“Kalau hidup hanya sekadar hidup, kera di rimba juga hidup. Kalau kerja hanya sekadar kerja, kerbau di sawah juga kerja”.
Ini adalah antara kata-kata Hamka, atau Buya Haji Abdul Malik Karim Amrullah, seorang ulama Nusantara yang bermakna dan terkesan.
Kebelakangan ini saya banyak menelaah semula buku karya ulama Nusantara pujangga seperti Hamka dan Pak Natsir sebagai koleksi bahan bacaan, juga menonton filem ‘Buya’ Hamka untuk memahami konteks beberapa kata-kata dan perjuangannya.
Kesegaran idea diperoleh dengan banyak membaca dan mengkaji. Membaca ibarat zat makanan bagi idea atau pemikiran.
Dalam hal ini, perlu juga memahami sudut pedagogi pendidikan yang digunakan Hamka kepada anak-anaknya dan masyarakat yang menjadi sasaran segmennya.
Misalnya, pendekatan tafsir beliau tidak serupa dengan tafsir tradisional atau pendekatan tafsir bil ma’thur. Hamka menggunakan kaedah pendidikan kritis sosial atau dikenali tafsir jenis genre bil ‘ilmi atau al-ra’yi.
Ia bukan bermakna beliau menggunakan akal secara longgar, tetapi mengajar orang menggunakan fikiran dalam beragama.
Ada orang beragama tetapi kerana proses berfikirnya mendak, agama baginya adalah seperti orang yang ada agama tetapi tidak punya Tuhan – istilah yang digunakan oleh buku Ustaz Hasrizal b Abdul Jamil (2023).
Melihat banyak karya yang beliau hasilkan, Hamka adalah seorang multi-talented atau pelbagai bakat – daripada novelis yang layak bagi orang jenis berfikiran intuitif, kepada karya berbentuk analisis sosial bagi orang jenis Thinker atau pemikir, kepada karya berbentuk Reflective Spiritual (refleksi rohani) atau kini disebut sebagai karya jenis ‘healing’ (terapi kejiwaan).
Antara kata-kata Hamka yang menjadi sumber penulisan saya kali ini adalah tentang Muharam dan kaitannya dengan gesaan membangun dan daya modal insan manusia seutuhnya; mengupas sudut pembangunan sumber daya manusia daripada pendekatan ala hukum atau spiritual.
Hamka banyak menggunakan kaedah dakwah daripada kaedah hukum dalam kata-katanya, ketika beliau baru menerajui akhbar Panji Masyarakat di Sumatera Utara – media yang merdeka dan membawa pada pengembangan pemikiran progresif (ijtihadi) dan prokemerdekaan Indonesia.
Membangun modal manusia berfikir dan berdaya maju adalah prasyarat kepada negara, serupa dengan ajakan majalah Al-Imam di Singapura suatu ketika dahulu oleh Sheikh Mohamad Salaim al-Khalali, Sheikh Syed Al Hadi, Sheikh Abbas Taha dan pendukung-pendukung prokemerdekaan Tanah Melayu untuk bebas daripada penjajah Inggeris.
Jika dikaitkan dengan awal Hijrah atau bulan pertama Muharam, model pembangunan modal manusia itu merupakan antara tema utama sesuai dengan fasa dakwah Rasulullah saw di Makkah.
Walaupun ada yang menganjurkan Hijrah Walk, hendaknya ia bukan sekadar sudut fizikal, tetapi mengajak minda merenung dan berfikir secara positif dalam membangun masyarakat.
Dalam surah At-Taubah:36, Allah berfirman: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah menganiaya diri dalam bulan yang empat itu, dan perangilah Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahwasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
Ayat ini membicarakan tentang Muharam dan bulan-bulan yang diharamkan berperang dan digantikan dengan melakukan banyak kerja pembaikan masyarakat ataupun dakwah (mengajak orang pada Islam) dan islah (pembaikan masyarakat).
Bulan yang diharamkan berperang ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan Rejab, seperti dijelaskan hadis: “Zaman berputar seperti hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu terdiri dari 12 bulan, di antaranya empat bulan Haram, tiga bulan berurutan, Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharam. Adapun Rejab yang juga merupakan bulannya kaum Mudhr, berada di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (HR Bukhari Muslim).
Kata “Muharam” dalam bahasa Arab sendiri membawa maksud “yang dilarang”. Dalam istilah ketenteraan ia bermaksud “stand down” atau kelonggaran berehat bagi unit pasukan tentera, namun tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga. Dalam istilah sumber manusia, ia bermaksud fasa memperbanyak kegiatan – kebajikan dalam membaiki mutu kerja, khususnya dalam latihan sumber manusia, dan elakkan daripada konflik atau permusuhan dalam organisasi.
Sebaliknya, fokuskan pada dakwah dan islah. Perang atau konflik tidak dapat membangun kemahiran sumber manusia. Dalam masa amanlah pekerjaan bina semula sumber manusia dapat dilakukan.
Pada zaman sebelum wahyu diturunkan, “perang” adalah jalan menyelesaikan konflik bagi orang-orang Arab di Jazirah Arab; berlainan daripada zaman selepas Perang Dunia Kedua dengan rundingan secara aman adalah jalan bagi menyelesaikan konflik.
Dari sudut sejarah perundangan Islam, sesuatu yang telah menjadi budaya dalam masyarakat perlu dilakukan secara beransur-ansur atau tadarruj.
Maka empat bulan berehat lama-kelamaan menjadi budaya dalam masyarakat, dengan orang berasa berperang adalah kerja sia-sia dalam budaya hidup bermasyarakat masa kini.
Bahkan krisis atau konflik masa kini perlu diamankan secara berhemah mengikut norma-norma hidup masyarakat sivil, madani atau bertamadun. Pendekatan jalan sederhana atau ‘wasotiyah’ yang senantiasa didahulukan dalam sistem masyarakat masa kini.
Antara perkara yang baik dilakukan pada Muharam ialah berpuasa sunat Asyura (10 Muharam) dan Tasu’a (9 Muharam). Hadis menyatakan: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam, dan sebaik-baik solat setelah solat fardu adalah solat malam.” (HR. Muslim).
Puasa, dari sudut akhlak tasawufnya, dapat menekan keinginan nafsu ammarah (keinginan buruk) kepada nafsu lawamah (jiwa penyesalan melakukan dosa) dan kepada keinginan atau nafsu mutma’innah (jiwa tenang).
Konflik atau berperang adalah satu budaya buruk dan perlu digantikan dengan banyak melakukan kerja kebaikan, sama ada kerja kedermawanan atau membangun kemahiran yang dapat meningkatkan daya maju dalam pekerjaan, daya saing atau meritokrasi.
Puasa sunat yang kita lakukan bukan sahaja dapat meningkatkan jiwa penyesalan, bahkan terus bersemangat melakukan kebaikan yang lebih bermakna dan bermanfaat kepada lingkungan dan orang lain.
Hijrah daripada sudut dakwah harakiyah merupakan usaha Rasulullah saw dalam mencari asas pangkalan dakwah yang stabil dan strategik untuk pembinaan kader manusia adunan daripada kededua Ansar dan Muhajirin. Perpaduan amat penting bagi kestabilan sebuah negara baru Madinah; beralih daripada hidup setakat untuk hidup kepada hidup yang lebih bermanfaat dan membawa makna.
Dengan itu, kata-kata hikmah Hamka “Kalau hidup hanya sekadar hidup, kera di rimba juga hidup. Kalau kerja hanya sekadar kerja, kerbau di sawah juga kerja” mengajak manusia, terutama Muslimin di Singapura, agar tidak bersikap complacent atau sekadar bekerja tetapi tidak membawa kepada anjakan semangat hidup untuk senantiasa memperbaiki diri, menyerlahkan semula potensi agar ia membawa makna kepada diri sendiri dan lingkungan kemampanan alam sekitar dan kehidupan orang lain.
Jika dikupas erti kemerdekaan dalam Islam, ia bermaksud bebas daripada hidup dengan minda tertawan (negative mindset) kepada hidup dengan berfikiran positif.
Maka usah hidup seperti kera atau kerbau tanpa tahu erti bekerja selain hanya mengikut naluri, sebaliknya kepada hidup dan bekerja seperti manusia bermaruah yang membudayakan nilai kerja 5K; kerja keras, kerja cerdas, kerja ikhlas, kerja tuntas dan kerja bermutu.
Jika budaya kerja bermutu dan berwibawa dapat dihidupkan, kita bukan sahaja lulus semangat Muharam – daripada ibadah pasif kepada ibadah progresif dengan sumber modal insan seutuhnya; membangun budaya kerja dan menjadikan semangat amal soleh dan al-falah dalam mencari reda Tuhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg