LEBIH daripada sekadar menjadi sebuah rumah ibadah, Masjid Omar Kampong Melaka merupakan tempat di mana jemaah datang untuk mencari ketenangan.
Meskipun terletak di tengah-tengah hiruk-pikuk pusat bandar, masjid yang terletak di Keng Chow Street membangkitkan suasana yang nyaman dan tenang.
"Apabila anda masuk ke pekarangan masjid ini, anda tidak merasa seperti berada di pusat bandar lagi.
"Oleh itu, selain ke sini untuk menunaikan solat fardu, jemaah yang bekerja di pejabat berhampiran juga akan mengambil kesempatan untuk rehat seketika sambil mendengar kuliah atau tazkirah yang biasanya diadakan selepas solat zuhur," kata pengerusi masjid, Encik Yusof Ali.
Ciri unik ini juga dapat dirasakan oleh kakitangan dan sukarelawan masjid, dengan ada di antara mereka yang telah berkhidmat di masjid tersebut hampir lebih dari 40 tahun, termasuk Encik Yusof sendiri.
Menurut beliau lagi, keakraban hubungan antara ahli jawatankuasa masjid dengan pegawai dan sukarelawan terasa seperti sebuah keluarga yang mesra.
Ini jelas dapat dilihat menerusi semangat gotong-royong yang dipaparkan sewaktu masjid itu menganjur sesebuah majlis seperti sambutan Maulidur Rasul mahupun di bulan Ramadan.
"Perasaan itu memang sangat istimewa," tambah Encik Yusof yang mula berjinak-jinak menyingsing lengan sebagai relawan masjid pada tahun 70-an.
Sependapat Cik Sharifah Zahra Aljunied - keturunan kelima keluarga pedagang kaya dan terkenal Arab dari Palembang, Syed Omar Ali Aljunied - pula berkata:
"Ramai jemaah yang datang ke Masjid Omar mungkin setuju bahawa masjid ini mempunyai suasana yang berbeza dibanding dengan masjid lain di Singapura. Walaupun terletak di tengah bandar, ia tidak sesibuk yang dijangka. Suasana ketenangan akan sentiasa dirasa.
"Apabila saya ke masjid itu, saya selalu bayangkan bagaimana Allahyarham Syed Omar beribadah di sini dan semestinya berkongsi ilmu ugama sebagai yang biasanya dilakukan di kampungnya di Hadhramaut, Yaman."
Sejak dibina di tanah jajahan Britain hasil kemurahan hati seorang dermawan dari Yaman, Syed Omar Ali Aljunied, masjid yang kian mencapai usia 200 tahun telah berkembang mengikut peredaran masa.
Dari sebuah bangunan kecil yang usang, ia dibangunkan menjadi sebuah institusi yang memanfaatkan teknologi untuk kegunaan seharian, terutama dalam masa-masa yang mencabar sekarang.
Di samping memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pekarangan masjid bagi memantau keadaan keselamatan sekitaran, masjid itu dilengkapi teknologi canggih terkini seperti kamera haba untuk mengimbas suhu badan jemaah secara automatik dan juga kod QR yang boleh diimbas jemaah jika mereka ingin membuat pendermaan.
Seperti masjid lain, Masjid Omar Kampong Melaka perlu memastikan mereka melaksanakan langkah pengurusan selamat yang ditetapkan pemerintah di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini.
"Kami membuat pelaburan dalam teknologi yang mahal dan tinggi untuk mengurangkan penggunaan tenaga manusia.
"Ramai pegawai kami merupakan relawan masjid, jadi mereka mungkin tidak dapat hadir setiap hari. Dengan adanya teknologi seperti kamera haba, kami hanya perlukan seorang pegawai sahaja," kata Encik Yusof.
Seiring dengan pembangunannya, Masjid Omar Kampong Melaka ingin terus memainkan peranan aktif dalam mendekati masyarakat setempat dan memastikan setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan.
Sejajar dengan pembangunannya, Masjid Omar Kampong Melaka ingin terus memainkan peranan aktif dalam mendekati masyarakat setempat dan memastikan setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan.
Dalam usaha meraikan dwiabad ini, Masjid Omar Kampong Melaka menumpukan sambutan dengan melaksanakan projek membantu golongan masyarakat yang memerlukan seperti keluarga penerima zakat masjid.
Antara projek yang telah dilancarkan ialah Projek Sepatu Sekolah, di mana masjid telah menyumbangkan kasut sekolah untuk menyokong kanak-kanak penerima zakat.
Sewaktu Ramadan yang lalu, pihak masjid turut menyumbangkan keperluan iftar dan barangan runcit untuk persiapan Hari Raya kepada semua penerima zakat.
"Sejak sebelum Covid-19 berlaku, pihak masjid sering menganjurkan acara untuk mendekati dan membantu golongan yang memerlukan, terutama mereka yang tinggal di rumah sewa di kawasan Jalan Kukoh.
"Misalnya di bulan Ramadan, selain mengagihkan bubur, kita juga akan mengadakan solat terawih di kolong blok agar dapat memudahkan penduduk di sana yang ramai di kalangan mereka merupakan warga senja," kongsi Encik Yusof yang turut mengatakan masjid mengalu-alukan idea baru bagi mempersiapkan diri untuk mengharungi norma baru.
Justeru, beliau berharap pelapis jawatankuasa masjid akan dapat terus memainkan peranan penting dalam usaha menyokong masyarakat selain mengekalkan dan melestarikan warisan masjid itu di masa hadapan.
"Masjid ini telah bertahan hingga 200 tahun... saya harap usaha yang telah dilakukan selama ini dapat diteruskan," ujarnya.
Masjid Omar Kampong Melaka "Masjid ini telah bertahan hingga 200 tahun... saya harap usaha yang telah dilakukan selama ini dapat diteruskan." - Encik Yusof Ali, pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg