisan yang dikongsi sama beberapa masyarakat di sini, seperti rojak.



NHB sebelum ini telah melancarkan tinjauan untuk mengenalpasti dan mendokumentasikan elemen-elemen ICH yang biasa diamalkan di Singapura pada Julai 2016.



Untuk melengkapi tinjauan tersebut dan menyokong pembangunan Inventori ICH itu, NHB telah menganjurkan sesi maklum balas melibatkan lebih 73 peserta antara September 2016 hingga November 2017 untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai usaha mendokumentasi dan mempromosikan ICH Singapura.



Inventori ICH kemudian dilancarkan pada April 2018 dengan sejumlah 50 elemen.



Menyusuli pelancaran tersebut, NHB mengadakan lagi maklum balas dengan lebih 140 peserta dari April hingga Julai 2018 untuk mendapatkan saranan terhadap elemen ICH lain yang boleh disenaraikan.



Sejak dilancarkan, inventori tersebut terus berkembang dan NHB secara progresif menambah elemen baru dalam senarai tersebut.



Misalnya, NHB menambah 20 elemen pada Mac 2019, 18 elemen pada Oktober 2019 dan lagi sembilan elemen baru pada November tahun lalu.



Elemen-elemen ini - yang ada sekarang dan baru - dikenalpasti daripada tinjauan serata negara, kajian pasukan NHB atau maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan, pakar-pakar ICH dan pengamal kegiatan selain anggota masyarakat.



NHB akan menambah lagi elemen ICH itu dan mengemaskini maklumat dalam inventori tersebut jika terdapat kajian baru untuk menyertakannya.



Menyentuh tentang zapin, laman www.roots.gov.sg berkata tarian tersebut berasal daripada Hadramaut di Yaman dan diperkenalkan di Kepulauan Melayu dalam kurun ke-14.



Sejak itu, zapin kekal sebagai bahagian penting dalam seni persembahan Melayu di rantau ini terutama di Johor dan Singapura.



Mengenai pertukangan genderang seperti kompang dan rebana pula, laman tersebut berkata kegiatan itu sebelum ini hampir pupus.



Namun ia terdorong untuk kembali aktif selepas Singapura menyaksikan suasana persembahan budaya Melayu di sini seperti dikir barat, silat dan orkestra Melayu berkembang dalam tahun-tahun 1990-an.



"Di Singapura, pertukangan genderang merupakan khidmat yang khusus. Dalam litar genderang Melayu, terdapat hanya segelintir sahaja pakar individu yang membuat, memperbaiki dan menyenggarakan genderang Melayu," kata laman tersebut.




INVENTORI ICH MELAYU SG



* Menganyam ketupat



* Nasi lemak



* Masakan Melayu di S'pura



* Pembuatan tempe dan tapai



* Kuih



* Ubatan tradisional Melayu



* Wayang kulit



* Bangsawan



* Bentuk puisi Melayu



* Dondang sayang



* Dikir barat



* Bentuk tarian Melayu



* Zapin



* Muzik Melayu tradisional



* Muzik gamelan



* Silat



* Sepak takraw



* Perkahwinan Melayu



* Pembuatan songkok



* Pembuatan baju kurung



* Hari Raya Puasa



* Hari Raya Haji



* Pertukangan genderang Melayu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >