Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembaharuan muzium Leftenan Adnan projek baru kurator

Aug 17, 2021 | 5:30 AM
AKAN DIBERI NAFAS BARU: Muzium Reflections at Bukit Chandu yang fokus pada sejarah pertempuran di Pasir Panjang dan peranan Rejimen Melayu mempertahankan kawasan itu. - Foto fail
AKAN DIBERI NAFAS BARU: Muzium Reflections at Bukit Chandu yang fokus pada sejarah pertempuran di Pasir Panjang dan peranan Rejimen Melayu mempertahankan kawasan itu. - Foto fail -

MEMBERI nafas baru kepada muzium Bukit Chandu, antara muzium yang mengabadikan sejarah pertarungan mempertahankan Singapura semasa Perang Dunia Kedua, merupakan antara projek yang sedang diusahakan beberapa kurator Lembaga Warisan Negara (NHB).

Memberikan sekali imbas pembaharuan muzium Reflections at Bukit Chandu di Pasir Panjang itu, Penolong Kurator Muzium Negara Singapura (NMS), Cik Nur Syafiqah Ahmad Jaa'far, berkata antara lain mereka akan meluaskan inti muzium itu dengan merangkumkan sejarah kawasan berkenaan, termasuk bagaimana ia mendapat namanya.

Beliau antara anggota pasukan kurator yang akan memperbaharui muzium itu, yang dijangka dibuka semula pada separuh kedua tahun ini.

Muzium itu fokus pada sejarah pertempuran di Pasir Panjang dan peranan Rejimen Melayu mempertahankan kawasan itu. Leftenan Adnan antara pegawai yang mengetuai rejimen itu menentang askar Jepun di Bukit Chandu semasa Perang Dunia Kedua.

Cik Syafiqah juga sedang melakukan kerja melibatkan permainan bersandarkan laman web, merangkumi elemen perjalanan masa dan pilihan artifak daripada Galeri Sejarah Singapura.

Kurator Kanan, Seni Islam, Muzium Tamadun Asia (ACM) dan Muzium Peranakan (TPM), Cik Noorashikin Zulkifli, sedang menjalankan projek pembaharuan TPM, yang dijangka dibuka semula pada 2023.

Menurutnya, isi kandungan galeri TPM akan dikembangkan untuk mengetengahkan keanekaragaman masyarakat Peranakan di rantau ini, bukan di Selat Melaka sahaja.

"Pameran tetap akan juga mengetengahkan kaitannya dengan alam Melayu serta fenomena kacukan budaya sebagai sesuatu yang memperkayakan warisan.

"Selain komuniti Cina Peranakan, kami berharap dapat menunjukkan komuniti Chetti Melaka, Jawi Peranakan, Arab Peranakan dan lain-lain. Warisan kebudayaan tidak ketara juga akan kami tonjolkan melalui platform multimedia," kata Cik Noorashikin.

Beliau juga sedang menghasilkan satu pameran yang meneliti konsep jasad manusia, dengan meninjau pelbagai kepercayaan, budaya, tanggapan dan falsafah di rantau Lautan Hindi mengenai peranan jasad manusia dalam beberapa bidang, termasuk kesihatan dan kesejahteraan diri, ritual dan upacara serta pembayangan kedudukan dan perhubungan manusia dengan alam semesta. Ia dijangka dibuka akhir tahun depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg