Allahyarham Ustaz Embek Ali terkenal dengan usaha gigihnya mendedahkan dan membasmi ajaran sesat di Singapura. Beliau adalah penasihat dan penaung Perdaus yang dipimpinnya selama 25 tahun. BERITA HARIAN mengetengahkan latar belakang beliau serta usaha yang dilakukan sepanjang hayatnya dari kaca mata anaknya.
ATAS nasihat Kiyai Fadhlullah Suhaimi pada 1963, Allahyarham Embek Ali bersama dengan sahabat lain seperti Ustaz Idris Ahmad, Ustaz Basri Sapran, Haji Hassan Majid, Haji Abu Bakar Darwis dan lain-lain menubuhkan Pergerakan Dakwah Singapura (Perdaus) yang kemudian ditukar nama kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Dewasa Singapura.
Matlamat Perdaus ketika itu adalah untuk membantu menyelaraskan kelas-kelas pengajian Islam orang dewasa ketika itu.
Banyak kegiatannya berpusat di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah (Jalan Sultan), Madrasah Al-Khairiah (Still Road), Bukit Panjang dan beberapa tempat lain.
Sekitar tujuh halakah pengajian telah bergabung di bawah Perdaus ketika tahun penubuhan.
Allahyarham memimpin Perdaus dari 1974 hingga 1994 bermula sebagai Setiausaha Kehormat dan beberapa tahun selepas itu dilantik sebagai Presiden.
Beliau mengambil alih kepimpinan daripada Allahyarham Ustaz Idris Ahmad yang merupakan Presiden pertama Perdaus.
Mantan Presiden, Majlis Ugama Islam Singapura, Encik Maarof Salleh, pernah menyifatkan Allahyarham sebagai seorang "pendakwah yang mendahului zaman".
FAHAMAN SESAT
Beliau dikenali kerana keberanian menentang fahaman songsang dan menyeleweng daripada syariat Islam.
Antara program perintis yang berjaya Perdaus lakukan pada era 1963 hingga 1966 adalah program kursus bimbingan rumah tangga dalam menyokong keprihatinan Mahkamah Syariah ketika itu, kursus kemahiran kehidupan dan pembasmian buta huruf dalam kalangan wanita.
Beliau melepaskan jawatannya setelah berjaya menarik beberapa pemimpin baru Perdaus daripada kalangan karyawan Islam pada 1993 yang ketika itu diterajui oleh Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
KEGIATAN MURNIKAN AKIDAH
Bermula sekitar 1960-an bersama dengan seorang tuan guru, Haji Said Ibrahim, Ustaz Zakaria Wahab, Ustaz Daud Ali, Ustaz Osman Jantan dan lain-lain, Allahyarham memulakan penyiasatan melalui buku, makalah, laporan peribadi bekas murid.
Malah laporan penyiasat dengan mendapat kerjasama beberapa wartawan penyiasat Berita Harian era 1960-an dan 1970-an.
Berita Harian memainkan peranan dalam menyiarkan hasil laporan tersebut kepada masyarakat.
Antara kesesatan:
BUKU
Hasil usaha Allahyarham dalam membanteras ajaran yang menyimpang, maka lahirlah buku Noktah Hitam.
Penulisan buku itu dibuat hasil daya usaha Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang berhasrat menghasilkan buku panduan mengenai ajaran sesat bagi manfaat orang ramai.
Diharapkan daripada buku itu, masyarakat umum akan dapat dididik untuk mengenali bentuk-bentuk ajaran yang menyeleweng agar dapat dihindari dan dibanteras.
Buku yang dibahagikan kepada lima bab itu memberi takrifan jelas mengenai apa itu ajaran yang benar dan sesat.
Turut dihuraikan secara ringkas ialah prinsip pegangan ahli sunah waljamaah.
Ia turut memberi gambaran umum mengenai ajaran sesat dan kumpulan yang berkaitan dengannya.
Ia menghuraikan sejarah perkembangan, kumpulan-kumpulan utama yang terdapat di Singapura, sifat-sifat dan ciri ajaran dan kumpulan itu, cara kumpulan itu menarik orang lain dan kandungan umum ajaran sesat yang wujud.
Secara umum, ia memberi garis panduan kepada pembaca akan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membanteras ajaran sesat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg