DALAM usaha menggalak golongan belia belajar dan memahami kerencaman industri teknologi, M3@Pasir Ris-Punggol dan Yayasan Mendaki telah menganjurkan dua darmawisata sempena acara Raikan Ilmu bulan ini.
Seramai 40 pelajar mengunjungi Pusat Pembuatan Semula Termaju dan Teknologi Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) (ARTC) dan syarikat SIA Engineering Company (SIAEC) pada dua Jumaat berturut-turut awal bulan ini.
Turut menyertai lawatan itu ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Beliau berkata golongan belia perlu didedahkan dengan industri teknologi lebih luas.
"Ia bukan sahaja berkaitan koding, namun bidang ini mempunyai pelbagai jawatan dan peluang untuk diraih, dan ini kurang disedari ramai orang.
"Lawatan seperti ini amat bermanfaat kerana selain merupakan satu pendedahan yang baik bagi peserta dan pelajar agar mempunyai pemahaman lebih mendalam tentang kerjaya dalam bidang teknologi, saya harap ia juga satu motivasi untuk mereka belajar dan mengejar impian dalam kerjaya teknologi," katanya.
Menurutnya, beliau berharap lawatan sedemikian dapat meningkatkan kesedaran belia tentang peluang dalam bidang teknologi lebih mudah dicapai jika pelajar lebih peka akan kepelbagaian jawatan yang ada.
Encik Sharael, yang sebelum menyandang jawatan politik, merupakan seorang jurutera dan telah menerajui beberapa projek di luar negara.
Beliau akur bahawa beliau didorong oleh keghairahan mahu berinovasi dan menggunakan data untuk memacu peningkatan langkah ke masa depan, katanya.
Lawatan yang dikendalikan itu merupakan sebahagian program Future of Youth Mendaki.
Menurut Timbalan Pengarah, Jabatan Future Ready, Yayasan Mendaki, Cik Atiqah Halim, beliau gembira dengan respons pelajar yang berminat dalam darmawisata sedemikian.
Di ARTC, pelajar mempunyai peluang belajar dan menyaksikan teknologi perkilangan maju - penggunaan teknologi inovatif untuk memperbaiki produk atau proses, dengan teknologi yang relevan digambarkan sebagai "maju," "inovatif," atau "canggih."
Seorang peserta, Encik Mohamad Hashri Rusyaidy Ridzuan, 20 tahun, berkata beliau berminat dan ingin melihat bagaimana syarikat tahap tertinggi dalam bidang kejuruteraan di Singapura mengatur dan mengendalikan prosesnya.
"Saya amat kagum dengan operasi tempat ini yang menggunakan kemajuan teknologi dalam membantu tugas pekerja," ujarnya yang baru lulus kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Digital dan Jitu.
Di SIAEC pula, pelajar dapat lihat di sebalik tabir kerja penyelenggaraan pesawat dan melihat jenis peralatan yang digunakan.
Seorang lagi peserta, Encik Muhammad Afiq Muhammad Zin, pula berkata kunjungan itu memberi manfaat kerana beliau kini tahu tentang kerjaya di SIAEC.
"Kunjungan itu satu pengalaman membuka mata bagi saya kerana saya tidak pernah menyaksikan kerja di sebalik tabir industri aeroangkasa," ujarnya, berusia 27 tahun.
"Antara perkara yang saya pelajari ialah SIAEC bukan sahaja menyelenggara pesawat SIA sahaja. Malah ia juga menyelenggara pesawat syarikat penerbangan lain," tambah Encik Afiq yang bakal lulus kursus sarjana muda dalam kejuruteraan aeroangkasa Disember ini.
"Kunjungan itu satu pengalaman membuka mata bagi saya kerana saya tidak pernah menyaksikan kerja di sebalik tabir industri aeroangkasa."
- Encik Muhammad Afiq Muhammad Zin, yang turut serta ke syarikat SIA Engineering Company.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg