DILANCARKAN secara rasmi pada 25 Julai 1987, Masjid Darul Makmur merupakan tempat tumpuan yang memenuhi keperluan ibadah penduduk Islam di Yishun dan kawasan yang berdekatannya.
Bagaimanapun, setelah 36 tahun beroperasi, masjid itu menutup pintunya kepada orang ramai baru-baru ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja peningkatan berskala besar.
Ia mengadakan solat Aidilfitri yang terakhir pada 22 April lalu sebelum masjid itu ditutup sehingga penghujung 2025 bagi tempoh peningkatan tersebut.
Sepanjang hampir empat dekad, masjid di Yishun Avenue 2 itu telah menganjurkan pelbagai kegiatan dan program rohani dan umum untuk mendekati masyarakat.
Antaranya, masjid itu mengadakan pengagihan bubur kepada penduduk secara percuma di lima kawasan kejiranan di Yishun selain daripada di masjid sahaja sempena Ramadan - satu usaha yang dijalankan sejak 2014 untuk menghubungkan masjid dengan kawasan kejiranan di sekeliling Yishun.
Apabila siap kelak, masjid yang dipertingkat itu akan dapat menampung lebih ramai jemaah, daripada 2,500 orang kepada 4,100 orang.
Selain itu, satu lif baru akan disediakan bagi memudahkan jemaah bergerak dari aras satu ke aras tiga, memandangkan sekitar separuh jemaah masjid itu adalah warga emas.
Namun, masjid itu masih memerlukan $7 juta - daripada jumlah keseluruhan kos sebanyak $15 juta - untuk menampung kos projek peningkatan.
Dalam laporan sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata pejabat masjid yang lebih kecil akan terus dibuka di kawasan masjid bagi tujuan menerima derma selain menjadi pusat bantuan kepada penduduk yang memerlukan sepanjang projek peningkatan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg