Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

KUNJUNGAN MUFTI KE NEW ZEALAND

Muslim New Zealand minat pelajari model Islam S'pura

Mufti sebar mesej keamanan, kongsi cara S'pura bangun asatizah, laksana ibadah dalam masyarakat berbilang kaum
Oct 13, 2022 | 05:30 AM



 



DUA minggu lalu, saya berkesempatan menemani Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam rangka lawatan beliau ke New Zealand.



Lawatan itu diadakan atas undangan Kumpulan Antara Agama Abrahamik Dunedin (DAIG) untuk menyampaikan Ceramah Tahunan bagi Keamanan di Universiti Otago.



Ini merupakan kali ke-19 ia dianjurkan.



Tahun ini tajuk yang dibentangkan ialah Mempertahankan Keamanan Beragama.



DAIG ditubuhkan di kota Dunedin di bahagian selatan New Zealand selepas peristiwa serangan pengganas di Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001, demi menggalakkan ikatan persahabatan dan sikap hormat menghormati antara satu sama lain.



Rata-rata rakyat New Zealand berpegangan sekular, dalam erti kata lain penduduknya tidak berpegang kepada mana-mana agama.



Namun, masih terdapat sebilangan kecil kumpulan yang beragama.



Sebagai contoh, umat Islam di sana dianggarkan hanya sekitar 60,000 orang - sekitar 10 peratus daripada jumlah umat Islam di Singapura.



Sungguhpun agak kecil bilangannya - sekitar 1.2 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk New Zealand - hubungan antara pemerintah dan masyarakat Islam di sana telah berkembang dan semakin baik setelah insiden berdarah di Christchurch.



LAWATAN KE MASJID AL-NOOR



Di antara sorotan lawatan kami adalah persinggahan ke Masjid Al-Noor di Christchurch, tempat berlakunya peristiwa serangan ganas pada 15 Mac 2019.



Insiden itu telah mengorbankan seramai 51 jemaah sementara 40 yang lain cedera.



Seorang lelaki yang bersenjatakan senapang AR-15 telah menembak jemaah yang berada di masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat.



Dia menembak mangsa secara rambang dan menyiarkannya di media sosial seakan permainan video dalam talian.



Menjejakkan kaki ke pintu masuk masjid tersebut sudah cukup mengingatkan saya gambaran video peristiwa berdarah itu.



Ia lebih menyentuh hati apabila sebahagian daripada mangsa yang terselamat berkongsi bagaimana kejadian itu menjejas mereka secara fizikal dan mental serta trauma serius yang mereka alami.



Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan keluarga mangsa ketika itu.



Kekal teguh, kekal bersatu hati.



Begitulah antara pesanan Mufti kepada masyarakat Islam di sana semasa berinteraksi bersama mereka.



Walaupun insiden tersebut amat menyayat hati, ia telah mempamerkan juga sikap daya tahan dan kesatuan masyarakat di sana yang amat luar biasa.



Namun, kehidupan tetap perlu diteruskan bak cogan kata dalam bahasa Maori "Kia Kaha" yang bererti kekal teguh.



Inisiatif demi inisiatif diadakan untuk memperkenalkan penduduk di sana kepada agama Islam serta kesucian dan keihsanannya.



Umpamanya, umat Islam di sana mengundang penduduk ke masjid tersebut dan memberi buku kecil yang mengandungi hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud, "sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkanlah silaturrahim.."



Mufti menasihatkan bahawa kesedihan serta kesakitan yang timbul daripada peristiwa tersebut hanya akan dapat benar-benar pulih dan diubati sekiranya kita bekerja keras dan berusaha sama membina keihsanan, kepercayaan dan cinta.



MESEJ KEAMANAN MUFTI



Sememangnya ideologi pengganasan atau ekstremisme ini merupakan satu cabaran yang amat serius.



Bahkan, peristiwa di Christchurch telah menjadi inspirasi kepada seorang remaja di Singapura untuk membuat serangan serupa di beberapa masjid di sini.



Mujur beliau telah dapat ditahan sebelum sempat menjalankan rancangannya.



Oleh itu, mesej keamanan amat penting dan telah ditekankan di dalam ucapan Mufti di Universiti Otago.



Menyentuh tentang perbezaan, Mufti berkata hari ini kita dapat lebih merasakannya terutama sekali dalam dunia yang serba digital hari ini.



Lantaran itu, kita perlu terus berusaha gigih mewujudkan perpaduan sosial supaya kita dapat terus hidup bersama secara aman.



Perbezaan, biarpun sukar dielakkan, pasti ada hikmah di sebaliknya yang mungkin belum ditemui.



Dari perspektif Islam, kata beliau, agama telah menyediakan ruang untuk menerima kerencaman dan perbezaan secara positif.



Umpamanya, kita dapat memperolehi nilai-nilai pengiktirafan, dialog dan keramahan sesama masyarakat.



Nilai-nilai sebegini dapat diperolehi seandainya kita menghayati dan mendalami lembaran-lembaran ayat suci Al-Quran itu tersendiri.



SESI DIALOG MUFTI BERSAMA MASYARAKAT NEW ZEALAND



Dalam sesi dialog dan beberapa pertemuan dengan penduduk dan pelajar Muslim di Otago, peserta melahirkan minat mahu mempelajari model Islam, cara dan pendekatan kita di Singapura.



Bahkan mereka turut melahirkan rasa kagum dengan cara Islam diamalkan sini.



Sebagai contoh kursus dan pembangunan asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), pendidikan agama aLIVE, urusan zakat dan wakaf serta urusan halal.



Ada juga sebahagian masjid di sana yang menggunakan teks khutbah Jumaat yang disiapkan Pejabat Mufti bagi penduduk di sana.



Sesi dialog tersebut turut menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat Islam dan dunia.



Berdasarkan pemerhatian saya, Muslim di New Zealand mungkin berkongsi konteks yang hampir serupa memandangkan umat Islam di New Zealand juga merupakan golongan minoriti.



Walau minoriti, ia sama sekali tidak menghalang masyarakat di sana daripada menjadi masyarakat Islam yang gemilang seperti di Singapura.



Salah satu cabaran utama bagi penduduk Islam di New Zealand adalah untuk membangun kehidupan keagamaan.



Memberikan pengamatannya, Mufti menekankan peri pentingnya membangunkan golongan agamawan yang lahir di tanah Kiwi sendiri yang memahami budaya, adat serta konteks hidup masyarakat di sana.



Seperti Singapura, yang mempunyai Identiti Muslim Singapura atau SMI, umat Islam di New Zealand mungkin perlu mengusahakan sesuatu yang serupa, yang sesuai dengan konteks mereka.



Mendengar perkongsian dan semangat umat Islam di New Zealand untuk membangun masyarakat Islam di sana membuat saya lebih bersyukur dengan kepimpinan keagamaan yang ada di Singapura.



Ini sekali gus menunjukkan peri pentingnya kepimpinan yang berkebolehan lagi berwawasan.



Saya yakin, inilah hasil tuaian oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu.



Semua ini hanya dapat dicapai apabila kita bersatu hati dengan tujuan yang sama, berjalan seiringan dan membangun tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.



Lawatan tersebut mungkin kelihatan ringkas tetapi cukup padat dengan pertemuan yang membuka ruang serta wadah berkongsi pengalaman Singapura dan mungkin juga bakat cendekiawan agama kita yang lebih memahami Islam dari lensa minoriti.



Hari ini, di ruang media sosial sedia ada, kita dapati ada yang memperlekeh atau mungkin membuat perbandingan antara cendekiawan dan pemimpin-pemimpin agama kita sedangkan di sebahagian pelusuk dunia, kepimpinan kita dinilai tinggi.



Namun bukanlah niat kami mahu mendongak tinggi tetapi untuk kita menghargai jasa mereka.



Lawatan ke New Zealand ini secara kebetulan berlangsung sejurus selepas Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang telah memberi semacam suntikan semangat untuk terus berkongsi pengalaman dan pengajaran daripada pelbagai masyarakat Islam minoriti.



Bahkan, saya yakin umat Islam Singapura boleh memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan keupayaan baru, khusus di dalam menyesuaikan kehidupan sosio-keagamaan dengan konteks masa kini.



Semoga hasil kerjasama masyarakat dan pemimpin sebegini melahirkan nikmat keamanan, kedamaian dan keharmonian sebagaimana firman Allah swt dari Surah Saba ayat 15 yang bermaksud, "bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik sedang Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Pengampun."



  • Penulis Eksekutif Kanan, Pendidikan Awam dan Penglibatan Pejabat Mufti

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >