MASJID Hasanah di Teban Gardens bakal melalui projek naik taraf tahun ini, dengan beberapa perubahan besar bakal dilakukan.
Ini termasuk mengubah suai permukaan luaran masjid, pintu masuk utama, mihrab dan mimbar serta membina tangga baru di sisi masjid untuk memudahkan laluan keluar jemaah.
Ia juga akan mengubah elok bilik darjah yang digunakan bagi kelas madrasah aLIVE di aras 2 dan 4, pejabat di aras 4 dan meluaskan auditorium masjid di aras 3.
Tanjakan untuk memasuki masjid juga akan diadakan bagi kegunaan jemaah kurang upaya atau yang berkerusi roda.
Sebanyak $5.84 juta diperlukan bagi kerja-kerja naik taraf itu yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Setakat ini, masjid tersebut sudah mengumpulkan $1 juta.
Mengulas tentang projek naik taraf itu, pengerusi Masjid Hasanah, Encik Amir Mohamed Ali, berkata:
"Dengan pengubahsuaian ini, kita dapat memaksimumkan ruang-ruang untuk keperluan beribadah dan lain-lain kegiatan Muslimin dan Muslimah, belia dan warga yang semakin tua serta pekerja-pekerja migran yang tinggal di dormitori-domitori berdekatan.
"Dengan ini masjid dapat menyediakan suasana yang optimistik bagi pelbagai golongan masyarakat."
Menurutnya, kali akhir masjid tersebut melalui kerja-kerja ubah suai besar-besaran ialah pada 2009 dengan permukaan luar bangunan masjid, tandas dan bilik wudhu diubah elok.
Sepanjang tempoh ubah suai yang dijangka memakan masa dua tahun ini, jemaah bakal terjejas dari segi kemudahan seperti tempat wuduk dan ruang solat yang terhad.
Namun, mereka masih boleh melaksanakan solat di masjid serta aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan di sana.
Ini kerana projek naik taraf akan dilakukan secara berperingkat.
"Sebagai contoh, mengikut perancangan kami, ruang utama dewan solat merupakan kawasan terakhir yang akan menjalani proses ubah suai.
"Ruang-ruang lain di masjid disiapkan terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada jemaah melaksanakan solat di ruang utama dewan solat ketika projek ini berlangsung," jelas Encik Amir.
USAHA KUMPUL DANA
Masjid Hasanah setakat ini telah berjaya mengumpul $1 juta bagi projek naik taraf mereka.
Ini dilakukan melalui beberapa cara termasuk pungutan derma tabung, wakaf, infak, penjualan kupon nasi amal dan siri syarahan majlis Maulidur Rasul dan israk mikraj.
Selain itu, pada Ramadan akan datang, masjid itu akan juga mengadakan penjualan hamper kuih raya dan sampul duit untuk mengumpul dana.
SEJARAH MASJID HASANAH
Masjid Hasanah dibangunkan pada 1971 di tapak sedia adanya sekarang sebagai pengganti sembilan masjid dan surau yang telah dirobohkan di pulau-pulau di selatan Singapura.
Masjid itu menjalani kerja-kerja pembinaan semula dari 1989 hingga 1992 kepada bangunan empat tingkat untuk kemudahan murid-murid madrasah dan para jemaah khususnya penduduk Teban dan Pandan Gardens.
Antara peristiwa yang pernah berlaku di sana adalah kebakaran di aras dua dewan serbaguna yang juga berfungsi sebagai kelas madrasah pada tanggal 24 Mac 1993 bersamaan 30 Ramadan 1413H iaitu sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Kebakaran tersebut menjejas harapan jemaah yang tinggal dekat situ yang terpaksa menangguhkan niat bersolat Aidilfitri di sana.
CARA MENYUMBANG KEPADA MASJID HASANAH |
1. Paynow ke UEN: S70MQ0042B 2. Pindahkan wang ke akaun OCBC 591-070164-001 Isikan di ruang ‘bill reference’ dengan “wakaf” atau “infaq”. 3. Hantar cek kepada “LPM Hasanah” 4. Infaq barang kemas anda atau dari peninggalan arwah. Hubungi pejabat Masjid Hasanah 65617990, Isnin-Khamis 9.30 pagi – 5petang. 5. Untuk pengambilan derma dari rumah bagi sumbangan $500 ke atas, hubungi pejabat Masjid Hasanah 65617990, Isnin-Khamis 9.30 pagi – 5 petang |