Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mula sebagai bilal pada usia 15 tahun sebelum jadi pegawai tetap ikut pesan arwah ibu

Oct 22, 2021 | 5:30 AM
962b8ed4-4791-422e-a0ca-74a7b1747163
-

SEJAK usia remaja 15 tahun, pegawai dakwah Masjid Darussalam, Ustaz Muhammad Haziq Zainal, 22 tahun, sudah dilantik sebagai bilal di masjid itu atas dorongan daripada seorang pegawai masjid.

Lantaran itu, Ustaz Haziq sudah selesa menyalurkan tenaga di Masjid Darussalam dan menganggap masjid itu sebagai tempat untuk mengukuhkan semangat kemasyarakatan.

Namun, Ustaz Haziq terdorong untuk berkhidmat sepenuh masa dengan Masjid Darussalam selepas pemergian ibunya sekitar dua tahun lalu.

Beliau mula bertugas bersama Masjid Darussalam pada Disember 2019.

Kata Ustaz Haziq:

"Arwah ibu pernah kata dengan saya supaya saya berkhidmat di Masjid Darussalam sebab masjid ini telah memberi saya banyak peluang, antaranya dengan menggalakkan saya menjadi bilal dan kemudian imam pada usia muda.

"Saya pegang pada pesanan arwah ibu dan pada masa yang sama, saya juga telah membesar dengan Masjid Darussalam kerana kami sekeluarga selalu ke masjid ini. Maka, masjid ini agak istimewa buat saya."

Ustaz Haziq telah menerima pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan pendidikan prauniversiti di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian universiti di Mesir selama setahun, namun kembali ke tanah air tatkala ibunya sakit pada pertengahan 2019.

Selepas ibunya meninggal dunia, Ustaz Haziq, anak sulung lima beradik itu, membuat keputusan membantu bapanya dalam menjaga adik-adiknya lalu berjaya dilantik sebagai pegawai dakwah di Masjid Darussalam.

Kini, Ustaz Haziq bekerja sambil belajar bersama Universiti Antarabangsa Al-Madinah dengan sokongan Masjid Darussalam.

Sebagai salah seorang asatizah muda di Masjid Darussalam, Ustaz Haziq bersama anggota pasukannya merupakan antara tenaga utama yang membantu menghasilkan kandungan buat tayangan di dalam talian dan media sosial.

Salah satu kandungan video yang telah mendapat ratusan ribu tontonan adalah video ringkas selama sekitar dua minit, Diari Doa Darussalam, pimpinan Ustaz Haziq.

Video ringkas yang dimuat naik ke laman Facebook dan Instagram, Darussalam Mosque, ini memaparkan tazkirah dan doa-doa yang boleh diamalkan umat Islam.

Ustaz Haziq yang juga berpengetahuan dalam ilmu falak dan sedang mempelajari ilmu ini daripada beberapa pakar astronomi telah mengadakan liputan langsung cerapan dan komentari fenomena gerhana bulan pada Mei lalu dan memimpin acara untuk anggota masyarakat menyaksikan fenomena gerhana matahari 'cincin api' pada Disember 2019 di kawasan masjid.

Beliau turut berperanan membantu menganjurkan program Siri Hikmah, di mana, para asatizah bersama golongan profesional berbicara tentang topik-topik hangat dan terkini.

"Masjid Darussalam mempunyai potensi besar untuk menyajikan program-program dakwah buat masyarakat mengikut peredaran masa. Saya harap Masjid Darussalam dapat menjadi rujukan kepada generasi muda untuk mengupas persoalan yang mereka ada sekali gus menjadikan generasi muda ini pelapis kepada jemaah warga emas kami," kata Ustaz Haziq.

"Masjid Darussalam mempunyai potensi besar untuk menyajikan program-program dakwah buat masyarakat mengikut peredaran masa. Saya harap Masjid Darussalam dapat menjadi rujukan kepada generasi muda untuk mengupas persoalan yang mereka ada, sekali gus menjadikan generasi muda ini pelapis kepada jemaah warga emas kami." - Ustaz Muhammad Haziq Zainal, pegawai dakwah di Masjid Darussalam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg