Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MASJID OMAR KAMPONG MELAKA

Masjid Omar Kg Melaka beri ketenangan di sebalik hiruk-pikuk kota

Dengan sejarah lebih 200 tahun dan lokasi strategik di tepi Sungai Singapura, Masjid Omar Kampong Melaka di Keng Cheow Street, lebih daripada setakat institusi buat masyarakat Melayu/Islam berhimpun khususnya golongan Arab yang membinanya dari awal. Beberapa kisah menarik mengenai masjid ini sebagai institusi penyatu ummah telah diterbitkan dalam buku sambutan dua abad masjid berkenaan, 'A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka, 1820-2020 And Beyond' yang dilancarkan Presiden Halimah Yacob baru-baru ini. BERITA MINGGU melaporkan kenangan manis beberapa individu tentang masjid yang diasaskan Syed Omar Ali Aljunied dari Hadhramaut.
Dec 25, 2022 | 05:30 AM



APABILA pustakawan veteran Sharifah Zahra Syed Junied Aljunied masih kecil, bukan kebiasaan wanita berhimpun di masjid untuk mendirikan solat beramai-ramai.



Hanya bertahun selepas itu, barulah kaum Hawa lebih terlibat dan bergotong-royong dalam kegiatan masjid demi perpaduan ummah.



Masjid Omar Kampong Melaka di 10 Keng Cheow Street pula begitu dekat di hatinya kerana beliau merupakan generasi kelima saudagar dermawan Syed Omar Ali Aljunied dari Tarim, sebuah kota di Lembah Hadhramaut, Yaman, yang mengasaskan masjid itu.



Bermula sebagai surau



Ia awalnya dibina sebagai surau pada 1820 dengan Syed Omar mendarat di Singapura, tidak lama selepas 'Bapa Singapura Moden', Sir Stamford Raffles tiba di Kota Singa.



Salah satu kegiatan yang terpahat di ingatan Sharifah Zahra, 66 tahun, ketika Masjid Omar Kampong Melaka menjadi ruang perhimpunan keluarga Aljunied adalah 'haul' ataupun majlis kenduri dengan bacaan doa bagi memperingati mereka yang sudah tiada sepertimana yang diamalkan di Hadhramaut, Yaman.



Cebisan kenangan ini kini tidak hanya terakam di minda Sharifah Zahra yang merupakan wanita pertama dan satu-satunya wanita dalam Lembaga Pengurusan Masjid di Masjid Omar Kampong Melaka sejak 2019.



Beliau antara yang gigih mengusahakan untuk menyatukan maklumat tentang masjid ini serta mendokumentasikan sudut pandangan individu yang bertungkus-lumus membangun dan menjayakan kegiatannya dalam sebuah buku bagi meraikan dua abad masjid pertama dan tertua di Singapura ini.



Buku setebal 267 halaman itu, A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka, 1820-2020 and Beyond, dilancarkan Presiden Halimah Yacob baru-baru ini.



Sharifah Zahra bertindak selaku editor buku itu bersama Dr Syed Abdullah Abdul Rahman Aljunid.



Pemimpin masyarakat, Haji Wan Hussin Zoohri, Haji Yusoff Ali dan Encik Fadzil Abdul Rahman merupakan penasihat buku ini.



"Sejak sekian lama, sebagai keturunannya, saya ingin menulis tentang pengasas masjid ini, Syed Omar Aljunied.



"Apabila Masjid Omar Kampong Melaka merancang meraikan ulang tahun ke-200 pada 2020, kami mengambil peluang menghasilkan buku ini yang meliputi sejarah masjid serta keluarga Syed Omar Aljunied.



"Sewaktu saya membesar, tidak banyak minat mengetahui tentang perjuangan dan jasanya.



"Bagaimanapun, apabila saya mula mengkaji maklumat bagi satu pameran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), bertambah minat untuk tahu lebih tentang beliau dan masjid yang dibangunkan," ujarnya.



Kerana kesibukan membangun kerjaya hampir 40 tahun di perpustkaan dan mengurus rumah tangga, Sharifah Zahra tidak banyak masa untuk aktif di masjid ini.



Sentuhan kaum Hawa



Beliau menerima undangan menyertai Lembaga Pengurusan Masjid itu setelah sepupu bapanya, Syed Abdul Rahman dan Syed Alwi, yang mewakili pemegang amanah keluarga Aljunied mengundangnya agar menyertai lembaga berkenaan tiga tahun lalu.



"Saya gembira berkhidmat bagi masjid ini. Kadangkala sentuhan wanita itu perlu. Lelaki mungkin tak perasan perkara yang mereka anggap remeh. Sebagai contoh papan notis berhabuk mahupun jika rekaan satu struktur pemasangan itu sesuai mahupun apa yang nak dihidangkan dalam majlis tertentu dan perlukah kita berikan cendera hati.



"Kaum Adam mungkin memerlukan bantuan dalam soal keperluan jemaah wanita seperti bagaimana ingin menubuhkan kumpulan wanita atau kegiatan apa yang dapat menarik perhatian mereka," katanya lagi.



Harapan masjid tarik generasi muda



Beliau mengharapkan Masjid Omar Kampong Melaka dapat terus menjadi tumpuan bagi jemaah mendapatkan ketenangan di sebalik hiruk pikuk kehidupan kota kosmopolitan yang serba sibuk.



"Saya mengharapkan masjid ini juga dapat membangun kerjasama dengan golongan belia sepertimana yang terjalin dengan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.



"Pelajar madrasah terlibat dalam kegiatan masjid termasuk yang melibatkan penerima zakat yang menetap di flat sewa sekitar Jalan Kukoh," kongsinya.



Banyak cabaran yang dihadapi dalam mengekalkan masjid ini agar terus bertahan hingga ke hari ini.



Cabaran pertahan masjid hingga hari ini



Dalam buku yang diterbitkan, mantan Setiausaha Jawatankuasa Masjid di Masjid Omar Kampong Melaka, Encik Abu Bakar Abdul Rahman, yang menjadi penolong setiausaha masjid berkenaan seawal usia 18 tahun, mengingati detik beliau menemani Syed Abdul Rahman untuk bertemu peguam pemegang amanah pada 1978.



"Sebagai pemegang amanah, beliau ingin melihat bagaimana kita boleh merayu agar masjid ini dikekalkan. Kami melihat sekeliling kami banyak bangunan yang dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baru.



"Tiada notis rasmi pemerintah tetapi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memberitahu kami bahawa masjid ini boleh mengalami nasib yang sama.



"Dengan bantuan peguam Encik Kamil Suhaimi, kami merayu kepada Majlis Tertinggi Dunia bagi Masjid yang berpangkalan di Makkah. Mereka (yang berperanan menyediakan sumber dan perlindungan buat masjid sedunia) menasihati kami bagaimana untuk teruskan kes ini. Kami juga mendapatkan ratusan tanda tangan jemaah untuk mengemukakan petisyen kepada pemerintah," ceritanya.



Hasil usaha gigih meyakinkan pemerintah masjid ini mempunyai dana secukupnya untuk menyokong operasi masjid, pada September 1979, mereka menerima panggilan menggembirakan yang memaklumkan Masjid Omar Kampong Melaka akan dikekalkan.



Masjid rasmi sebagai tapak bersejarah



Pada 2000, masjid ini juga diisytiharkan sebagai tapak bersejarah oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Abdullah Tarmugi, diundang sebagai tetamu terhormat.



Kekal istimewa walau berubah



Mantan Anggota Parlimen, Encik Yatiman Yusof, yang mengingati masjid ini sebagai tempat beliau mula berterawih pada usia empat tahun, gembira masjid ini tidak dirobohkan meskipun tiada lagi kolam dan ruang terbuka berpasir yang beliau ingati.



"Masjid ini bertahan meski diuji masa. Ia tidak harus dirobohkan dan jika ada rancangan menaiktarafkannya, kita harus memelihara identiti Kampong Melaka ini. Sejarah Masjid Omar sangat istimewa," jelasnya.




► Buku A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka, 1820-2020 and Beyond dijual di Masjid Omar Kampong Melaka dan Wardah Books dengan harga $60.




Trivia



● Apabila mula dibina, masjid ini tidak mempunyai menara. Menara berkenaan hanya dibangunkan pada 1985 menerusi satu usaha baik pulih masjid tatkala institusi ini berusia 160 tahun.



● Terdapat keunikan dalam reka bentuk tiang yang menghiasi balkoni sekeliling masjid. Tiang putih berbentuk bulat itu datang berpasangan.



● Dewan solat utama masjid ini juga unik. Wujud tiang panjang merentasi dewan yang diperbuat daripada kayu cengal hitam.



● Di satu sudut masjid ini, terdapat kubur pengasas Masjid Omar Kampong Melaka, Syed Omar Aljunied, bersama keturunannya yang lain.



Beberapa batu nisan lama dengan reka bentuk serupa persis batu nisan yang diperbuat daripada batu bata lumpur di Hadhramaut, Yaman, turut ditemui di sini.



● Masjid Omar Kampong Melaka memberi tumpuan pada pengajaran kitab suci Al-Quran. Kelas buat kanak-kanak dan orang dewasa diadakan pada hujung minggu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >