Oleh Rahmad Sidek
(Tabik buat wira-wira waktu pandemik-endemik)
Nasi terbaki dalam hidang
sedikit lauk sedikit daging sedikit ikan
jemputlah orang sehelai sepinggang
jemputlah fakir gelandangan
jemputlah anak tanpa arah tujuan
jemputlah kutu jalanan
jemputlah yang hilang pekerjaan
jemputlah buruh tapak binaan
khusus yang serba kekurangan
Nasi terbaki dalam hidang
jemputlah pemungut barang buangan
yang mukimnya sedang meruncing
jemputlah janda keseorangan
yang kematian suami diperjuangan
jemputlah duda tanpa pengurusan
yang terputus jalinan pernikahan
jemputlah semua insan yang terkesan
dek pandemik nan berpanjangan.
Nasi terbaki dalam hidang
andai yang tidak diundang
datang bertandang
mereka jangan dihalang
bukalah ruang
buat mengalas perut jadi kenyang
dan yakinlah
Tuhan Maha Pengasih Maha Penyayang
mengganda cupak dengan gantang
Nasi terbaki dalam hidang
kekadang sitompok mengiang-ngiang
mundar mandir ke depan ke belakang
mereka jangan disisihkan
walau pun sekadar binatang
merasai lapar mencari kenyang
dan yakinlah
Tuhan Maha Memberi Maha Merahmati
Nasi terbaki dalam hidang
bersihkanlah hingga ke tulang
jangan ada yang dibuang
agar tidak terputus sambungan
tambahan rezeki Maha Dermawan
Maha Memilik kekuasaan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg