Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai tarikan menanti di Uzbekistan

May 28, 2023 | 5:30 AM
PERTANIAN: Presiden Halimah Yacob sempat ke bazar melihat hasil pertanian, dengan diiringi Cik Tanzila Narbayeva , Pengerusi Dewan Senat Uzbekistan.
PERTANIAN: Presiden Halimah Yacob sempat ke bazar melihat hasil pertanian, dengan diiringi Cik Tanzila Narbayeva , Pengerusi Dewan Senat Uzbekistan. - Foto ST

PRESIDEN Halimah Yacob baru sahaja selesai melakukan lawatan ke Asia Tengah – Kazakhstan dan Uzbekistan – 21 hingga 25 Mei. Dua negara yang dulunya di bawah kuasa Soviet Union, hingga 1991. Ia adalah lawatan pertama seorang Presiden Singapura ke Asia Tengah.

Asia Tengah terdiri daripada lima negara. Selain Uzbekistan, empat negara lain adalah Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan. Russia menguasai Uzbekistan selama lebih dua abad.

Kebetulan, penulis telah beberapa kali berkunjung ke Uzbekistan dan meneroka beberapa bandar di negara itu, selain ibu kotanya, Tashkent. Antaranya termasuk Namangan, Bukhara, dan sudah tentu Samarkand.

Ini adalah destinasi yang digemari pelawat dari Asia Tenggara termasuk Singapura, Malaysia dan Indonesia. Bukhara terkenal dengan beberapa bangunan zaman silam dan muzium seninya. Sementara di Samarkand pula terdapat makam Imam al-Bukhari dan muzium yang mempamerkan pelbagai warisan dan kemegahan tamadun serta ilmu keIslaman.

Uzbekistan dan Singapura sudah menjalin hubungan lebih dua dekad dan kunjungan Puan Halimah itu juga bersempena dengan 25 tahun hubungan antara kedua-dua negara.

Uzbekistan menjanjikan banyak peluang pelaburan. Negara dengan penduduk berjumlah lebih 36 juta itu kaya dengan hasil bumi. Emasnya adalah di antara yang terbesar di dunia, selain perak, tembaga dan uranium. Kapas diistilahkan sebagai “emas putih” dan banyak terdapat di Uzbekistan.

Pemerintah negara itu menjanjikan pelbagai kemudahan bagi menarik pengusaha asing melabur, antara lain dalam sektor perhotelan, pendidikan, kesihatan, perikanan dan pertanian.

Rakyat Uzbekistan ramah dan amat senang berinteraksi terutama sekali dengan pelawat asing. Kehidupan mereka banyak berkisar kepada seni, muzik dan tarian tradisional. Seni kraftangan juga merupakan kegiatan yang amat digemari dan menjadi sebahagian besar dalam budaya negara itu.

Makan. Tidak ada masalah bagi pelancong. Makanan utama mereka adalah nasi yang dipanggil Pilov atau Pilaf, tidak banyak beza daripada nasi beriani atau nasi mandy (India atau Arab). Ada yang dibubuh daging kambing, lembu atau ayam. Kalau sempat ke sana, jangan terlepas peluang mencubanya.

Bagi pengunjung beragama Islam, anda tidak perlu ragu-ragu untuk memastikan makanan halal di sana. Walaupun Uzbekistan adalah sebuah negara sekular, 96 peratus daripada penduduknya beragama Islam. Sebahagian besar adalah Sunni dan bermazhab Hanafi.

Syarikat pelancongan tempatan mungkin boleh menimbangkan untuk mengatur rancangan lawatan ke Uzbekistan.

Lawatan pada Mei hingga Ogos akan memberi kesempatan kepada pengunjung untuk menikmati iklim sejuk di Uzbekistan. Musim salji membolehkan para pengunjung menikmati suasana yang mengasyikkan.

Hari ini, kebanyakan penduduk, terutama di kawasan bandar, tinggal di rumah-rumah pangsa, lengkap dengan kemudahan bekalan air, elektrik dan gas.

Uzbekistan dikelilingi lima negara: Kazakhstan di utara; Kyrgyzstan di timur laut; Tajikistan di tenggara; Afghanistan di selatan; dan Turkmenistan di barat daya. Justeru, kawasan perairan amat sedikit dan tentunya makanan laut adalah sesuatu yang tidak mudah didapatkan. Kalau ada pun, harganya agak tinggi.

Pemerintah menggalakkan pelaburan dalam sektor perikanan. Beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai potensi membangunkan kegiatan ternakan ikan, udang, ketam dan lain-lain jenis makanan laut.

Pertanian adalah antara sektor utama di Uzbekistan.

Tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin banyak terdapat di negara itu. Beberapa syarikat Singapura, termasuk pasaraya, diketahui telah masuk ke Uzbekistan untuk mendapatkan bekalan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pelbagai peluang pelaburan dan perniagaan tersedia dan pastinya pejabat kedutaan Uzbekistan di Singapura bersedia memberi penerangan lanjut mengenai perkara ini.

Kedutaan Uzbekistan di Singapura terletak di 20 Keramat Lane, United House, Singapura 228773.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg