Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas dua kali Raya tersekat...

Keadaan hampir seperti sebelum Covid-19 - tanpa had pengunjung ke rumah serta lebih banyak ruang di masjid bagi solat Aidilfitri - namun ayuh terus berjaga-jaga kerana kita belum lagi dapat atasi Covid-19
Apr 24, 2022 | 5:30 AM
HAMPIR SEPERTI DULU: Bazar di Geylang Serai (gambar atas) dan Kampong Glam kembali buat kali pertama tahun ini setelah dua tahun tidak dapat diadakan dek sekatan Covid-19, salah satu penanda keadaan semakin hampir seperti sebelum Covid-19 menjelang Aidilfitri tahun ini. - Foto BM oleh LIM YAOHUI
HAMPIR SEPERTI DULU: Bazar di Geylang Serai (gambar atas) dan Kampong Glam kembali buat kali pertama tahun ini setelah dua tahun tidak dapat diadakan dek sekatan Covid-19, salah satu penanda keadaan semakin hampir seperti sebelum Covid-19 menjelang Aidilfitri tahun ini. - Foto BM oleh LIM YAOHUI -

BUAT kali pertama selepas dua tahun apabila masyarakat Islam di sini beraya secara sederhana dengan pelbagai sekatan Covid-19, Hari Raya tahun ini pastinya akan terasa berbeza dan istimewa bagi ramai Muslim setempat.

Tanpa had jumlah pengunjung ke rumah serta lebih banyak ruang disediakan di masjid bagi solat Aidilfitri, keadaannya sudah hampir seperti sebelum Covid-19.

Namun, masyarakat harus terus berjaga-jaga kerana hakikatnya, kita masih belum berjaya mengatasi Covid-19 sepenuhnya.

HARI RAYA SEDERHANA

Dua tahun lalu, masyarakat Islam Singapura menyambut ketibaan Syawal dalam suasana yang berbeza di tengah-tengah tempoh pemutus rantaian jangkitan (CB) selepas berpuasa sebulan Ramadan dengan diselimuti keadaan luar biasa.

Buat pertama kali dalam sejarah, solat Hari Raya dan laungan takbir yang lazim kedengaran di masjid setiap pagi Aidilfitri tidak kedengaran ketika itu, sebaliknya hanya bergema di rumah.

Tahun itu, semua masjid di Singapura ditutup selama lebih dua bulan dari 13 Mac 2020 untuk membendung penularan Covid-19.

Tiada juga kunjungan ke rumah orang tua tercinta serta bersalaman dan berpelukan dengan anggota keluarga dan sanak-saudara tersayang.

Tahun lalu pula, masjid di sini kembali bercahaya, dengan masyarakat Islam di sini dapat kembali menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di masjid walaupun dengan jumlah yang terhad.

Namun, kawalan Covid-19 yang diperketat pula dikuatkuasa pada hari keempat Hari Raya pada 16 Mei tahun lalu. Ini membenarkan hanya dua orang mengunjungi rumah orang lain sehari di bawah Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat), berbanding lima orang di bawah Fasa Tiga sebelum itu.

DAYA TAHAN & KERJASAMA MASYARAKAT

Semasa menghadiri majlis berbuka puasa hibrid di Masjid Al-Muttaqin baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akur bahawa tempoh sepanjang dua tahun yang lalu adalah masa yang sangat mencabar dan sukar bagi semua orang.

Namun, beliau berkata masyarakat Islam di sini memahami cabaran kesihatan awam dan menyesuaikan amalan mereka untuk mematuhi garis panduan nasional dan langkah pengurusan selamat.

"Ini menunjukkan dengan jelas daya tahan masyarakat dalam menghadapi ketidakpastian dan adalah petanda baik untuk masa depan," kata Encik Lee.

Beliau turut merakamkan penghargaannya buat masyarakat Islam setempat kerana telah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut hadir di majlis berbuka puasa itu juga berkata kerjasama merentasi pelbagai pertubuhan dan kumpulan agama amat penting untuk mengatasi cabaran yang Singapura hadapi.

"Kita tidak akan berada di mana kita berada hari ini tanpa kerjasama, sokongan dan sumbangan mereka, terutamanya semasa pandemik Covid-19," ujarnya.

HIDUP DENGAN COVID-19

Sedang Singapura bergerak ke arah menjalani kehidupan dengan Covid-19, pemerintah telah mengambil pelbagai langkah ketara termasuk melonggarkan sekatan di dalam negara mahupun rentas sempadan.

Kelmarin, pemerintah mengumumkan Singapura akan menurunkan tahap risiko penularan Covid-19 ke paras 'Kuning' selepas lebih dua tahun berada di tahap 'Jingga' atau "risiko tinggi" di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon).

Antara lain, had saiz kumpulan dan had jumlah pengunjung ke rumah akan ditiadakan manakala langkah pengurusan keselamatan Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) juga akan ditiadakan kecuali bagi keadaan tertentu mulai lusa. Penggunaan TraceTogether (TT) dan SafeEntry (SE) akan turut dihentikan.

Semua orang yang sudah divaksinasi sepenuhnya tidak lagi perlu mengambil sebarang ujian Covid-19 untuk memasuki Singapura mulai lusa.

Orang ramai juga boleh berulang-alik antara Singapura dengan Malaysia dengan menaiki bas awam dan teksi rentas sempadan mulai 1 Mei, setelah perkhidmatan itu dihentikan sejak Mac 2020.

HARI RAYA BERMAKNA, BERBEZA

Sebelum ini, sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia dibuka semula pada 1 April lalu bagi semua kategori pelawat dari Singapura dan Malaysia yang sudah divaksinasi sepenuhnya dengan menaiki sebarang bentuk pengangkutan tanpa perlu menjalani ujian mahupun kuarantin.

Ini antara lain membolehkan ramai pekerja Malaysia di sini pulang ke pangkuan keluarga mereka untuk sama-sama menyambut Ramadan, serta Syawal tidak lama lagi.

Tidak seperti tahun lalu dan tahun sebelumnya, Geylang Serai dan Kampong Glam juga kembali bersemarak dengan kemeriahan orang ramai yang sibuk berbelanja di bazar.

Masjid di sini pula ghairah menyambut lebih ramai jemaah, dengan lebih banyak ruang disediakan bagi solat tarawih sepanjang Ramadan dan jemaah juga dapat menunaikan solat dengan merapatkan saf buat kali pertama selepas Covid-19 mula menular dua tahun lalu.

Pelonggaran langkah pengurusan selamat menandakan satu langkah penting menuju ke arah kehidupan bersama Covid-19.

Namun, adalah penting kita terus berjaga-jaga selain kekal berdaya tahan dan tangkas membuat penyesuaian mengikut keperluan dan situasi, kesemuanya antara nilai yang telah dipelajari daripada pengalaman sepanjang dua tahun lalu.

Ini kerana meskipun kita sudah semakin hampir dengan garisan penamat, Covid-19 masih belum berjaya diatasi sepenuhnya.

Setiap orang harus terus memainkan peranan masing-masing dan jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya.

TERUSLAH MAIN PERANAN, LINDUNGI ORANG TERSAYANG

"Namun, adalah penting kita terus berjaga-jaga selain kekal berdaya tahan dan tangkas membuat penyesuaian mengikut keperluan dan situasi, kesemuanya antara nilai yang telah dipelajari daripada pengalaman sepanjang dua tahun lalu. Ini kerana meskipun kita sudah semakin hampir dengan garisan penamat, Covid-19 masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Setiap orang harus terus memainkan peranan masing-masing dan jangan bersikap sambil lewa tanpa menghiraukan risikonya." - Penulis.

PELONGGARAN LANGKAH COVID-19 MULAI SELASA

  1. Tiada lagi had saiz kumpulan dan had jumlah pengunjung di rumah
  2. Semua pekerja boleh kembali ke tempat kerja, pemakaian pelitup diberi fleksibiliti
  3. Tiada lagi perlu jarak selamat
  4. Had kapasiti bagi acara lebih 1,000 orang ditiadakan
  5. Langkah VDS ditiadakan kecuali di acara lebih 500 peserta pada suatu masa, kelab malam, serta restoran, kedai kopi dan pusat penjaja
  6. MOH tidak lagi keluarkan Notis Risiko Kesihatan (HRN)
  7. TraceTogether (TT) dan SafeEntry (SE) dihentikan
  8. Pengembara yang sudah mengambil vaksin penuh tidak perlu ambil apa-apa ujian untuk masuk Singapura
  9. Khidmat bas dan teksi rentas sempadan dengan Malaysia disambung pada 1 Mei
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg