Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darussalam mahu dekati yang tua, tidak lupa yang muda

Oct 22, 2021 | 5:30 AM
PERKENAL PROGRAM DALAM TALIAN: Pengurus Masjid Darussalam, Ustaz Harunarrashid Zainudin (kiri) dan pegawai dakwah Masjid Darussalam, Ustaz Muhammad Haziq Zainal (kanan) sedia berkhidmat bagi pastikan program di masjid itu dapat memenuhi keperluan jemaah daripada pelbagai latar belakang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
PERKENAL PROGRAM DALAM TALIAN: Pengurus Masjid Darussalam, Ustaz Harunarrashid Zainudin (kiri) dan pegawai dakwah Masjid Darussalam, Ustaz Muhammad Haziq Zainal (kanan) sedia berkhidmat bagi pastikan program di masjid itu dapat memenuhi keperluan jemaah daripada pelbagai latar belakang. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

MASJID bukan sahaja tempat beribadah, malah ia memainkan peranan penting dalam mendekati masyarakat dengan menyebarkan ilmu, membina kerohanian, mengukuhkan perpaduan sosial dan memupuk keharmonian kaum.

Berpandukan matlamat demikian, Masjid Darussalam telah mengusahakan pelbagai program buat jemaah Islam setempat selama melebihi 30 tahun sejak ia dirasmikan pada 1988 di kawasan Commonwealth Avenue West.

Menurut Pengurus Masjid Darussalam, Ustaz Harunarrashid Zainudin, 38 tahun, masjid ini telah melakarkan program bagi menarik dua golongan utama iaitu warga emas dan penjaga mereka serta orang dewasa muda - memandangkan masjid ini terletak di kawasan kejiranan perumahan di mana penduduknya semakin meningkat usia dan juga berdekatan institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Singapura, Politeknik Ngee Ann dan Universiti Nasional Singapura yang merangkumi pelajar dan pekerja.

Salah satu program yang diusahakan bagi mendekati golongan warga emas dan penjaga mereka ialah Program Kasih Warga Emas.

Menerusi program ini, pihak masjid antaranya dapat memberikan nasihat kepada warga emas serta memenuhi permintaan, memberikan bimbingan kerohanian tatkala beliau dalam keadaan sakit yang kuat dan nazak.

Dalam pengalaman kami, masjid pernah pergi ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH) dan ke perumahan yang memerlukan bimbingan doa dan kata-kata semangat buat yang sedang sakit dan ahli keluarga.

Pihak masjid juga terus berusaha mendekati warga emas dan penjaga mereka menerusi program ceramah di dalam talian.

Dalam pada itu, Masjid Darussalam sudah bertahun-tahun mendekati penuntut dari institusi pengajian tinggi, antaranya dengan memberi mereka ruang untuk belajar di kawasan masjid dan memberi penuntut sokongan kewangan dalam menjayakan sesuatu projek yang bermanfaat buat masyarakat.

Bagi mendekati golongan dewasa muda ini, Masjid Darussalam telah berusaha mengikuti peredaran masa dengan menyampaikan kelas agama atau ceramah melalui wadah di dalam talian atau media sosial sejak tercetus pandemik Covid-19.

Selain itu, satu lagi program yang mendapat sambutan menggalakkan adalah Program Hijrah, khusus buat individu yang baru ingin belajar mendirikan solat, mengaji atau mengikuti kelas fardu ain.

Peserta bagi program ini boleh mengikuti kelas secara individu bersama asatizah masjid atau menyertai kelas Gengstart (Belajar Asas Agama) dan kelas Nak Belajar Lagi yang diadakan pada setiap Ahad, kini diadakan melalui wadah di dalam talian.

Bagi memupuk keharmonian kaum, Masjid Darussalam juga pernah mengadakan lawatan buat pelajar bukan Islam dari sekolah-sekolah berdekatan kawasan masjid sebelum keadaan pandemik Covid-19.

Ekoran keadaan pandemik kini, Masjid Darussalam meneruskan usaha mereka mendekati masyarakat dengan menghasilkan pelbagai kandungan berkenaan pengajaran Islam menerusi wadah di dalam talian dan media sosial.

Sebagai contoh, video ringkas Diari Doa Darussalam, pimpinan pegawai dakwah Masjid Darussalam, Ustaz Haziq Zainal, yang ditayangkan melalui laman media sosial, Facebook dan Instagram, telah mendapat sambutan amat menggalakkan.

Program Siri Hikmah pula mengetengahkan perbicaraan tentang topik hangat pada masa kini, antaranya seperti kemurungan dan kesihatan mental.

Mengulas tentang pendekatan Masjid Darussalam kepada masyarakat dalam keadaan pandemik ini, Ustaz Harun berkata:

"Biarpun operasi Masjid Darussalam terbatas, ia tidak menghambat usaha kami untuk terus mendidik dan membina kerohanian masyarakat menerusi wadah di dalam talian dan media sosial.

"Malah, wadah di dalam talian dan media sosial ini juga telah memberi kemudahan kepada golongan yang sukar hendak datang belajar agama di masjid seperti kaum ibu yang menjaga anak-anak kecil atau mereka yang menjaga warga emas di rumah."

Beliau menambah dengan adanya ceramah dan kelas bimbingan agama seperti kelas fardu ain secara 'online' melalui Zoom, pihak masjid juga telah menerima dan berinteraksi dengan peserta yang tinggal di luar negara seperti Malaysia, Australia, New Zealand dan Canada.

Melangkah ke depan, Masjid Darussalam sedang giat mengumpul dana bagi projek peningkatan masjid yang dijangka bermula pada 2022 supaya ia dapat memberi keselesaan pada jemaah.

Menurut Ustaz Harun, Masjid Darussalam yang boleh menampung 3,000 jemaah pada satu masa belum pernah mengadakan kerja-kerja peningkatan besar selama melebihi 30 tahun sejak ia ditubuhkan.

Justeru, projek peningkatan masjid ini bertujuan memperbaiki prasarana masjid, antaranya untuk membina lif, menambah tandas dan tempat wuduk, menukar permaidani, memasang kipas dan alat hawa dingin, memperbaiki sistem audio visual dan menambah ruang bilik darjah dengan kelengkapan teknologi.

"Masjid ini adalah tempat untuk semua orang. Saya berharap kami dapat meneruskan segala usaha yang telah kami susun buat masyarakat dan mendorong masyarakat agar senang mendampingi masjid," kata Ustaz Harun.

CARA BUAT SUMBANGAN

  1. Paynow UEN: S89MQ0032A
  2. Untuk sumbangan NETS atau tunai, sila langsung ke pejabat masjid
  3. Pemindahan bank OCBC: 591-0705-45001 Nyatakan kod amal di bahagian 'remarks'
  4. Cek dialamatkan ke LEMBAGA PENTADBIR MASJID DARUSSALAM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg