Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Lemah dek dialisis, namun tetap kunjungi ibu setiap hari kerana kasih

Anugerah Pengasuh dan Pesakit Inspirasi 2022 dianjurkan oleh Singapore Health (SingHealth) baru-baru ini bagi mengiktiraf 37 pemenang, terdiri daripada 15 pesakit, 21 pengasuh dan Kumpulan Sokongan Onkologi Belia dan Dewasa Muda di Pusat Barah Nasional Singapura. Anugerah itu dimulakan pada 2010 untuk meraikan individu di atas kekuatan, keberanian dan daya tahan mereka dalam menghadapi cabaran kesihatan, serta kumpulan sokongan pesakit cemerlang yang telah memberi sokongan tidak ternilai kepada pesakit dan pengasuh mereka. BERITA HARIAN (BH) mengongsi kisah dua penerima anugerah ini.
May 31, 2022 | 05:30 AM



HATINYA berat untuk meninggalkan ibunya di rumah penjagaan, namun keadaan kesihatan Encik Minhat Ismail yang kurang baik memaksanya untuk mengambil pilihan itu.



Ketika ibunya, Cik Fatimah Yasmin, dirawat di hospital empat tahun lalu setelah jatuh dan mengalami keretakan pada bahagian pinggul, Encik Minhat disahkan mengalami kegagalan ginjal dan perlu menjalani dialisis segera.



Tetapi, walaupun perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu yang membuatnya berasa lemah dan mabuk, Encik Minhat akan memastikan dia menziarahi ibunya setiap hari, walaupun untuk 30 minit sahaja.



Dia akan membawa makanan yang dimasaknya sendiri di rumah, dan membelikan beberapa snek kegemaran ibunya setiap kali mengunjungi warga emas berusia 93 tahun itu.



Encik Minhat, 62 tahun, ialah anak tunggal ibunya dan telah mengabdikan dirinya untuk menjaga orang tuanya itu selagi hayatnya masih ada.



Di atas ketekunannya menjaga ibunya, Encik Minhat telah diberikan Anugerah Pengasuh Inspirasi dalam Anugerah Pengasuh dan Pesakit Inspirasi 2022 anjuran Singapore Health (SingHealth).



"Disebabkan keadaan kesihatan saya, saya mengambil nasihat pekerja sosial perubatan dan doktor untuk menghantar ibu saya ke Hospital Ren Ci bagi penjagaan jangka panjang. Ini membolehkan saya pergi ke sesi dialisis saya tiga kali seminggu tanpa perlu meninggalkan ibu saya sendirian di rumah," kata Encik Minhat yang masih bujang.



Apabila rumah penjagaan itu mengajaknya mengambil bahagian dalam projek dan kegiatannya, Encik Minhat tidak melepaskan peluang tersebut.



Sejauh ini, dia telah menyertai projek memasak di mana dia menggunakan resipi ibunya untuk mengadakan sesi membuat epok-epok bagi kakitangan dan penghuni rumah penjagaan itu.



Dia juga telah mengambil bahagian dalam projek pengalaman Rumah Maya yang membolehkan kakitangan hospital dan Encik Minhat membawa ibunya "pulang" menerusi tayangan sekitaran flatnya secara maya.



Encik Minhat, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai polis dan penyelia bangunan, berhenti bekerja sekitar 10 tahun lalu untuk menjaga ibunya, kerana khuatir ibunya jatuh di rumah.



Dia kemudian melakukan kerja sambilan seperti sebagai pemandu tetapi tidak dapat meneruskan kerja sambilan itu buat masa ini.



Perbelanjaan bulanannya kini ditampung oleh duit yang diterima hasil menyewakan satu bilik di flat tiga biliknya di Bukit Batok East.



Ibunya kini ditempatkan di rumah penjagaan St Andrew's Nursing Home di Taman Jurong sejak sebulan lalu.



"Sebelum ibu saya jatuh, dia seseorang yang aktif dan sihat dan suka menyibukkan dirinya di rumah. Tetapi sejak dimasukkan ke rumah penjagaan, dia seperti kehilangan dan tidak ada mood. Dia tidak suka makanan yang disediakan jadi saya masakkan untuknya. Ingatannya masih segar dan dia mahu berbual dan berinteraksi jadi saya datang mengunjunginya setiap hari," kata Encik Minhat.



Pada hari dia menjalani dialisis, Encik Minhat akan bergegas ke rumah penjagaan itu selepas sesinya berakhir dan tiba sekitar 6.30 petang untuk meluangkan setengah jam bersama ibunya sebeum masa lawatan berakhir.



"Sekarang saya menjaga pemakanan dan kesihatan saya kerana jika keadaan saya semakin teruk, siapa yang akan membantu saya? Saya tidak akan dapat menjaga keperluan ibu saya.



"Dia perlukan seseorang dan jika saya tidak datang, dia berasa sedih. Ibu saya juga risaukan saya dan beritahu saya tidak perlu datang setiap hari. Tapi saya tak sampai hati," kata Encik Minhat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >