SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Masa depan rumah peralihan jadi keprihatinan siswa rekaan dalaman

Masa depan rumah peralihan jadi keprihatinan siswa rekaan dalaman

Dua siswazah Maktab Seni Lasalle ini prihatin akan keperluan masyarakat. Lantaran itu, dalam membereskan projek tahun kepujian mereka, matlamat membantu kelompok masyarakat tertentu menjadi keutamaan. Yang seorang memikirkan amanah membawa pesalah dadah kembali ke pangkuan masyarakat. Yang seorang pula ingin sektor seni, budaya dan muzium bangkit semula dalam tempoh pandemik Covid-19. BERITA HARIAN melaporkan.
Dec 6, 2021 | 5:30 AM

Masa depan rumah peralihan jadi keprihatinan siswa rekaan dalaman

TEROKA FUNGSI MASYARAKAT REKAAN DALAMAN: Setelah menyaksikan sendiri kesulitan keluarga bekas banduan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat, Cik Nur Amyra Mawan mengendalikan projek tahun kepujian 'In Plain Sight' untuk melihat fungsi ruang dalam menyepadukan kembali pesalah ke pangkuan masyarakat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
TEROKA FUNGSI MASYARAKAT REKAAN DALAMAN: Setelah menyaksikan sendiri kesulitan keluarga bekas banduan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat, Cik Nur Amyra Mawan mengendalikan projek tahun kepujian 'In Plain Sight' untuk melihat fungsi ruang dalam menyepadukan kembali pesalah ke pangkuan masyarakat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

JERIH payah keluarga yang perlu membantu orang tersayang yang tersepit dengan kancah dadah atau jenayah lain kembali ke pangkuan masyarakat pernah disaksikan sendiri oleh siswa Maktab Seni Lasalle, Cik Nur Amyra Mawan.

Yakin bahawa campur tangan ruang di rumah peralihan yang membantu pemulihan penagih dan pesalah dapat melancarkan proses integrasi semula ini, beliau mengusahakan projek tahun kepujian kursus ijazah rekaan dalaman bertajuk In Plain Sight.

Projek ini adalah paparan takrifan Cik Nur Amyra, 25 tahun, mengenai masa depan rumah peralihan.

Sebagaimana katanya, yang lulus dengan kepujian Kelas Pertama, dalam satu wawancara bersama Berita Harian:

"Memandangkan masa depan penjara tertumpu pada proses pemulihan dan penyepaduan semula, perlu untuk menganalisa isu di sebalik peningkatan kadar residivisme di Singapura atau kembalinya seseorang melakukan jenayah semula setelah ia berlaku buat beberapa waktu.

"Lantaran itu, ciri-ciri serupa tetapi berbeza fungsi pada penjara dan rumah peralihan menampilkan sifat keduaan ruang ini.

"Ciri jauh beza kemudahan jagaan lanjut mewujudkan jurang dalam peralihan kedua-dua kemudahan, menjadikan sukar buat bekas pesalah menyepadukan diri semula dengan masyarakat.

"Lantaran itu, In Plain Sight menunjukkan definisi semula rumah peralihan akan datang dengan langkah memposisikan semula tipologi, membebaskan diri daripada sifat keduaan ruang dan sekitaran menerusi pemantauan."

Beliau juga percaya bekas banduan wajar diberi peluang kedua di samping mempunyai sekitaran yang ada ruang serta dapat menggalak mereka untuk berusaha menyepadukan diri semula dengan dunia sebenar.

"Daripada projek ini, saya pelajari bahawa rekaan ruang adalah lebih daripada apa yang kita perhatikan dari daya penglihatan kita. Ia juga lebih dari estetika.

"Unsur yang tersembunyi dan tidak ketara, seperti reka letak ruang atau peredaran udara, mewujudkan kesan tidak secara langsung tetapi besar pada sekitaran yang kita kadangkala tidak endahkan," tambah Cik Nur Amyra, yang juga memiliki Diploma Reka Bentuk Runcit dan Layanan Tamu daripada Politeknik Temasek (TP).

Beliau akur cabaran terbesar dalam menghasilkan projek ini adalah mengejar masa di mana 24 jam sehari tidak mencukupi.

Menjelaskan mengapa kursus rekaan dalaman ini menjadi pilihannya, Cik Nur Amyra berkata ketika beliau masih meniti usia remaja, dirinya berasa penting untuk menikmati keselesaan memiliki ruang sendiri.

"Saya sentiasa tertarik dengan bagaimana rekaan ruang dapat memperbaiki pengalaman individu serta fungsi ruang itu sendiri.

"Setelah mengikuti kursus reka bentuk, saya menyedari saya suka menghasilkan ruang sebagai situasi daripada objek serta memproses rekaan yang yang secara tidak diduga terhasil.

"Ia lantas memberi ruang bagi pengguna menyesuaikan diri dan mencedok pengalaman berpatutan," tambahnya.

Apa yang beliau pelajari daripada kursus ijazah kepujian di Lasalle adalah lebih banyak pembelajaran teori dan peluang membangun konsep yang dapat membantunya menjana rekaan asli lagi unik.

Di sebalik penerokaan kreativiti, beliau akur kursus ini mencabar dari segi pemikiran minda kerana tugasan yang datang tanpa henti persis beliau secara profesional berada dalam industri rekaan dalaman.

Buat masa ini, anak bongsu dalam keluarga tiga beradik ini menjalankan kerja bebas bagi membangun portfolionya terlebih dahulu.

"Inilah masa yang sangat penting buat saya kerana ia memberi saya masa untuk benar-benar menilai semula kerja saya serta apa yang saya capai sejauh ini.

"Saya ingin meneroka diri saya sendiri meliputi minat saya dalam bidang rekaan dalaman sebelum mengambil tugas sepenuh masa.

"Bagi saya, kursus rekaan dalaman menawarkan masa depan yang cerah kerana pastinya ada permintaan dalam skop kerja ini.

"Dengan kemahiran yang saya miliki, saya berharap tidak hanya menyumbang pada sektor rekaan dalaman tetapi berpeluang bereksperimen lebih lanjut lagi di samping memecahkan apa jua sempadan rekaan ruang dengan mempelajari aspek rekaan lain seperti produk dan grafik.

"Saya tak ingin mendak pada masa akan datang. Lantas, jika ada kesempatan, saya ingin belajar lebih lagi tentang fungsi rekaan bagi kegunaan masyarakat," jelasnya.

"Daripada projek ini, saya pelajari bahawa rekaan ruang adalah lebih daripada apa yang kita perhatikan dari daya penglihatan kita. Ia juga lebih dari estetika. Unsur yang tersembunyi dan tidak ketara, seperti reka letak ruang atau peredaran udara, mewujudkan kesan tidak secara langsung tetapi besar pada sekitaran yang kita kadangkala tidak endahkan. - Cik Nur Amyra Mawan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg