SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Muslim harus jauhi sikap keakuan, jadi manfaat bagi orang lain

Muslim harus jauhi sikap keakuan, jadi manfaat bagi orang lain

Apr 13, 2022 | 5:30 AM

Muslim harus jauhi sikap keakuan, jadi manfaat bagi orang lain

Ustazah Alaniah Wahid.
Ustazah Alaniah Wahid. -

PANDEMIK Covid-19 mengajar Mukmim peri perlu bekerjasama tanpa kira bangsa dan agama serta bersatu menentangnya demi kebaikan bersama. Mentelah seorang Mukmin harus dapat memberi manfaat dan kebaikan bagi setiap insan.

Ini ditekankan Ustazah Siti Nur' Alaniah Abdul Wahid, pengurus kandungan dan program di Caliph Consultancy, dalam tazkirah Hikmah Ramadan yang disiarkan radio Warna semalam.

Program Hikmah Ramadan ini diedarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) disiarkan dalam radio Warna sepanjang Ramadan.

Beliau menasihatkan orang Islam agar menjauhi ananiyah, atau sikap keakuan yang menyebabkan seseorang hanya memikirkan kepentingan dan faedah diri sendiri, tanpa mempedulikan orang lain.

Sikap itu juga boleh membawa kepada taasub pada pendirian sendiri, ujar Ustazah Alaniah.

"Ananiyah boleh mengakibatkan seseorang hanya memikirkan kepentingan serta kemaslahatan dirinya sendiri sahaja tanpa mempedulikan orang lain.

"Bahkan, ia juga boleh membawa kepada taasub pada pendirian sendiri.

"Cuba kita renungkan apa akan berlaku sekiranya kita masing-masing mempunyai sikap sebegini ketika berlaku pandemik. Pasti keadaan akan semakin teruk dan huru-hara.

"Namun apa yang dapat kita saksikan ialah pandemik Covid-19 mengajar kita perlunya bekerjasama, tidak kira bangsa mahupun agama, dan bersatu menentangnya demi kebaikan bersama,'' ujar Ustazah Alaniah.

Sikap ananiyah, ujarnya, hanya akan memudaratkan diri sendiri dan orang di sekeliling kita, apatah lagi dalam kehidupan kita yang berjemaah.

Beliau turut menukil sebuah hadis masyhur di mana Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi orang lain." (Hadis riwayat Thabrani).

Ustazah Alaniah menjelaskan hadis itu menekankan pentingnya kita berbuat baik, menjadi orang berguna dan memberi manfaat kepada orang lain.

"Ia juga menunjukkan pejrlu kebersamaan dan juga kepekaan sosial dalam pergaulan dalam masyarakat serta mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.

"Terdapat banyak lagi ayat Al-Quran serta hadis yang menggalak kita bekerjasama memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan dan membantu mereka yang memerlukan, dan sifat tersebut adalah sifat mahmudah, atau terpuji.

"Lawan bagi sifat ini ialah sifat ananiyah, yangdigolongkan dalam kategori akhlak mazmumah, iaitu keji atau buruk,'' ujar Ustazah Alaniah.

Beliau turut memberi panduan bagi menyucikan hati daripada sifat ananiyah dan menjauhi sifat mazmumah.

Antaranya ialah dengan berzikir mengingati dan mengesakan Allah swt dengan sentiasa bertafakur dan juga bermuhasabah.

"Yang pentingnya ibadah kita ini dilakukan dengan ketulusan dan keikhlasan. Tanpa keikhlasan boleh membawa kita ke arah sifat egois dan takabur dan menjadikan manusia bersikap riak dalam beribadah.

"Marilah sama-sama kita insaf daripada sifat ananiyah dan kita terus berusaha menjadi seorang Mukmin yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain,'' ujar Ustazah Alaniah.

"Ananiyah (sikap keakuan) boleh mengakibatkan seseorang hanya memikirkan kepentingan dan faedah dirinya sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Bahkan, ia juga boleh membawa kepada taasub pada pendirian sendiri. Cuba kita renungkan apa akan berlaku sekiranya kita masing-masing mempunyai sikap sebegini ketika berlaku pandemik. Pasti keadaan akan semakin teruk dan huru-hara." - Ustazah Alaniah Wahid.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg