Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Mufti: Usaha Jawatankuasa Fatwa perkasa masyarakat

Pendekatan dapat persiap umat Islam setempat agar nilai sendiri keadaan mereka dan fikirkan jawapan atau panduan bertepatan situasi sendiri
Oct 24, 2021 | 05:30 AM





JAWATANKUASA fatwa di Singapura mengambil pendekatan mengupayakan masyarakat dalam usaha memberi panduan kepada penduduk Islam setempat.



Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata pendekatan ini dapat mempersiap masyarakat dalam menilai sendiri keadaan mereka dengan ikhlas dan berhati-hati agar dapat memikirkan jawapan atau panduan yang bertepatan dengan situasi masing-masing.



Ini kerana setiap individu akan menghadapi situasi dan cabaran berbeza meskipun isu yang dihadapinya serupa dengan isu yang dihadapi orang lain.



Ia menjadi semakin penting sedang masyarakat terus menghadapi isu kian rumit yang mewujudkan pelbagai situasi dan oleh itu memerlukan pertimbangan berbeza.



PENDEKATAN MENGUPAYA MASYARAKAT



Namun, Dr Nazirudin berkata masyarakat juga perlu berupaya dan yakin dalam membuat keputusan bersesuaian dengan keadaan mereka.



Ini didasari ilmu, prinsip, nilai dan nas agama yang ingin dan perlu dibekalkan oleh Jawatankuasa Fatwa.



"Saya harap ini tidak disalah erti dan bukan tujuan Jawatankuasa Fatwa untuk membiarkan masyarakat menangani isu yang mereka hadapi sendiri. Dan saya juga bukan mengatakan terpulang kepada mereka kalau mereka nak buat keputusan sembarangan.



"Apa pun keputusan perlu didasari dengan segala dasar yang telah disebutkan tetapi pada masa yang sama, ia meraikan situasi individu itu sendiri dan diharapkan dengan cara demikian, mereka dapat membuat keputusan yang baik.



"Kemudian bila masyarakat kita dapat bergerak ke arah itu, kita harap kita dapat hidup dengan menghormati keputusan masing-masing sepenuhnya, bukan kita menghukum atau menghakimi keputusan yang mereka ambil," katanya.



Dr Nazirudin turut menukil satu hadis yang bermakna "pada akhirnya, tanyalah diri kamu sendiri walaupun kamu telah bertanya dengan orang dan mereka telah memberikan panduan kepada kamu".



"Kalau kita tak faham dan tak jelas, kita perlu bertanya dan di situ fatwa akan memberikan panduan tapi akhirnya, keputusan yang diambil itu adalah keputusan peribadi... kerana yang benar-benar memahami (situasi yang dihadapi itu) adalah diri sendiri," ujarnya.



PROSES BANGUN FATWA PANJANG, MENYELURUH



Namun, ini berbeza bagi situasi yang melibatkan seluruh masyarakat seperti pandemik Covid-19 sekarang, dengan langkah tertentu perlu diambil pemimpin untuk memberi bimbingan agama kepada masyarakat demi memelihara kemaslahatan mereka.



Usaha ini melibatkan proses yang panjang dan menyeluruh, untuk memahami nas dan dalil agama serta situasi dan konteks yang dihadapi oleh masyarakat yang menghadapi cabaran berkenaan, kata Dr Nazirudin.



"Institusi fatwa ini perlu menggabungkan antara memahami nas agama dengan memahami situasi.



"Kalau kita hanya faham satu saja tanpa yang lain, kita tak dapat memberikan panduan yang baik... dan ia boleh membawa bahaya kerana kita memberi pandangan dalam bentuk panduan... tanpa pemahaman yang menyeluruh," ujar beliau.



Tambahnya, proses ini juga menggabungkan ramai asatizah, pemimpin agama dan cendekiawan Muslim di Singapura serta pakar dalam isu yang dihadapi.



Dalam isu pandemik dan menguruskan kesihatan awam misalnya, Jawatankuasa Fatwa merujuk kepada doktor, pakar penyakit berjangkit dan pihak Kementerian Kesihatan (MOH) supaya mendapat gambaran menyeluruh.



"Kita menggandingkan pemahaman itu dengan pemahaman nas agama dan kemudian kita membuat penilaian yang menyeluruh... atau pertimbangan yang mencari keseimbangan tepat untuk mentafsirkan nas agama dalam situasi yang kita hadapi," ujar Dr Nazirudin.



Selain itu, mereka turut mengambil langkah menggambarkan kesan dalam jangka masa pendek dan panjang bagi sesuatu hukum yang ingin dikeluarkan.



Selepas fatwa itu dibangunkan sebagai panduan bagi masyarakat, panduan dan hukum itu perlu disampaikan kepada masyarakat dengan cara ia dapat difahami dengan baik dan dapat diterapkan dengan baik.



Ini memerlukan pendapat dan pandangan asatizah yang mendidik masyarakat untuk antara lain sama-sama berfikir apakah mesej yang perlu ditekankan dan diperjelas agar masyarakat dapat menerimanya dengan baik.



Jawatankuasa Fatwa juga mempunyai dua jenis keanggotaan yang sama-sama bergerak dalam memikirkan isu-isu yang dihadapi, iaitu keanggotaan penuh yang terdiri daripada lima orang, dengan Mufti sebagai pengerusi, serta keanggotaan bersekutu yang merangkumi asatizah dan cendekiawan Islam yang menawarkan maklum balas dan perspektif bukan sahaja dari segi teori dan pengajian mereka malah pengalaman mereka dengan masyarakat.



PENUHI KEPERLUAN SEGERA



Meskipun sesetengah isu memberi Jawatankuasa Fatwa lebih ruang dan masa untuk berunding dengan lebih terperinci, Dr Nazirudin akur terdapat sesetengah isu yang memerlukan keputusan segera dibuat.



Namun dalam apa jua situasi, pemahaman nas agama dan cabaran yang dihadapi tidak boleh dikompromi dalam mengeluarkan fatwa, dengan berunding bersama pihak yang berpengalaman dan pakar.



"Apabila Covid-19 mula menular tahun lalu, bidang perubatan dan pakar pun masih belum pasti tentang banyak perkara... dan sedang mencari jawapan.



"Di situ timbul satu persoalan yang agak menarik tentang pengeluaran hukum, dengan sesetengah orang bertanggapan bahawa hukum ini... perlu dibina atas keyakinan, maknanya tak boleh ada keraguan. Ini sebenarnya satu tanggapan yang silap.



"Dalam tradisi keilmuan usul fiqah ataupun dasar pengeluaran hukum, ia boleh dibina di atas sesuatu yang disebutkan ghalabatu zan ataupun sangkaan yang berdasarkan maklumat yang sahih atau fakta terbaik yang ada... tidak sampai 100 peratus tapi sangkaan berdasarkan apa yang kita faham membawa kepada hampir pemahaman yang tepat dan kita keluarkan hukum," ujarnya.



Tahun lalu, Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan beberapa fatwa dan panduan agama sebagai respons daripada krisis Covid-19 termasuk fatwa berkaitan pencegahan Covid-19 serta fatwa berkaitan solat Jumaat semasa Covid-19.



CAPAI PERSETUJUAN BERSAMA



Dr Nazirudin berkata semua keputusan yang ingin dikeluarkan sebagai fatwa perlu mendapat persetujuan penuh Jawatankuasa Fatwa.



"Ini tidak bermakna tak ada perbezaan pandangan... tapi kita cuba mencari jalan pertengahan.



"Dan apabila kita sampaikan kepada asatizah dan masyarakat... pendekatan kita adalah untuk menjelaskan kenapa fatwa ini mengambil pendirian sedemikian.



"Alhamdulillah di Singapura kepimpinan keagamaan kita, asatizah kita yang mapan dan yang muda memahami kerumitan isu yang dihadapi dan mereka menghargai usaha untuk memastikan fatwa itu teliti dan rapi, dan mereka biasanya memberi sokongan," ujar Dr Nazirudin sambil menekankan pentingnya bimbingan yang bersatu bagi mengelak kekeliruan.



Namun sekiranya sepersetujuan tidak dapat dicapai dalam kalangan anggota Jawatankuasa Fatwa, keputusan itu tidak akan dikeluarkan dalam bentuk fatwa.



Sebaliknya dalam sesetengah situasi di mana bimbingan masih diperlukan, ia akan dikeluarkan sebagai irsyad atau panduan sahaja.



ANTARA FATWA DENGAN IRSYAD



Meskipun garis yang membezakan antara irsyad dengan fatwa itu amat halus, penilaian teliti dibuat sama ada isu tersebut memerlukan irsyad atau fatwa, yang membincangkan isu lebih kritikal dan berat bagi masyarakat.



Malah menurut Dr Nazirudin, fatwa yang sudah wujud juga boleh dikemas kini untuk disesuaikan dengan situasi sekarang dan tidak memerlukan fatwa yang baru kerana ia masih sesuai.



Namun kalau fatwa itu perlu dinilai semula kerana situasi dan hujah yang amat berbeza, maka fatwa yang baru mungkin diperlukan.



Memberi contoh, Dr Nazirudin berkata isu vaksinasi sudah pun dibincangkan dalam fatwa sebelum ini namun bagi penyakit lain.



Fatwa membolehkan vaksinasi sebagai langkah pencegahan yang boleh diambil masyarakat dan oleh kerana itu apabila isu vaksinasi bagi Covid-19 timbul, beliau berkata tidak perlu bagi fatwa yang baru.



Sebaliknya, fatwa yang membolehkan vaksinasi itu ditambah dengan irsyad yang mengambil kira situasi Covid-19 dan bentuk vaksin yang dikeluarkan.



Dalam memberi panduan sama ada menerusi irsyad mahupun fatwa, Dr Nazirudin berkata Jawatankuasa Fatwa mengambil pendekatan mengupayakan masyarakat.



Tambahnya, masyarakat perlu mempunyai keyakinan dengan keagamaan mereka sendiri agar mereka tidak sentiasa menggunakan sesuatu ajaran atau prinsip yang umum tetapi akhirnya pendekatan itu memudaratkan mereka.



"Kalau kita dapat berikan masyarakat dan individu segala alat yang mereka perlu dan di samping pendidikan yang berterusan, kami harap mereka dapat menilai dan membuat keputusan yang baik.



"Pada masa yang sama kalau masyarakat masih ada pertanyaan dan tidak jelas, kita akan terus memberikan sokongan dan panduan kepada mereka dengan sebaik mungkin.



"Tapi kita mahu sama-sama bergerak sebagai satu masyarakat yang pemahaman dan pengamalan agama kita meningkat dan akhirnya kita dapat mencapai ke tahap kegemilangan dan kejayaan yang kita inginkan bagi masyarakat dalam kehidupan sosio keagamaan kita," kata Dr Nazirudin.




RENCANA GABUNG PEMAHAMAN NAS AGAMA DAN SITUASI



"Institusi fatwa ini perlu menggabungkan antara memahami nas agama dengan memahami situasi.



Kalau kita hanya faham satu saja tanpa yang lain, kita tak dapat memberikan panduan yang baik... dan ia boleh membawa bahaya kerana kita memberi pandangan dalam bentuk panduan... tanpa pemahaman yang menyeluruh...



"Kita menggandingkan pemahaman itu dengan pemahaman nas agama dan kemudian kita membuat penilaian yang menyeluruh... atau pertimbangan yang mencari keseimbangan tepat untuk mentafsirkan nas agama dalam situasi yang kita hadapi."



MEMAHAMI KEPERLUAN SEGERA



"Di situ timbul satu persoalan yang agak menarik tentang pengeluaran hukum, dengan sesetengah orang bertanggapan bahawa hukum ini... perlu dibina atas keyakinan, maknanya tak boleh ada keraguan. Ini sebenarnya satu tanggapan yang silap.



Dalam tradisi keilmuan usul fiqah ataupun dasar pengeluaran hukum, ia boleh dibina di atas sesuatu yang disebutkan ghalabatu zan ataupun sangkaan yang berdasarkan maklumat yang sahih atau fakta terbaik yang ada... tidak sampai 100 peratus tapi sangkaan berdasarkan apa yang kita faham membawa kepada hampir pemahaman yang tepat dan kita keluarkan hukum."




"Saya harap ini tidak disalah erti dan bukan tujuan Jawatankuasa Fatwa untuk membiarkan masyarakat menangani isu yang mereka hadapi sendiri. Dan saya juga bukan mengatakan terpulang kepada mereka kalau mereka nak buat keputusan sembarangan.

Apa pun keputusan perlu didasari dengan segala dasar yang telah disebutkan tetapi pada masa yang sama, ia meraikan situasi individu itu sendiri dan diharapkan dengan cara demikian, mereka dapat membuat keputusan yang baik.

Kemudian bila masyarakat kita dapat bergerak ke arah itu, kita harap kita dapat hidup dengan menghormati keputusan masing-masing sepenuhnya, bukan kita menghukum atau menghakimi keputusan yang mereka ambil."

- Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >