Sejak tiga minggu lalu, kebanyakan universiti tempatan telah mengadakan majlis konvokesyen masing-masing. BERITA HARIAN berkongsi kisah dua siswazah dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang cemerlang dalam mencapai kejayaan akademik dan punya impian untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
MENGUSAHAKAN yang terbaik kepada semua perkara, tidak kira besar atau kecil dan juga kepada sesiapa yang memerlukan.
Begitulah prinsip Encik Muhammad Khairi Adam, 25 tahun, yang beliau kongsi bersama rakan siswazah kohortnya ketika memberikan ucapan 'valedictorian' (perpisahan) di Majlis Tamat Pengajian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) baru-baru ini.
Mantan pelajar Maktab Rendah Victoria itu ialah pelajar terbaik dalam kohort tahun ini daripada Sekolah Kimia dan Bioperubatan di NTU.
Beliau juga telah dianugerahkan pingat emas Anugerah Lee Kuan Yew (LKY) di atas kejayaannya muncul sebagai pelajar terbaik kursusnya.
Semasa ditemu bual mengenai kejayaannya, Encik Muhammad Khairi yang gemar bermain permainan video dalam masa lapangnya menyatakan bahawa beliau percaya memberikan usaha terbaik dalam apa sahaja yang dilakukan serta menghargai perjalanan pembelajaran dan pengalaman yang diperolehi adalah lebih penting daripada meraih anugerah dan pencapaian cemerlang.
"Saya amat bersyukur kerana di pilih sebagai valedictorian dan dianugerahkan dengan pingat emas Anugerah LKY kerana kejayaan ini tidak boleh saya perolehi tanpa sokongan keluarga serta rakan-rakan dan profesor-profesor saya.
"Anugerah ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa dalam perjalanan seseorang untuk mencapai matlamat mereka, adalah penting untuk memberikan usaha yang terbaik kepada semua perkara walau bagaimana kecilnya dan ini akan akhirnya membawakan kejayaan," kata beliau yang telah meraih ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia dan Biomolekul Kejuruteraan) dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dan major kedua dalam Perniagaan dan minor dalam Perdagangan Antarabangsa.
Namun, bagi anak kedua tiga beradik itu, dedikasinya kepada kecemerlangan dalam bidang akademik dan mengejar ilmu sama penting dengan usaha murni beliau menyumbang semula kepada masyarakat.
Beliau memupuk minatnya dalam sains data dan pemprograman semasa program ijazahnya dan telah menjalani latihan amali dengan syarikat Silver Factory selama lapan bulan tahun lalu untuk mencipta algoritma pembelajaran mesin untuk pengesanan Covid-19.
"Saya rasa perkara paling penting yang saya pelajari dari pengalaman saya di Silver Factory ialah tiada seorang yang akan tahu segala-galanya dan begitu juga, tiada seorang yang tidak akan mengetahui apa-apa.
"Setiap seorang daripada kita mempunyai sesuatu yang boleh kita sumbangkan dan sesuatu yang boleh dipelajari daripada orang lain dan kita harus bergabung bersama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar yang boleh membantu mereka yang memerlukan.
"Lagipun, saya percaya kejayaan bukan tentang berapa tinggi pendapatan kita. Ia bergantung kepada perbezaan yang positif yang telah kita sumbangkan dalam kehidupan orang ramai," ujar beliau yang akan menyertai Micron bulan ini sebagai Jurutera Kemudahan, dan berharap beliau dapat menggabungkan data dan pemprograman untuk menginovasi pengurusan dan pengoptimuman operasi loji.
"Setiap seorang daripada kita mempunyai sesuatu yang boleh kita sumbangkan dan sesuatu yang boleh dipelajari daripada orang lain dan kita harus bergabung bersama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar yang boleh membantu mereka yang memerlukan. Lagipun, saya percaya kejayaan bukan tentang berapa tinggi pendapatan kita. Ia bergantung kepada perbezaan yang positif yang telah kita sumbangkan dalam kehidupan orang ramai."
- Encik Muhammad Khairi Adam.