Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Cerpen

Mencari Bidadari

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Entah berapa lama aku terlena di situ. Tertidur dalam kereta, di pinggiran jalan yang sepi yang bercahayakan lampu jalan yang samar-samar.

Hanya bunyi ketukan dan suara salaman lewat jendela kereta yang sepertiga terbuka kemudiannya membangunkanku. Kugosok mata dalam keadaan terpinga-pinga.

“Syukurlah. Tuan cuma tertidur,” kudengar suara dari luar. “Tapi, mengapa tidur dalam kereta di tempat sepi begini?”

Itu suara perempuan. Lembut. Kulihat dia mengisyaratkanku membuka pintu kereta. Kupatuhi perintahnya. Dalam sinar lampu jalan yang sedikit itu masih dapat kulihat wajahnya. Rasanya seperti kukenal. Dia jelita, berbaju putih dengan bunga kebiruan. Aku kaget. Betapa dia sama dengan perempuan yang kutemui dalam tidurku tadi.

“Puan bukan bidadari?” tanyaku sambil membuka pintu kereta.

Dia tersenyum. Ah! Senyumnya persis senyuman sang bidadari tadi. Terbit semacam perasaan di hatiku. Perempuan itu menyedari betapa terkesimanya aku.

“Bukan, saya bukan bidadari. Saya terlihat kereta tuan berhenti di pinggir jalan ini. Saya syak ada sesuatu yang tak kena. Saya berhenti dan datang melihat dari dekat.”

Benar, dia mengesyaki sesuatu. Sebaik pintu keretaku terbuka, perempuan itu memegang dahiku, kemudian leherku. Entah mengapa, secara spontan aku memegang tangannya. Segera pula kulepaskan.

“Suhu badan tuan panas. Tuan demam,” katanya cemas. “Bagaimana jadi begini? Tuan mahu ke mana?”

Aku benar-benar sedang keletihan. Separuh mengantuk pula. Kepalaku masih belum mantap sepenuhnya. Perempuan itu terus menunggu jawapanku.

“Jadi puan bukan bidadari? Dan pertemuan kita ini benar, bukan khayalan.”

“Saya orang biasa,” balasnya spontan. “Tuan sudah pegang tangan saya. Saya orang biasa, bukan bidadari. Bidadari cuma ada di syurga.”

Kata-kata tegasnya itu tambah menyedarkanku. Ada rasa kesal di hati. Malu pun ada.

“Nama saya Teja. Saya orang tempatan. Rumah saya sekitar tiga kilometer dari tempat tuan berhenti ini.”

Kata-katanya masih bersulam senyum. Pastinya dia mahu lebih meyakinkanku bahawa pertemuan yang sedang berlaku itu benar. Satu realiti, bukan ilusi.

“Saya dalam perjalanan jauh. Dari Singapura,” balasku sambil merenung wajahnya yang jelas kelihatan tenang.

“Saya benar-benar letih. Dan badan saya tiba-tiba panas. Hari semakin gelap. Saya takut tertidur, lalu berhenti di tempat ini sebentar untuk rehat dan pulihkan kesegaran. Tapi, saya tertidur pula.”

Kuperhatikan Teja mendengarnya penuh teliti.

“Saya mahu ke Kuantan. Kerana sudah malam, di bandar besar itu lebih mudah dapatkan hotel. Laluan ini menuju ke Kuantan kan?”

Kali ini Teja menguntum senyum.

“Bukan,” balasnya lembut. “Tuan tersasar, tersalah masuk bukan ke laluan Kuantan. Laluan ini bertentangan arah dengan bandar itu. Laluan ini akan membawa tuan ke banyak perkampungan kecil di kaki gunung.”

Aku terdiam. Rupa-rupanya aku telah tersalah pilih laluan. Aku tersilap membaca petunjuk arah.

“Saya tak fikir selamat untuk tuan berpatah balik ke Kuantan sekarang. Tuan mungkin akan tersasar lagi kerana tidak biasa di tempat ini. Pun, sama bahayanya jika tuan terus tinggal sendirian di tempat terpencil ini.”

Perempuan itu menunggu reaksiku. Dan aku mula terasa kehilangan punca.

“Tuan juga demam. Tuan tidak seharusnya meneruskan perjalanan panjang ini buat sementara,” katanya minta kupertimbangkan. “Saya cadangkan tuan berehat saja malam ini di kediaman saya. Rumah saya tidak jauh dari sini. Esok saja tuan boleh ke Kuantan.”

Apakah yang boleh kujawab selain daripada diam orang yang sedang separuh keliru.

“Lebih selesa tuan berpindah ke kereta saya. Kunci dan tinggalkan saja kereta tuan di sini. Nanti saya uruskan dengan kenalan untuk membawanya ke rumah. Tak perlu bimbang. Laluan ini hanya banyak dipakai penduduk di perkampungan di dalam. Kami hampir kenal semuanya. Selamat. Di hujung jalan ini kaki gunung, tiada jalan keluar ke mana-mana.”

Tiada apa yang dapat kubantah dari percakapan Teja yang lancar dan meyakinkan itu.

“Dia bukan bidadari, tetapi perempuan biasa yang baik,” bisik hati kecilku ketika bersetuju berpindah ke keretanya berbekalkan sebuah beg kecil berisi pakaian.

Dan kereta itu bergerak meninggalkan tempat itu.

Sekitar sepuluh minit dari laluan utama itu kereta kami membelok ke laluan lebih kecil, melintasi beberapa rumah kampung, melalui kawasan belukar dan hutan kecil, akhirnya sampai ke sebuah pekarangan rumah.

Entah mengapa tiba-tiba aku terasa ada sedikit keganjilan di hati. Terasa aku pernah menyusur laluan itu. Beberapa kali kuusap kelopak mataku. Mahu kupastikan aku terus berada dalam keadaan jaga. Aku tidak bermimpi. Sesekali kutoleh pemandu di sebelah. Walaupun kegelapan malam tidak menampakkan wajahnya dengan jelas, gaya dia memandu meyakinkanku dia menguasai perjalanan itu.

Teja memparkir keretanya 20 meter dari sebuah rumah bersaiz sederhana. Ketika sampai, kedengaran bunyi guruh dan kelihatan kilauan petir. Perempuan itu segera membantuku melangkah ke pintu masuk rumah. Aku dibawanya langsung ke sebuah kamar yang tersedia sebuah katil bujang dan sebuah almari kecil. Memang cekap dan pantas perempuan yang baru kutemu itu mengurus kehadiranku di rumahnya.

Di luar hujan mula turun. Teja cepat menutup daun pintu.

“Badan tuan panas. Tuan kena rehat. Nanti saya bawakan ubat yang biasa kami sediakan daripada ramuan asli bagi meredakan demam.”

Dia meninggalkan kamarku. Aku menukar pakaian dari bekalan yang kubawa dalam beg tadi.

Teja datang kembali menatang dulang berisi dua gelas minuman.

“Tinggal sendirian di sini?” aku bertanya ketika menyedari tiada sesiapa lain menyambut kedatangan kami.

Mengerti maksud pertanyaaanku, Teja mengangguk perlahan. Air mukanya terus tenang, bersahaja. Kemudian dia pergi.

Aku berbaring. Kesan minuman yang disediakan Teja membantu meredakan diriku. Cuma mataku sukar untuk lelap.

Bunyi hujan di luar kedengarannya kian reda. Aku masih tidak tidur. Bagiku, itu memang hal yang biasa, sukar melelap mata di tempat baharu.

Keadaan semakin tenang. Bunyi hujan juga semakin menghilang. Berganti pula bunyi kocakan air. Aku pasti itu bukan bunyi titis-titis hujan. Kupastikan pendengaranku tidak silap.

Perlahan-lahan aku bangkit dari pembaringan. Bilik itu gelap dengan cahaya sekadar yang datang dari luar. Aku bangun menuju daun pintu kamar menuju ke pintu masuk rumah. Aku tidak akan melangkah ke belakang agar tidak mengganggu Teja yang aku yakin sedang tidur di kamarnya. Perlahan-lahan kubuka daun pintu. Kupandang ke luar.

Aku terkejut. Benar-benar terkejut.

Di hadapanku sekitar jarak 50 meter, kulihat sebuah tasik. Bunyi kocakan air di tasik itu yang rupa-rupanya kudengar dari dalam tadi. Mataku berpindah ke bahagian kiri rumah. Kulihat sebuah kereta di parkir di situ. Tentu kereta yang dipandu Teja tadi. Di sekitarnya dalam keadaan cahaya berbalam-balam aku nampak beberapa pepohon.

Tempat itu bukan asing bagiku. Nuraniku berbisik. Aku pernah berada di situ. Datang keganjilan di hatiku. Kesepian suasana mempercepat kembalinya kenangan satu masa dahulu.

Tetiba aku dikejutkan bunyi seperti pijakan ranting-ranting yang jatuh dipukul hujan dan angin. Kutumpukan perhatian dan pendengaranku. Datangnya dari tempat bersebelahan sebuah pangkin ditepi tasik beberapa meter jarak dari kereta.

“Teja,” kuteriak perlahan.

Hatiku bertanya mengapa dia di situ. Bukankah dia sepatutnya berada di kamar. Sedang tidur. Mengapa dia di luar dalam suasana sejuk begitu. Mungkin dia datang mengambil barang yang tertinggal di kereta. Tapi mengapa tidak sahaja menunggu esok!

Tiada jawapan. Tiada suara.

Kupanggil lagi namanya. Sedikit kuat. Masih diam. Aku jadi cemas. Perlahan-lahan kuturun dari tangga rumah melangkah perlahan menuju ke arah sosok yang kupercaya Teja.

Ketika mendekatinya aku terkejut besar. Sosok itu bukan Teja. Itu Tijah. Kupasti dia itu Tijah. Kukenal benar dia. Walaupun tubuhnya di gelap malam itu sukar dilihat dan raut mukanya hanya kelihatan samar-samar, aku cukup pasti dia Tijah.

Betapa tidak! Dia punya tarikan yang menambat hatiku. Walaupun baru berkenalan, perhubungan kami cukup mesra

Aku cuba mendekati sosok itu. Mahu kupastikan aku tidak bermimpi.

Kudengar suara tangisan. Dia memalingkan pandangannya. Mengadap ke tasik. Dia melangkah ke arah pangkin. Dari situ, perlahan-lahan dia menghilang. Aku terpaku tidak dapat berbuat apa-apa.

Bunyi kocakan air yang kuat menyedarkanku. Benar-benar memeranjatkanku.

Memang itu Tijah, perempuan bersuara sayu ketika kuminta membaca bait-bait puisiku.

Di dalam tasik itulah dia menghilang lebih 50 tahun lalu. Yang kuingat dia dirundung rasa terlalu kecewa. Sebagai satu-satunya anak perempuan, ibu tuanya enggan berpisahan. Apa lagi pergi ke selatan. Hubungan kami perlu terputus di situ.

Kesalku bukan kepalang gagal menyelamatkannya ketika dia mula tenggelam. Sejak itu tiada sesiapa pun dapat mengesan diri atau jasadnya.

Aku gelabah. Kusedari di mana diriku sekarang. Kulihat sekeliling, ke bangunan rumah itu. Kupandang tasik. Kupandang pangkin. Tidak bersalahan. Itulah tempat aku dan Tijah berehat ketika datang menziarahi orang tuanya dahulu.

Setelah lima tahun berlalu, aku cuba kembali menjejaknya. Aku membuat perjalanan jauh kembali mencari bidadari.

Aku terkejut. Siapa pula Teja yang membawaku kembali ke tempat itu?

Segera aku kembali ke kereta yang sedia terparkir. Ganjil. Itu keretaku yang sepatutnya ditinggalkan sebentar di tepi jalan, bukan kereta yang dipandu Teja!

Aku kembali ke rumah, masuk mencari Teja. Dia tidak ada di situ. Aku kebingungan.

Bidadari yang kucari sudah ditemui. Tetapi dalam sosok yang bukan aku maksudkan. Mungkin Teja? Mungkin Tijah? Mungkin kededuanya sama!

Hari sudah semakin siang. Aku harus segera meninggalkan tempat itu.

BIODATA PENULIS

Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara.

Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah di pelbagai peringkat dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >