Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Peluang 'orang biasa' jadi popular

Jan 23, 2022 | 05:30 AM



DEMI menghiburkan hati nenek tercinta, beliau akan meniru gerak geri dan gaya berbual saudara mara yang sering mereka temui sebagai gurauan.



Namun, setelah pemergian neneknya awal tahun lalu, Encik Andi Kurniawan Mohamed Hans, 21 tahun, berasa kehilangan yang teramat sangat. Rasa rindu itu mendorong beliau untuk cuba mengisi kekosongan dalam hidupnya itu dengan meniru gaya neneknya untuk 'diabadikan' di wadah TikTok.



Tanpa disangka, kandungan yang dimuatnaik tersebut berjaya menarik perhatian ramai, termasuk penonton dari Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.



Dengan hampir 80,000 pengikut di wadah itu, akaun yang dimulakan Encik Andi sekitar Jun tahun lalu diberi nama @makobekdangdut dan kini merupakan salah satu akaun TikTok popular di Singapura.



Menurut data yang dikeluarkan Statistica - yang menjejak pergerakan di pasaran - pengguna TikTok di Singapura dianggarkan mencecah lebih 2.09 juta tahun lalu, dan segolongan besar terdiri daripada Gen-Z yang lahir antara 1997 dan 2012.



Di Amerika Syarikat, aplikasi itu telah membuat populariti beberapa 'orang biasa' melonjak tinggi; salah satu daripada mereka adalah Charli D'Amelio, 17 tahun, yang mengendalikan akaun paling popular di laman itu dengan lebih 130 juta pengikut dan telah diberikan siri televisyen sendiri, The D'Amelio Show.



BUKAN SEKADAR MENGHIBUR



Meskipun tidak menjangkakan sebarang "tawaran dari TV" pada masa terdekat, Encik Andi akui pernah disapa di luar.



Katanya, ramai yang tertarik dengan kandungannya kerana video yang dimuatnaik - yang kebanyakannya meniru gelagat dan gaya "makcik-makcik" dalam pelbagai senario - membuat mereka terkenang pengalaman sendiri.



"Saya membesar seumur hidup dengan arwah nenek, jadi pengalaman saya (melihat gelagat makcik-makcik) memang lebih dari cukup.



"Saya rasa anak muda zaman sekarang kurang hargai orang tua baik nenek, ibu, makcik atau sesiapa yang termasuk dalam golongan itu, dan bila mereka menonton video saya, saya ingin mereka rasa rindu terhadap orang-orang tua mereka dan rindu lihat gelagat mereka," katanya yang kini mengejar diploma dalam pengurusan seni di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) sementara bekerja sambilan sebagai operator pengeluaran di Seagate.



Tambah Encik Andi, meskipun cara makcik atau nenek berbual agak 'pedas' tapi banyak yang dapat dipelajari dari mereka.



PELUANG TEBAR LUAS KREATIVITI



Dari rutin harian untuk menjaga kulit, cara memasak hingga lah topik 'pelik' seperti cara terbaik untuk pelihara katak, semuanya dipelajarai Cik Nurul Syafiqa melalui TikTok.



Menurutnya, wadah tersebut merupakan wadah 'inklusif' yang menghargai semua jenis kandungan termasuk yang dianggap 'pelik' dan 'tidak sempurna'.



Untuk itu, ia membuka peluang kepada individu biasa sepertinya untuk menghasilkan kandungan unik menggunakan kreativiti sendiri, tambahnya.



Dengan lebih 160,000 pengikut di akaunnya @syapls, Cik Nurul Syafiqa, 25 tahun, berkata idea bagi kandungannya adalah berdasarkan pengalaman harian warga Singapura.



"Biasanya saya akan cari idea dari apa yang berlaku dalam hidup harian kita. Sebagai seorang individu minoriti yang memakai tudung, saya juga ingin paparkan kepada orang ramai bahawa seorang hijabi juga boleh ketawa bersama warga Singapura lain, saya ingin penonton terhibur bersama," katanya yang bertugas sebagai pegawai strategi kandungan di SGAG Media.



Kandungan yang dimuatnaik di akaunnya itu sejak 2018 juga berjaya menarik berhatian beberapa jenama yang ingin bekerjasama dengannya, kata Cik Nurul Syafiqa.



Algoritma yang digunakan TikTok 'bijak' dalam memahami jenis kandungan pilihan pengguna dan akan terus memberikan anda kandungan yang diingini.



Pada masa yang sama, ia juga membuka ruang bagi video-video yang dihasilkan 'orang biasa' ditonton ramai, kata Encik Zaki Hussain, 29 tahun, yang mengendalikan akaun TikTok @zakiv4 dengan lebih 65,000 pengikut.



"Ini memberikan peluang kepada penghasil kandungan baharu seperti saya dan juga mereka yang lebih muda untuk menarik perhatian penonton melalui kandungan.



"Bagi saya, ini menyemarakkan lagi semangat saya untuk terus menghasilkan kandungan yang lebih baik," katanya yang bertugas sebagai seorang penulis dan pengarah di SGAG Media.




Begitu mudahnya menggunakan wadah TikTok adalah antara sebab yang menyumbang kepada popularitinya. Pengguna muda khususnya tertarik dengan TikTok kerana ia adalah ruang di mana mereka boleh berkongsi dan belajar tentang isu yang relevan dengan mereka. Oleh itu, sama ada anda minat memasak dan ingin memperluas menu yang boleh anda hidangkan hingga boleh atasi alat masak bijak Thermomix, ingin pertingkat pengetahuan atau sekadar ingin berhibur, pastinya ada akaun yang sesuai buat anda di TikTok. Berikut antara akaun TikTok oleh pengguna Singapura yang menarik untuk diikuti.



Dapatkan tip memasak di akaun @chefbob.sg

(206,100 pengikut)



SIAPA tak kenal Shahrizal Salleh atau lebih mesra dengan panggilan Cef Bob?



Cef selebriti setempat ini sentiasa berkongsi video memasak yang ringkas namun amat menyelerakan seperti video beliau menyediakan sandwic rendang dengan keju serta ikan pari sambal yang dibungkus dengan daun pisang.



Bukan itu sahaja, beliau juga kerap berkongsi sedikit sebanyak tentang kehidupannya termasuk keluarga serta pengalamannya hidup berjiran secara harmoni dengan seorang wanita Cina.



Amal gaya hidup sihat dengan @fuadalhakimofficial

(53,600 pengikut)



ADAKAH lemak menjadikan anda gemuk?



Dan bagaimana untuk mendorong diri anda untuk mengurangkan berat badan?



Bukan itu sahaja, pemilik akaun ini juga turut berkongsi dengan penonton resipi sihat yang mudah disediakan, sesuai lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu kembali ke pejabat sekarang dan sentiasa kesuntukan masa.



Ubah elok rumah secara DIY dengan @naddyadrianarin

(44,900 pengikut)



BAGAIMANA untuk mengitar tinggi (upcycle) tayar basikal untuk menjadi perhiasan rumah?



Dan bagaimana untuk mempertingkat penampilan alat hawa dingin yang warnanya telah berubah menjadi kuning?



Dapatkan tip untuk mengubah elok rumah secara DIY menerusi pelbagai video di akaun ini.



Berhibur dengan gelagat bapa dan anak di akaun @jazleenaa001 

(35,400 pengikut) 



APAKAH pendapat si ayah apabila anak perempuannya memberitahu bahawa beliau mempunyai teman lelaki?



Dan sejauh manakah si ayah tahu tentang slanga yang digunakan anak muda seperti ‘LOL’, ‘no cap’ dan ‘boomer’?



Penonton tidak akan kering gusi dengan gelagat bapa dan anak menerusi video yang dimuat naik di akaun ini.



Kadangkala, anggota keluarga mereka yang lain turut sertai video yang dihasilkan dan gelagat mereka tidak kurang lucu juga.



Belajar tentang sejarah Singapura di akaun @historyogi

(32,900 pengikut)



TAHUKAH anda apa yang berlaku apabila Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat cuba memberi rasuah kepada Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew?



Dan tahukah anda apakah sejarah hitam yang berlaku di Blok 12 Lorong 7 Toa Payoh?



Ini merupakan antara topik yang dikupas menerusi video ringkas yang dimuat naik di akaun ini.



Akaun ini turut menerbitkan video lain tentang pelbagai aspek sejarah Singapura yang berwarna-warni.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >